Suara Ibu Yang Tak Indah

Assalamualaikum para pembaca, terus kepada luahan aku ya, untuk makluman semua aku tak pernah menulis cerita. Aku harap para pembaca dapat faham luahan hati yang ingin aku sampaikan.

Aku seorang anak perempuan yang tinggal bersama ibu, serta anak saudara dari ‘broken family’ (bapa : dadah, ibu: tekanan mental). Bapaku telah meninggal dunia 10 tahun yang lalu.

Ibu aku seorang yang cukup solat, tutup aurat, pandai mengaji al-quran, baik dengan adik beradik, baik dengan anak.

Apa yang aku ingin luahkan disini dimana mulut ibu aku yang sering menghina dan memaki anak-anak saudara aku yang tinggal bersama kami.

Ketiga-tiga mereka sedang belajar di sekolah menengah. Ibu bapa mereka pula tinggal berasingan dengan kami. Aku menjadi letih apabila ibu yang sepatutnya menegur kesilapan aku menjadi sebaliknya.

Aku pula yang asyik disalahkan apabila aku menegur perbuatannya menghina mereka atas kesalahan-kesalahan kecil seperti lupa untuk ampai baju dan tidak tolong di dapur.

Tu belum aku cerita yang mereka dilarang untuk tidur diatas tilam yang tebal dengan alasan badan mereka busuk nanti melekat dekat tilam tu.

Sejak aku dewasa, aku baru perasan yang ibu aku tak pernah kejut untuk solat subuh, dia selalu kejut untuk bangun buat kerja rumah (ampai baju, masak sarapan, sapu sampah), kejut dengan nada yang bising dan ayat yang tak sedap didengari.

Pagi-pagi dah mood tak best untuk bangun, serabut jugak kadang-kadang pagi² subuh dah mula dengar bebelan untuk duniawi. Haha. Aku hairan macam mana ibu aku tergamak cakap b@do# dekat cucu-cucu dia.

Sebelum jamah apa-apa makanan mereka wajibkan lakukan pekerjaan dulu. Aku terpaksa menegur perbuatan ibu aku kerana aku bimbang mental budak akan rosak serta bimbang balasan dari Allah.

Tak lupa jugak yaa ibu aku selalu mengaitkan keturunan anak saudara aku tu setiap kali dia marah mereka.

Duit pon dia berkira, makanan pon kadang-kadang ada nama untuk adik beradik aku sahaja yakni anak-anak ibu aku.

Aku pon terfikir patutlah abang-abang aku tak solat langsung. Aku solat pon sebab kehidupan aku banyak di asrama.

Aku belajar sehingga Ijazah Sarjana Muda, aku ni kategori anak yang taat tapi pada suatu ketika dahulu.

Sekarang macam anak derhaka pon ada sebab aku dah jadi tak mau dengar apa pon dari mulut ibu aku. Semua yang keluar dari mulutnya negatif belaka.

Ada satu peristiwa dimana aku ingin menghadiri temuduga maktab perguruan lepasan SPM, di pagi temuduga dia memperlekehkan aku, dia cakap aku lembik mampu kaa untuk jadi cikgu.

Ya Allah…. Bayangkan aku pergi temuduga tu macam mana.

Selepas tamat Ijazah Sarjana Muda, setiap kali aku bagitau aku minta kerja, dia akan perlekeh lagi aku dengan “kamu boleh ker tuu, kejap lagi tak tahu nak buat kerja pulak”.

Aku bagitau dengan harapan agar dia berdoa untuk aku tapi sebaliknya jadi sampai aku dah fed up jadi anak yang taat ke betui bendul entah. Haha.. sekarang aku hanya kerani dekat syarikat swasta berdekatan dengan rumah.

Aku pernah mintak nak berhijrah ke selatan pon tak dibenarkan tapi dia asyik puji memuji anak jiran sebelah ngaji tinggi2 sekarang dah kerja elok ya.

Haa satu lagi perangai ibu aku dia suka buka aib cucu-cucu dia dekat ibu² saudara aku, waktu aku kecil dia buka aib aku, bila aku dah besar aku sudah pandai memberontak bila aib aku dibuka.

Sekarang giliran anak saudara aku pulak. Dia selalu cerita yang cucu² dia bangun lambat, apa kerja tak reti buat, semua dia buat seorang.

Hmmmm…

Sekarang ni aku banyak termenung dan berdiam diri ja dirumah mengenang nasib dengan ujian ibu yang Allah turunkan, di pejabat pulak aku terkenal dengan orang yang ceria dan pendengar yang setia.

Aku fikir2 balik, aku ni seorang yang tahu agama, aku fasih baca alquran, spm aku aliran agama dan aku skor, aku pandai sembahyang, aku menutup aurat. Alhamdulillah.

Jadi Allah turunkan aku ujian dimana aku dikurniakan ibu tidak seperti yang didambakan.

Kesabaran yang tinggai amat diperlukan. Aku sayang dia, aku nak dia mati dalam husnul khatimah tapi semua yang aku tegur dia tak endah.

Dia tak jaga hubungan dengan manusia.

Korang yang dapat ibu baik, tolong jangan kecam dengan kami yang dapat ibu yang tidak berseni dalam mencorakkan kain putihnya.

Kepada bakal ibu, tuntutlah ilmu keibubapaan.

Aku anak, inginkan kedamaian dari seorang ibu.

Aku ingin lihat kebaikan dari ibu sehingga aku menafikan cacat cela ibu aku.

Aku inginkan ibu yang selalu menyakinkan aku untuk gapai kejayaan.

Aku dari sekolah rendah aku belajar di sekolah rendah islam swasta, dimana aku diajar untuk taat ibu bapa tapi ibu aku lakukan tidak sama seperti islam ajar.

Asyik anak saja yang belajar, zaman sekarang ibu bapa jugak kena belajar ilmu menjadi ibu bapa. Ada yang sekasut dengan aku?

Lega dapat luah,

– Suria (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *