Suaminya Pengamal LGBT

Assalamualaikum. Sejak dua menjak ni Melati asyik terbaca confession tentang pasangan yang ada nafsu songsang. Suami seorang gay atau isteri seorang lesbian. Melati juga ada sedikit pengalaman dengan orang yang mengamalkan LGBT ni.

Perkongsian ini bukan untuk merendahkan maruah sesiapa. Hanya untuk renungan & ambillah iktibar daripada perkongsian saya ini.

Suaminya pengamal lgbt. Ya.. Dialah suami kepada kakak sulung Melati. Kakak yang amat kami sayangi. Kakak berkahwin agak lewat d usia hampir mencecah 40. Bukan kerana terlalu memilih atau tiada yang hendak. Tapi jodoh belum sampai seru agaknya. Sejak d bangku sekolah rendah, saya amat rapat dgn kak long. Jarak usia kami 15 tahun.

Dulu kami bukan orang senang. Kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Kak long menggalas tanggungjawab membesarkan kami adik-adiknya & membantu mak ayah mencari duit belanja. Kak long tak sekolah tinggi. Cukup setakat spm pangkat 2, kak long terus cari kerja. Macam-macam kerja kak long pernah buat & perlahan-lahan kak long cuba ambl diploma secara pjj. Alhamdulillah dia dah jadi seorang guru agama sehingga kini.

Ramai kenalan & saudara mara yang cuba carikan jodoh untuk kakak. Tapi tak pernah menjadi. Kadang-kadang lelaki tu dah elok berkenan dengan kak long, tup2 menjauh. Ada yang dah rancang nak masuk meminang tiba-tiba senyap. Bukan sekali dua tapi dah berkali-kali sampai naik muak kak long. Saya tengok kak long pun macam dah tak kisah soal kahwin ni.

Suatu hari, kitorang buat kenduri akikah anak abang. Abang jemput semua kawan kerja. Dan dalam ramai-ramai kawan abang tu, ada seorang mamat hensem ni mak berkenan sangat nak jadikan menantu. Mak luahkan pada kami adik-beradik, kak long takde masa tu. Kami masa tu terkedu juga dengan kata-kata mak. Sebab apa, anak perempuan mak yang masih single cuma saya & kak long.

Saya pun dengan penuh yakin pi cakap kat mak “Mak, mamat tu memang hensem tapi Melati setia pada yang satu. Mak jangan gugat iman Melati mak”. Bila mak dengar terus kena hempuk la kepala budak Melati ni. “kau jangan nak perasan ye. Mak kenan budak tu dengan kak long korang. Mak tengok budak tu pun asyik usha kak long kamu je” kata mak dengan senyuman manis dicampur angan-angan.

Abang pun mulalah cucuk jarum. Kata abang, kawan dia tu dah lama minat dengan kak long. Cuma abang tak tahu macam mana nak bagi tahu kat kak long sebab jarak usia mamat tu dengan kak long 5 tahun kot.

Long story short, mamat tu dengan kak long pun berkenalan & sesekali berjumpa. Mamat tu kata dia tak kisah dengan jarak umur. Kak long ni pula memang awet muda, kadang orang sangka dia adik bongsu kitorang sebab antara adik-beradik kak long paling ketot @ keding @ rendah.

Dah elok-elok rancang nak bertunang tiba-tiba mamat tu ghaib entah kemana. Sekali lagi kak long dikecewakan. Kesian kak long. Cerita tentang tak jadi bertunang ni cepat je tersebar oleh makcik-makcik bawang. Maka berduyunlah lamaran dari kenalan kak long nak cuba jadi pengganti. Eh, dah kenapa tak masuk minang dulu lagi. Kak long tepuk dahi dah tak tahu nak kata apa. Ingat benda ni main-main ke.

Dalam ramai2 cubaan menjadi pengubat lara dihati kak long tu, adalah sorang mamat ni gentleman kononnya direct jumpa ayah nak melamar kak long katanya. Dia sehabis baik meraih kepercayaan ayah. Esoknya dia jemput kak long uruskan borang nikah dan terus buat check up di hospital. Kitorang asyik tanya betulkah nak kahwin? Mamat tu kata serius sangat tak main-main.

Maka dalam tempoh 3 minggu kitorang adik-beradik uruskan semua urusan perkahwinan kak long. Kerana gembira kak long kesayangan kitorang akhirnya bertemu jodoh, kitorang sponsor dari a-z majlis perkahwinan kak long. Mereka berdua tinggal sediakan badan je. Haaaaa dekat situlah masalah bermula.

Mamat tu so far ok sebenarnya. Bukan orang senang bukan juga miskin tegar. Cuma gaji yang dia ada tu cukup makan je. Kak long pula tak kisah sebab kak long sendiri berkeerja dan ada pendapatan sendiri. Lepas kahwin kak long pun ikutlah suaminya pindah rumah sewa. Dekat dengan tempat kerja mereka.

Masuk bulan kedua lepas kahwin, kak long dah mula mengadu. Ex girlfriend suami gatal sms suaminya. Perempuan tu nak suami kak long jadikan dia isteri kedua & siap ugut kak long yang dia akan menyesal kahwin dengan lelaki tu. Tapi kak long tak hiraukan & tetap percaya dengan suaminya.

Setahun berkahwin, kehidupan kak long berubah 360 darjah. Hidup tak terurus, duit tak cukup ditambah lagi dengan kehadiran anak pertama. Suaminya ke hulu ke hilir jadi ahli masjid, keluar seawal subuh pulangnya lewat malam. Sibuk ruqyahkan orang katanya. Kak long tak simpan rahsia dengan kami. Dia selalu mengadu dengan kami adik-beradik tentang sikap suaminya.

Kami hanya dapat beri nasihat & tolong apa-apa yang kurang tapi kalau nak campur lebih-lebih ayah larang sangat. Ayah juga ada bagi pendapat pada kak long, ayah kata keputusan semua ditangan kak long sama ada nak teruskan hubungan ni atau tak sebab yang lalui benda ni kak long. Hanya kak long yang tahu batas kesabaran & kemampuan dia nak hadap ujian rumah tangga mereka.

Apa yang kitorang dapat simpulkan, suaminya kak long lepas tangan dalam hal tanggung jawab sebagai seorang suami & bapa disebabkan masa kahwin dulu dia tak rasa payahnya nak sediakan belanja kahwin. 100% kitorang sponsor. Dia tak hargai langsung bantuan yang kitorang hulur. Kahwin freelah katakan.

Dulu masa mula-mula dia beriya nak kahwin dengan kak long bukan main manis tahap potong kaki segala kata-kata. Caring sangat dengan mak ayah. Dengan kitorang sekali mesra nak mampos kau. Rupanya itu cuma sandiwara.

Bila dah kahwin puuuiihhh. Kak long goreng sosej dikatanya makanan orang miskin. Hahahahahaha. Barang-barang kak long pula elok dia sedekahkan pada orang sekeliling. Pinggan mangkuk sudu segala tapawe. Bila mereka sendiri nak makan tercari-cari mana perginya sudu pinggan mangkuk. “Dah beri kat makcik P rumah belakang tu” kata suaminya. Kak long terkebil-kebil mendengar jawapan suaminya.

Dah tu, macam mana nak makan kalau semua pinggan mangkuk sudu tak ada. Suaminya jawab lagi “apa yang kita ada kena kongsilah dengan orang lain. Lagi pun pinggan sudu-sudu tu semua buat apa nak banyak-banyak kat rumah ni kita bertiga je yang nak makan. kau ni kedekut taik hidung masin”.

Mengucap sabar kak long saya. Kereta kak long juga dah jadi kereta amal jariah di kawasan kediaman mereka. Tak kira waktu & masa ada je kenalan suaminya datang nak pinjam kereta.

Mula-mula kak long okey je. Tapi dah tiap hari asyik orang nak pinjam kereta tak isi minyak. Jalan ke hulu ke hilir free aje. Sampai kak long nak pergi mana-mana pun kadang-kadang terpaksa tunggu berjam orang pulangkan kereta. Kak long cuba slow talk dengan suaminya tapi kedekut taik hidung masin tu dah jadi gelaran kak long bila disuarakan rasa tak puas hati.

Akhirnya sesabar-sabar kak long meletup juga lahar amarahnya. Hilang segala segan silu dihadapan orang luar kerana kesabaran sudah di tahap yang tak boleh bawa bincang. Kak long perlu hadir ke mesyuarat sekolah tetapi tanpa pengetahuan kak long, suaminya dah bagi kawan pinjam kereta kak long, nak bawa tunang beli barang katanya.

Kak long menunggu bagai bom masa. Kalau di sentuh sedikit, confirm terus meledak kebabomm. Kawan suaminya pun sampai, malangnya kereta kak long jauh sebatu dah boleh dengar dah enjinnya bunyi pelik semacam. Terlanggar entah apa, tapi sikit je tak teruk pun katanya.

Kak long bila nampak je kereta dia & dengar jawapan dari orang tu tak teruk katanya. Maka meletuplah bom yang ditahan-tahan selama ini. Tunang kepada kawan suaminya pula sangat kurang ajar. “eleh sikit punya hal pun nak marah ke? Kira berapa kerosakan saya sanggup bayar” perempuan sinis itu pun berlalu meninggalkan kak long & suami.

Sejak dari hari tersebut suami kak long dah tak berani nak bagi orang pinjam kereta kak long. Tapi cerita tu tak habis kat situ je, dia sendiri yang akan jadi driver pula untuk orang lain. Tepuk dahi…

Setelah 5 tahun perkahwinan kak long yang masih belum menemui kehidupan yang aman, sekali lagi kak long mengadu. Suaminya seperti ada bau-bau kecurangan. Ah sudah.. Benda ni kitorang adik-beradik dah syak lama dah. Sebab dah ramai orang yang mengata. Saya sendiri pernah ternampak suami kak long pandu kereta kak long, disebelahnya ada perempuan lain.

Saya cuba sedapkan hati mungkin itu kak long, tapi saya check dekat group WhatsApp, kak long sibuk uruskan anak-anak kat rumah siap kongsikan gambar anak-anak tengah makan lagi. Suami sibuk ruqyahkan orang katanya. Kitorang pernah bincang dengan kak long hal ni. Tapi kak long dah mula back up suaminya. So kitorang pun tak nak masuk campur hal rumah tangga kak long sebab hormat dengan keputusan dia.

Kak long kata suaminya asyik bawa pulang hadiah dalam paper bag siap ada kad bagai. Kadang-kadang dapat baju, perfume & banyak lagi. Kami tak masuk campur sangat, kami just bagi pendapat. Nak ikut atau tak terpulang pada kak long.

Benda ni berlalu macam tu je, kami pun tak tahu apa benar suami kak long ada cinta lain. Kak long pun dah slow bercakap hal rumah tangga mereka. So dalam sangkaan kami mungkin mereka sudah melalui fasa sukar dalam hubungan rumah tangga dan sedang memasuki fasa selesa.

Setelah beberapa tahun mereka berkahwin & ada 5 orang anak. Saya dikejutkan dengan satu video yang suami saya tunjukkan. Suami saya bekerja di jabatan yang bersebelahan je dengan jabatan suami kak long. Pegawai atasan kepada suami kak long pula kawan baik suami saya. Video tu adalah aksi hubungan songsang suami kak long dengan seorang lelaki.

Astaghfirullahalazim…… Mengucap panjang saya, tak sanggup tengok lebih-lebih video tu. Suami saya kata benda ni dah lama. Rakan-rakan 1 bangunan tu semua tahu & suami kak long sedang dalam tindakan & bila-bila masa akan di buang kerja.

Saya tanya adik-beradik yang lain kalau-kalau mereka ada dengar berita yang bukan2 tentang ipar sorang ni. Selain saya, ada 2 orang kakak & seorang adik saya dah tahu. Perasaan saya masa tu tak tahu nak gambarkan macam mana. Saya sedih kenangkan kak long yang dapat suami pengamal lgbt.

Sy hantar mesej WhatsApp pada kak long berbunyi “Melati sentiasa ada klu kak long perlukan bahu”. Kak long balas emoji nangis. Kak long sedih sangat, kecewa marah bercampur-baur. Tak lama lepas tu suami kak long berhenti kerja.

Suami kak long kata, dia ditamatkan kontrak & pengurangan pekerja. Suami dia tak tahu yang kak long sebenarnya tahu dia diberhentikan dan bukannya ditamatkan kontrak. Malahan sampai ke hari ini juga, suami kak long tak tahu yang kak long sebenarnya dah tahu perbuatan songsangnya di belakang kak long. Tabahnya kak long demi anak-anak.

Kami pernah suarakan pendapat nak kak long bercerai. Tapi kak long tak nak atas faktor dia dah berusia, dia takut usia dia tak panjang dengan anak-anak. Takut kalau dia pergi dulu, anak-anak tak biasa dengan ayah mereka. Kami mati kata-kata.

Selama bertahun-tahun kak long kahwin, keluarga pihak suami tak pernah tahu sikap suami kak long sangat tak bertanggung jawab. Malah mereka menganggap suami kak long adalah anak yang membanggakan & suci. Tapi perbuatan songsang suami kak long ni akhirnya sampai juga ke telinga abang sulungnya.

Dia sendiri ada usulkan supaya kak long berpisah sahaja dengan adiknya itu kerana orang yang sudah melakukan perbuatan songsang sangat berisiko tinggi dijangkiti aids & hiv. Perkara ini berlalu begitu sahaja & kami sekali lagi beranggapan, mungkin kak long berjaya menasihati suaminya & ingin meneruskan lembaran baru dalam kehidupan mereka.

Tak lama kemudian kak long hamil anak yang ke 6. Umur kak long tak jauh dari 50,boleh dikira dengan jari tangan kanan dah. Kami terima berita tersebut antara suka dengan tak suka. Bukan menolak rezeki tapi umur kak long dah tak sesuai untuk menambah zuriat.

Suaminya juga tidak berpendapatan tetap, maka bertambahlah perbelanjaan & tanggungan mereka. Beberapa hari selepas kak long ke klinik untuk tujuan daftar kehamilan, dia datang berjumpa dengan saya dan meminta pendapat. Apa yang perlu kak long buat, suami kak long disahkan hiv!!!!!

Saya terkedu, tak tahu nak kata apa dah. Kalau sakit kanser tahap 4 mungkin boleh diterima halwa telinga ini. Tapi hiv? Penyakit yang dicari & sangat jijik dimata masyarakat. Apa pendapat yang boleh saya beri? Saya sendiri terduduk & termenung mengenang nasib anak-anak mereka. Ditambah lagi anak dalam kandungan.

Sungguh kehamilan kak long membawa hikmah yang sangat besar. Bayangkan sekiranya kak long tak hamil lagi, sampai bila mereka akan hidup tanpa perlindungan & pencegahan jangkitan hiv daripada suaminya. Allah Allah Allah. Sungguh berat dugaanMu pada kak long.

Mendengar khabar tersebut cukup membuatkan saya murung seminggu 2. Bila terkenang nasib anak-anak kak long air mata ini laju berderai. Kak long juga sepantas kilat menguruskan segala wasiat harta & anak-anaknya. Risau sekiranya kak long dijangkiti hiv daripada suaminya.

Yang mengetahui penyakit suami kak long hanya kami adik-beradik perempuan sahaja. Kerana setiap kali kami pulang berkumpul di kampung, adik-beradik perempuan yang akan menyiapkan urusan makan minum. Kami tidak Membenarkan lelaki masuk campur dalam urusan dapur kecuali yang berat-berat.

Hasil ujian darah kak long & baby selamat, mereka tidak dijangkiti. Kami juga sudah berbincang dengan kak long tanpa pengetahuan suaminya. Kak long akan meneruskan perkahwinan mereka tetapi hubungan kelamin tidak sama sekali. Kami juga bersetuju dengan kak long kerana dalam keadaan suaminya itu, dia sangat memerlukan sokongan untuk melawan penyakit tersebut. Meski pun hiv adalah penyakit yang sangat bahaya, namun kami mengambil langkah berjaga-jaga & mula menambah ilmu tentang hiv.

Perlahan-lahan suami kak long semakin berubah. Dahulunya sukar bergaul dengan keluarga, kini lebih mesra & ringan tulang. Dahulu dia sudah dekat dengan agama kerana dia sendiri adalah pendakwah yang sangat alim, sekarang dia lebih warak mungkin kerana takut bila-bila masa penyakitnya boleh melarat & kehilangan nyawa.

Dahulu dia sangat berat tulang dalam menguruskan hal rumah tangga, sekarang dia yang bangun paling awal untuk menyiapkan anak-anak tanpa perlu di ingatkan berkali-kali.

Sesekali kak long mengeluh, betapa eloknya kalau suaminya bersikap sebegitu sejak awal perkahwinan, sekarang bila sudah diambang kematian baru sedar akan tanggung jawab. Namun kak long sering kali menepis keluhannya & tetap bersyukur kerana diberi kesempatan rasa mempunyai suami yang bertanggung jawab.

Sehingga kini sudah masuk 10 tahun usia perkahwinan kak long. Masih kami menyimpan rahsia penyakit suami kak long daripada mak ayah & adik-beradik lelaki. Kerana bagi kami, keadaan belum begitu mendesak untuk kami maklumkan kepada mereka. Suami kak long & adik-beradik lelaki tidak terlalu terdedah dengan sentuhan badan & mereka juga jarang berjumpa.

Suami kak long juga seperti sedar diri, kurang merapat dengan orang sekeliling. Alhamdulillah dia juga masih sihat untuk melawan penyakitnya, InsyaAllah. Sangat banyak hikmah yang kami peroleh daripada cerita hidup kak long. Melihat suaminya yang istiqomah beribadat selepas mengetahui diri menghidap hiv, kami juga seperti terkesan, takut dengan kematian dan perlahan-lahan memperbaiki ibadat masing-masing.

Bagi saya, suami kak long sudah diuji, sudah memdapat balasan, & sudah mendapat hidayah dari Allah.  Dia diuji dengan ujian yang sangat besar sehingga sikapnya berubah 360 darjah. Hanya Allah yang tahu adakah taubatnya diterima.

Kepada pengamal lgbt bernafsu songsang, kembalilah ke pangkal jalan. Sentiasa takut kepada Allah & ingat kepada kematian antara cara mematikan niat songsang kalian. Tidak terlambat sekiranya anda bertaubat bermula dari sekarang. Semoga kita semua didalam lindungan Allah & sentiasa istiqomah dalam melakukan amal ibadat hanya kepada Allah Tuhan yang Satu.

– Melati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *