Suapan Ibu

Dulu semasa bersekolah, ibulah orang yang paling kelam kabut pada waktu subuh.

Bermula jam 6.00 pagi, keenam-enam kami ditempik untuk bersiap ke sekolah. Bersidailah seorang demi seorang di anak tangga menunggu giliran mandi.

Setiap hari, ibu akan menyiapkan sarapan kepada kami.

Ada ubi, ubi direbus,

Ada pisang, pisang di lenyek,

Ada nasi, nasi digoreng,

Semata-mata memastikan kami tidak lapar ke sekolah. Juadah yang lebih, ditapaukan untuk di makan semasa rehat. Tiada wang saku diberikan kepada kami untuk ke sekolah.

Oleh kerana saya yang paling kecil dan paling ‘slow’ ketika itu, ibu akan menyuapkan saya ketika saya bersiap.

Ketika saya memakai baju, satu suapan,

Ketika memakai seluar, satu suapan,

Ketika bersikat rambut, satu suapan,

Ketika berbedak, satu suapan.

Sesuap demi sesuap ditonyohnya ke mulut saya sambil membebel.

“Aku dah cakap tidur awal, senang bangun pagi”

“Dari semalam aku suruh gosok siap-siap, degil!”

“Kenapa tak buat kerja sekolah semalam, kan senang”

Lama-kelamaan, habis nasi sepinggan.

Hari ini, ibu saya sudah uzur. Menyuap sendiri pun kadang-kadang tidak berdaya. Kadang-kadang cawan dipegang pun terlepas dari genggamannya. Minum pun berstraw.

Ibu selalu bagi asalan tidak berselera. Letaklah makanan sesedap mana pun di depannya, walaupun itulah makanan yang di suruh masak. Memang tidak berusik.

Tetapi apabila saya menyuapnya, habis juga nasi sepinggan. Satu suap ke mulut ibu, satu suap ke mulut saya.

Kalau ibu tidak membuka mulutnya, saya ungkit kisah dulu, semasa ibu menyuapkan saya sebelum ke sekolah.

Biasanya ibu akan tersenyum dan menganga mulutnya. Dia tahu saya akan ‘membebel’ seperti dia.

Akhirnya, habis juga nasi kami sepinggan berkongsi. Ibu kenyang, saya pun kenyang. Alhamdullilah.

Semoga, kenangan ini, kami simpan dalam lipatan memori kami. Sama ada, saya atau ibu yang akan pergi dulu.

*Tahniah dan terima kasih kepada anak-anak yang mengalah untuk mengasuh ibu dan ayah mereka.

Saya doakan semoga Allah sentiasa memurahkan rezeki, diberikan kudrat dan berlapang dada dalam menjalani kehidupan seharian. Aamiin.

– MOHD YUSOF YAAKOB (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *