Suamiku dan Agamanya

Assalamualaikum. Haritu saya ada terbaca confession tentang suami yang tak solat, (https://iiumc.com/suami-tak-solat-2/).

Dan saya baca semua komen-komen di confession tersebut. Kebanyakan nya menyuruh confessor untuk tetap bimbing suami, banyakkan doa supaya lembut hati suami, dan itu adalah ujian rumahtangga.

Jadi, izinkan saya untuk bercerita tentang rumahtangga saya pula kerana cerita saya dan dia lebih kurang sama.

Saya sudah 5 tahun berkahwin dan mempunyai anak. Di sepanjang tempoh kami berkahwin, suami saya tak pernah solat kecuali bila ibu dan bapa saya datang ke rumah atau kami balik ke kampung.

Solat jemaah bersama? Dalam mimpi pon tak pernah. Puas saya memujuknya, menegur, berdoa, menyindir dan macam-macam lagi cara lain supaya dia solat.

Cerita saya tak berhenti di situ. Selain tidak solat 5 waktu, suami saya juga tidak solat jumaat. Untuk tahun ini sahaja, saya tak pernah tengok dia pergi solat jumaat.

Kadang kerana komitmen kerja. Kadang dia terlupa. Salah saya juga kerana selalu terlupa yang hari itu hari Jumaat.

Tapi, bila saya teringat tapi dah agak terlambat (contoh dah pukul 12.30) Respon dia akan seperti “hmm.. dah lambat ni. Tak sempat dah”

Baru-baru ni, saya dapat tahu pula yang dia sudah mula berjinak-jinak untuk berjudi online.

Kekerapan dia berjudi, atau berapa banyak duit yang dia guna, saya kurang pasti. Sebab dia padam semua history dan perbualan dia dengan rakan.

Saya cuma pernah terbaca sekali saja perbualan dia dengan rakan dia dan ada beberapa history dia melayari website judi. Mungkin dia terlupa padam.

Setelah itu saya tak jumpa lagi bukti-bukti yang dia berjudi. Mungkin dia dah berhenti. Wallahualam.

Selain itu, dia juga tidak berpuasa. Ini yang paling menghancurkan hati saya. Bersungguh saya bangun sahur, masak macam-macam. (sebab suami saya kurang gemar makanan yang dipanaskan).

Kalau berbuka pula, dia suka meja penuh dengan makanan. Kadang dia merajuk dengan saya bila saya melarang dia beli apa-apa di bazar.

Saya juga berpuasa. Saya ada anak kecil untuk dijaga. Walaupun tak sepenat kerja dia, saya bukan duduk goyang kaki di rumah. Saya penat masak di dapur sambil mengurus anak.

Tapi, saya semangat. Sebab.. Ye lah.. Puasa kan, dapat pahala bila sediakan juadah berbuka untuk keluarga. Bila saya tahu dia tak berpuasa, hancur nya hati ini. Saya jadi tak semangat untuk masak.

Waktu bulan puasa ni, kerja suami saya tak sesibuk seperti bulan-bulan lain. Dia biasanya akan masuk kerja tengah hari. Apa yang dia maklumkan pada saya, dia ada kerja di pejabat.

Tapi, bila saya bukak WhatsApp dia, dia pergi makan bersama-sama kawan nya. Tak ada kerja pon.

Tega nya dia meninggalkan saya yang sedang berpuasa dengan kerja di rumah bertimbun semata-mata untuk melepak makan bersama-sama kawan nya di bulan puasa.

Suami saya tak tahu yang saya maklum tentang dia yang ponteng puasa. Kalau ditanya puasa atau tidak, dengan yakin dia jawab puasa. Walhal, tiada sehari pon yang dia puasa untuk tahun ni.

Saya cuma berpura-pura bodoh, berpura-pura kagum dengan dia yang kononnya kuat berpuasa.

Setiap kali ibu bapa saya datang, dia pasti jarang pulang ke rumah. Dengan alasan, dia takut sekiranya disuruh menjadi imam.

Dia jadi tak selesa bila ibu bapa saya di rumah kerana takut disuruh mengaji (suami saya tidak kenal alif ba ta). Kenapa saya berkahwin dengan dia? Sebab sebelum kahwin, saya tak tahu dia tak solat.

Saya tak tahu dia tak pandai mengaji. Salah saya kerana tak pernah bertanya. Tetapi, dia selalu mengingatkan saya untuk solat. Jadi saya anggap dia seorang yang menjaga agamanya.

Dan saya sudah banyak kali mengajaknya belajar mengaji dengan saya. Alasan nya, sibuk. Tak ada masa untuk mengaji. Belajar ngaji ni kena setiap hari. Kalau tak, baik tak payah. Lambat pandai katanya.

Antara faktor yang menyumbang kepada tingkah laku suami adalah keluarganya yang juga tidak solat. Jadi, tiada guna sekiranya saya mengadu dengan ibu nya, kan?

Selain itu, kawan-kawan sepejabat yang turut sama tidak puasa, jangan ditanya soal solat. Mudah ke untuk berubah kalau insan-insan disekelilingnya juga 2×5?

Sudah Lama saya pendam masalah saya. Sudah Lama saya bersabar, berfikir positif. Tetapi, makin lama, hati saya semakin tawar.

Jujur saya dah berputus asa. Dalam doa saya, tiada lagi memohon supaya Allah lembutkan hati suami, tiada lagi harapan supaya suami berubah.

Kerana saya tidak lagi merasakan sayang atau hormat kepadanya. Tapi, jangan risau. Ini hanyalah apa yang saya rasa bukan apa yang saya buat kepada suami.

Saya masih masak seperti biasa, masih mengemas rumah seperti biasa, melayan dia. Cuma hati ini sudah tidak ikhlas lagi.

Jadi, menurut anda, adakah wajar untuk saya memberikan lagi kesempatan kepada suami?

Adakah kejam sekiranya saya menuntut cerai? Adakah masalah saya terlalu parah sehingga perlu berpisah? Adakah ada cara lain supaya suami saya berubah?

Saya tidak pasti apa yang menyebabkan hati saya berbolak balik. Malu status janda? Kasihan anak yang sayang bapanya? Risau masa depan anak?

Takut ibubapa saya kecewa dan sedih sekiranya saya bercerai? Takut dengan perspektif masyarakat? Tak tahu kepada siapa untuk dirujuk? Takut suami tak mahu melepaskan?

Wallahualam. Terlalu banyak difikiran saya sehingga saya tak tahu apa yang patut dibuat.

Semoga dengan confession ini, sedikit sebanyak dapat memberi petunjuk untuk menetapkan hati dan pendirian saya dalam apa jua keputusan yang terbaik untuk rumahtangga saya. Aamiin.

A broken soul,

– Hamba Allah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *