Untuk part I, (https://iiumc.com/suamiku-ustaz-atau-bomoh/).
Untuk part II, (https://iiumc.com/suamiku-bomoh-atau-ustaz-ii/).
Ini adalah bahagian terakhir dari perkongsian saya dengan harapan dapat menjelaskan kekeliruan pembaca. Ada benarnya juga pendapat bijak pandai, kurniaan Allah itu seharusnya disembunyikan.
Bukan niat saya untuk membanggakan apa yang dikurniakan kepada suami saya kerana suami saya pun tidak tahu apa yang saya kongsikan disini kerana dia jarang menggunakan media sosial.
Sebelum pergi lebih jauh, saya nak ajak pembaca mengkaji sejarah Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Janggut dan lain2 Pahlawan melayu dulu2.
Kita semua tahu mereka ada kekuatan batin dan kelebihan ilmu yang tinggi untuk berperang melawan penjajah sehingga tanah melayu gagal dijajah.
Mat Kilau boleh menghilangkam diri, Dato Bahaman tidak mati direndam kepalanya oleh JWW Birch dalam air selama berpuluh hari.
Bagaimana mereka semua lakukan? Adakah guna Jin kerana kalau ikutkan logik akal kita zaman sekarang, hanya Jin saja yang mampu lakukan sedemikian.
Jika itulah anggapan kita, bermakna kita telah meletakkan diri manusia dibawah darjat Jin.
Bagaimana pula kita mendefinasikan kedudukan kita seperti yang dijanjikan Allah sebagai sebaik2 makhluk yang lebih tinggi darjatnya mengatasi sekelian makhluk yang lain?
Jika Jin mampu lakukan sesuatu, haruslah manusia sebagai makhluk yang lebih tinggi darjatnya dari Jin, mampu melakukan lebih dari itu.
Oleh kerana itulah, Allah kisahkan Dalam AlQuran sewaktu Nabi Sulaiman memerintahkan di kalangan rakyatnya yang terdiri dari haiwan, jin dan manusia, siapa yang mampu memindahkan Istana ratu Balkis ke tempat baginda.
Maka bangunlah ifrit dari golongan Jin berkata dia mampu pindahkan Istana Ratu Balkis sebelum Nabi Sulaiman bangun dari kerusi.
Kemudian, bangun pula seorang alim (maksudnya berilmu) bernama Asif dari golongan manusia berkata, dia mampu pindahkan Istana Ratu Balkis sebelum mata Nabi Sulaiman berkelip.
Andainya Asif hidup dizaman kita, sudah tentu Asif pun kita akan tuduh guna Jin.
Jika kita berfikir lebih mendalam, untuk apalah Allah mengabadikan kisah ini didalam Al Quran jika bukan untuk kita berfikir bahawa sesungguhnya manusia yang berilmu itu akan dapat melakukan apa yang Jin mampu lakukan malah lebih baik lagi.
Tetapi, di mana silapnya kita?
Begitu mudah kita membuat kesimpulan hanya dengan melihat peralatan si perawat. Jika guna telur, itu adalah Jin, pakai baju hitam juga Jin, guna keris juga Jin.
Cuba pula bandingkan dengan kita. Sarapan pagi telur separuh masak dua biji, jubah perempuan kebanyakan warna hitam. Hang Tuah ada keris taming sari.
Adakah semuanya juga Jin?
Jika kita guna KBAT cara sekolah rendah. Apa perbezaan kedua yang diatas?
Telur, baju hitam dan keris hanyalah medium. Yang membezakan ialah cara ia digunakan barulah menentukan ianya Jin atau tidak.
Tahukah pembaca ada petua jika bayi demam, boleh guna telur untuk sembuhkan. Caranya ialah rebus telur sampai masak dan goleklah telur suam suam panas tersebut ke seluruh badan bayi.
Nanti bila kulit telur dikupas, akan ada bintik hitam timbul pada telur putih. Buat berulang kali menggunakan telur rebus yang baru setiap golekan sampai bintik hitam tidak timbul lagi. Tak perlu guna Jin yer.
Apa yang saya nak sampaikan ialah telur ayam memang boleh digunakan sebagai medium untuk menarik benda2 yang tidak elok dari badan. Bergantung kepada cara penggunaan samada nak guna cara islamik atau Jin.
Begitu juga dengan warna hitam bertujuan untuk mengelakkan energi negatif dan keris untuk mengambil energi besi.
Pakaian semasa berubat suami saya bergantung pada keadaan. Kadang berwarna hitam, kadang2 putih dan biasanya hanya T-Shirt dan seluar kargo sahaja. Katanya, jangan menilai pada baju APA yang dia pakai kerana ilmu bukan letak pada baju.
Untuk pengetahuan pembaca juga, suami saya merawat tanpa syarat, tanpa pantang larang, tanpa duit pengeras, tanpa bara dan kemenyan, tanpa perlu nak putus ubat dan InsyaAllah tak perlu berulang alik berubat sampai berkali2.
Beliau hanya gunakan wangian iaitu minyak atar sahaja dan air kosong.
Dimana salahnya yang dikatakan guna Jin pun saya tak pasti.
Bukan sehari dua dia berubat, sudah berpuluh tahun sampai kini sudah mencecah usia pencen, belum ada lagi kes bekas pesakit yang pernah dia rawat terkena gangguan Jin, saka, atau apa saja yang mungkin datang dari suami saya.
Saya berani kata begini kerana hampir semua bekas pesakit suami menjadi seperti saudara kami sehingga sekarang.
Bekas pesakit yang sembuh pun mungkin sudah mencecah beribu orang walau suami saya bukanlah popular. Suami saya tak izinkan untuk diambil gambar atau video semasa merawat kerana dia tak suka populariti. Siapa yang kenal pasti tidak akan pernah lupa.
Saya tidak mahu salahkan pembaca yang mengatakan suami saya syirik dan bermacam lagi tuduhan kerana hanya membaca di sini tidak akan dapat mendalami apa yang saya cuba sampaikan.
Suami saya mengambil masa bertahun2 tinggal di Pondok Pak Imam (part 1) untuk mendalami agama dan sehingga sekarang beliau masih lagi belajar. Kitab rujukan dia ada satu almari.
Jadi, mana mungkin saya dapat memberi kefahaman kepada pembaca hanya dengan beberapa coretan pendek di sini.
Malah ada juga kenalan dan bekas pesakit yang minta suami menjadi guru mereka tetapi ditolak oleh suami. Katanya ilmu yang beliau ada masih terlalu sedikit dan belum layak untuk mengajar.
Apa yang beliau lakukan itu hanya sebahagian kecil sahaja dari cabang ilmu Allah. Oleh kerana ia diluar pengetahuan dan kita tidak pernah tahu mengenainya, maka kita menganggap apa yang suami saya lakukan itu pelik, tak logik, guna Jin dan tak kurang juga yang merasa kagum.
Sama macam kita kagum melihat silap mata. Kita kagum kerana kita tidak tahu. Tapi kalau kita sudah tahu teknik silap mata, tidak ada yang peliknya lagi.
Bukan niat saya mahu berdebat dengan pembaca yang saya hormati. Perkongsian ini sekadar ingin membuka mata pembaca bahawa ilmu Allah itu Maha Luas.
Carilah dan angkatlah darjat diri kita lebih tinggi dari makhluk lain supaya kita tidak perlu jadi hamba kepada Jin malah Jin akan merasa takut pula dgn kita.
Status tuan dan hamba ada perbezaaannya. Tuan tidak terikat kepada hamba dan hamba pula haruslah menurut tanpa syarat. Maka itulah sebabnya kita dipanggil sebagai HAMBA Allah iaitu menurut perintah Allah tanpa syarat.
Seandainya manusia bertuankan Jin, maka Jin yang akan mengenakan syarat dan manusia yang menurut. Ini sangatlah salah dan syirik disisi Allah kerana seorang hamba hanya boleh ada satu Tuan sahaja iaitu Allah.
Gajah itu binatang yang besar dan menakutkan, tetapi dengan ilmu, manusia mampu tundukkan gajah dan boleh pula dijadikan tunggangan. Ular itu binatang berbisa tetapi dengan ilmu, manusia mampu jinakkan ular dan dijadikan pula binatang peliharaan.
Pasti pembaca akan fikir, gajah dan ular itu makhluk nyata, sudah pastilah boleh. Jin itu makhluk ghaib, bagaimana mampu nak kuasai mereka.
ISU disini bukanlah nyata atau ghaib. Isunya adalah ILMU. Kuasai ilmu dibidang yang tertentu dan kita pasti akan berjaya.
Allah Ar- Rahman dan Ar-Rahim maka Allah akan memberi mengikut apa yang diminta dan ia juga haruslah secara syariatnya bertepatan dengan kemampuan dan ilmu yang manusia itu kuasai.
Pernahkah kita tanya diri kita siapa kita sebenarnya? Apakah yang menjadikan kita seorang manusia?
Ibarat sebuah kereta, yang terdiri dari 3 komponen utama iaitu pemandu, enjin dan badan kereta, begitulah juga manusia.
Manusia terdiri dari roh atau jiwa, nyawa dan jasad. Jika diandaikan pada sebuah kereta, roh ialah pemandu, nyawa ialah enjin dan jasad ialah badan kereta.
Bila kita meninggal dunia bermaksud nyawa sudah tiada, yang tinggal hanyalah roh dan jasad.
Roh ini akan meneruskan perjalanan ke alam kubur, alam barzakh seterusnya sehinggalah ke Masyar. Jasad pula akan mereput pulang ke bumi menjadi tanah kecuali jasad kekasih Allah.
Orang yang koma, tidur dan pengsan bermaksud rohnya keluar dari tubuh dan yang tinggal hanyalah nyawa dan jasad.
Nyawa ibarat enjin kereta yang menghidupkan kereta tetapi tanpa pemandu, kereta tidak akan bergerak. Maka samalah kita bila tiada roh, terlantarlah kita tanpa dapat bergerak.
Ada makhluk yang hanya ada roh dan nyawa tetapi tiada jasad. Inilah yang dinamakan sebagai makhluk halus, maka hiduplah mereka di alam ghaib.
Mereka antaranya ialah makhluk Jin. Dikalangan Jin terbahagi kepada 2 pecahan iaitu Islam dan kafir. Mereka ini juga dipertanggungjawab oleh Allah sama seperti manusia. Berbuat baik akan mendapat pahala dan jahat akan mendapat dosa.
Di sinilah kadang2 kita terkeliru. Kita anggap semua Jin sama saja sedangkan Jin Islam juga takut dosa dan neraka. Malah ada antara Jin Islam yang lebih alim dari kita.
Orang yang dirasuk pula bermaksud roh mereka telah keluar dari tubuh dan tinggalkan hanya jasad dan nyawa dan ia digantikan oleh roh yang lain. Kalau diandaikan kereta bermaksud pemandu kereta asal sudah keluar dan digantikan dengan pemandu lain.
Sudah pasti gaya pemanduan tidak sama pemandu asal. Maka disinilah kita dapat melihat berbagai aksi pelik orang yang sedang dirasuk itu menjerit, mengilai, menangis dan sebagainya.
Roh juga boleh sakit. Jika ini terjadi, kita dikatakan sakit jiwa.
Oleh kerana itu, Allah berfirman didalam alquran, ” tidak Aku jadikan Jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaku”. Kenapa Jin disuruh beribadat kepada Allah? Sudah pasti kerana mereka juga memiliki roh dan setiap roh akan dihisab.
Banyak lagi yang tidak dapat saya kongsikan disini kerana bimbang akan tambah mengelirukan pembaca. Hakikat ini memang sukar difahami oleh yang bukan ahlinya. Maka sampai disini dulu saja perkongsian saya mengenai suami saya.
Saya pernah terbaca suatu kisah benar didalam majalah mastika yang diceritakan oleh bekas askar yang bertugas mengawal sempadan utara tanah air dizaman 60-an atau 70-an.
Pada masa itu jumlah anggota keselamatan masih tidak mencukupi untuk ditugaskan mengawal sempadan yang luas dari penceroboh.
Manurut beliau, setiap kumpulan terdiri dari 3 anggota ditugaskan mengawal pada jarak tertentu.
Oleh kerana hutan masih tebal dan terdapat banyak bahaya yang tidak diduga, mereka gunakan teknik meraga jiwa, dimana beliau yang berkebolehan akan tidur supaya rohnya dapat keluar melihat disepanjang sempadan sementara jasadnya dijaga oleh anggota tentera yang lain.
Jika difikirkan semula, ada benarnya juga cerita bekas askar tersebut kerana sememangnya semasa kita tidur, roh akan keluar dari jasad.
Hanya kita tidak punya ilmu untuk menguruskannya maka jadilah ia mimpi yang menerawang tanpa arah.
Begitulah pentingnya ILMU. Ayat yang pertama Allah turunkan ialah iqraq, iaitu bacalah. “Bacalah Demi tuhanmu yang menjadikan”. Untuk apa Allah suruh kita membaca kalau bukan untuk mencari ILMU.
Ilmu Allah pula terlalu Luas. Jika tujuh lautan dijadikan tinta dan di tambah tujuh lautan lagi pun pasti tidak cukup untuk menulis ilmu Allah. Ilmu bukan hanya terdapat di sekolah sahaja. Seluruh alam ini jika diperhatikan adalah manifestasi dari ILMU Allah.
Malangnya kita hanya melihat pada yang nyata sahaja sedangkan alam ini ada juga yang ghaib. Rukun Iman yang kedua ialah percaya kepada malaikat dan malaikat ialah salah satu dari makhluk ghaib.
Pesan saya, banyakkan berzikir kerana zikir dapat membersihkan jiwa kita. Pengalaman saya sendiri mengamalkan zikir dimana pada tahun 2006, saya telah ikut serta sebuah majlis yang dihadiri oleh seorang kiyai terkenal dari Indonesia. Beliau datang atas jemputan menteri.
Dimajlis itu, hanya saya seorang perempuan dan di depan saya ada berpuluh orang lelaki duduk bersesak-sesak memenuhi ruang majlis.
Oleh kerana itu, saya duduk dibahagian paling hujung dan jauh dari kiyai. Setelah majlis selesai, kiyai meminta pembantunya memanggil saya bertemunya. Saya terperanjat juga. Kenapa saya?
Saya pun diberi laluan untuk ke depan dan duduk berhadapan dengan kiyai tersebut. Dia meminta saya menghulurkan tangan kanan saya.
Saya pun menghulurkan tangan dan tapak tangan saya menghadap ke atas. Kiyai itu pun mendekatkan tapak tangannya ke tapak tangan saya, dekat tetapi tidak bersentuhan.
Dia membacakan sesuatu dan tak lama kemudian saya merasakan suatu aura panas mengalir masuk ke tangan saya.
Setelah selesai, kiyai itu berpesan supaya balik rumah pada malam nanti, saya hendaklah bersuci, mandi sunat taubat dan solat sunat taubat.
Pesannya lagi, tolong jaga apa yang diberi dan jangan sesekali tinggalkan solat dan melakukan maksiat. Saya sememangnya bukan orang yang percaya pada perkara sebegini tetapi tetap saya melakukan apa yang disuruh kerana suruhan itu tidak bertentangan dengan agama.
Saya sampai kerumah sudah lewat malam. Saya terus melakukan apa yang disuruh, melakukan solat isyak dan kemudian solat sunat taubat.
Semasa solat sunat taubat, itulah kali pertama dalam hidup saya mendapat solat yang paling khusyuk dan syahdu. Saya seolah2 ternampak kaabah dan saya sedang bersolat didepannya.
Tidak ada sebarang bunyi, hanya sunyi seolah2 hanya saya seorang didepan kaabah dan saya sedang berada didalam pelukan kasih sayang Allah. Air Mata mengalir tanpa saya sedar.
Sewaktu duduk tahiyat akhir, saya merasa tubuh saya menjadi ringan dan semasa membaca syahadah, saya melihat tangan kanan saya terangkat agak tinggi dari lutut.
Semuanya bagai bukan dalam kawalan saya. Saya juga terasa tubuh saya terangkat sedikit dari atas sejadah dalam keadaan duduk tahiyat akhir seolah2 berada diatas angin.
Air Mata bercucuran jatuh. Jiwa saya merasa sangat pilu. Tak tahu kenapa. Mungkin kerana dosa saya yang begitu banyak.
Seusai solat, saya melihat telekung saya basah dengan air mata dan saya masih lagi tersedu-sedu hiba. Beberapa hari kemudian, sebelum pulang ke Indonesia, kiyai itu menghubungi saya dan ingin membimbing saya. Saya tanya kenapa pilih saya?
Katanya, didalam kumpulan yang ramai pada malam itu, dia melihat ada cahaya terang yang datangnya dari saya. Maka itulah sebab dia memilih saya untuk diberikan ilmunya.
Mata kasar kita sememangnya tidak dapat melihat aura cahaya asbab dari zikir, tetapi orang yang beriman dan dikurniakan mata batin pasti akan dapat melihat menembusi hijab.
Selepas dari itu, saya mendapat beberapa kelebihan yang tidak dapat saya kongsikan disini.
Saya tidak meneruskan berguru dengannya kerana kesibukan kerja, namun apa yang saya alami menjadi memori indah seumur hidup saya.
Alfatihah untuk arwah guru saya yang telah pergi menemui penciptanya beberapa tahun lepas.
Terima kasih kepada semua yang memberi komen. Saya baca semuanya. Saya doakan semoga yang sedang sakit akibat sihir akan direzekikan Allah bertemu perawat yang mampu memulihkan mereka.
Sekian.
– M (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit