“Suatu Masa Dahulu, Saya Hampir Cederakan Kakak.”

Assalamualaikum semua. Saya Nuri (bukan nama sebenar). Rentetan dari kes yang viral baru-baru ni, buat saya terkenang pengalaman semasa remaja dulu. Biasalah, waktu remaja kita belum pandai nak mengurus emosi dan konflik dengan baik kan?

Tindakan kita buat kebanyakannya menurut perasaan. Saya juga ada terbaca banyak komen positif dari netizen yang bagi kata-kata semangat dan mendoakan perkara yang baik kepada adik yang tanpa sengaja menyebabkan kematian adik dia.

Terima kasih netizen, sebab anda semua dah pandai melihat situasi dan memberi komen dengan lebih bijak. Alhamdulillah.

Bila baca, saya sendiri terasa terharunya. Dan bila baca semua komen yang bagi sokongan kepada adik tu, buat saya rasa macam saya hidup dalam masyarakat yang sihat.

Baik, berbalik kepada tajuk confession di atas tu. Ya, dulu saya pernah hampir membunuh kakak saya. Tindakan tu bertitik tolak dari tekanan dan perasaan tidak puas hati yang dah lama terpendam.

Jujurnya, perasaan tidak puas hati tu timbul dan wujud kesan dari layanan yang saya rasa kurang adil oleh mak terhadap saya. Kakak saya selalunya akan dapat segala yang dia mahukan.

Minta sahaja lah apa pun, mak akan kotakan. Berbeza dengan saya, saya struggle untuk dapat apa yang saya nak. Saya kena berusaha sendiri atau saya kena mengalah supaya kakak saya boleh dapat apa yang dia nak.

Mak saya seorang ibu tunggal selepas kematian arwah abah. Jadi waktu tu mak pun bersusah payah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak dia 8 orang. Kami masih kecil waktu tu.

Saya ni kira anak yang di tengah-tengah. Saya masih ingat struggle mak menyekolahkan kami adik-beradik.

Tapi, Alhamdulillah walaupun susah tapi anak-anak mak semua bijak-bijak dalam akademik. Cuma, kakak saya dulu dia sangat rapat dengan arwah abah.

Mungkin disebabkan dalam fasa dia masih bermanja, arwah abah pergi menyebabkan dia terganggu dan beri kesan pada emosi dan tingkahlaku dia yang menyebabkan dia selalu buat masalah. Contohnya, dia suka ambil barang orang atau duit tanpa pengetahuan tuannya.

Saya pernah la tengok teruk kakak saya kena bantai dengan mak sampai lebam-lebam sebab mak sangat marah. Seorang ibu tunggal yang perlu membesarkan anak-anak sendirian, tekanan untuk mendidik anak menjadi manusia yang baik tu dia tanggung seorang diri.

Yelah, kalau buat hal, balik-balik orang akan salahkan mak kan tak pandai didik anak.

Jadi bermula dari situ, mak akan pastikan apa yang kakak minta mak akan tunaikan sebab mak taknak kakak ulang perbuatan dia tu. Mak pun taknak hidup dalam simpati dan kasihan orang.

Cuma masa remaja tu, saya belum mampu nak berfikiran dan faham niat disebalik tindakan mak saya tu. Bila dah dewasa sekarang baru dapat celik akal.

Semasa bersekolah rendah, bila ada lawatan sambil belajar, hanya kakak je yang boleh pergi. Saya selalu bawak balik borang lawatan untuk mak isi, tapi mak refuse. Bila balik dari sekolah, saya sangat takut nak tanya mak untuk minta kebenaran nak pergi.

Sebab pengalaman sebelum-sebelumnya mak akan marah dan memang tak bagi. Setiap kali mak refuse, saya rasa sedih. Sedih sebab kakak je yang boleh pergi, saya tidak. Tiap kali ditolak tu saya masuk bawah katil, menangis sorang-sorang.

Sampai tersedu-sedu sambil pegang borang lawatan tu dan akhirnya saya terlelap sendiri dekat situ juga. Waktu ni saya akui saya tak terfikir pun yang mak ada kewangan yang terhad, sebab masih budak kan. Memanglah seorang je yang boleh pergi lawatan sekolah.

Kalau cakap tentang keperluan sekolah, biasanya saya akan pakai baju sekolah kakak yang dah lusuh. Warna pensil pun saya akan dapat yang kakak punya yang dah pendek-pendek batang pensil warnanya. Apa-apa je yang kakak saya dah taknak pakai, saya ambil dan pakai.

Kasut, baju, seluar, tudung. You name it. Sebab saya rasa apa sahaja yang kakak saya pakai, cantik di mata saya. Sebab saya tak dapat apa yang kakak saya dapat. Even baju PLKN kakak saya pun saya pakai buat pergi berjalan sebab saya tak ada baju cantik-cantik untuk keluar.

Tapi saya tak kisah, saya pakai je.

Kakak saya dia belajar di SBP masa bersekolah menengah, jadi lagi bertambah perbelanjaan. Selalu lah kakak call minta duit belanja.

Mak akan usahakan walau adakalanya keperluan saya terpaksa dikorbankan. Tak apa, saya masih boleh mengalah. Dan saya pulak bersekolah harian biasa sampai PMR.

Tapi Alhamdulillah, saya dapat 8A untuk PMR sebab saya nak rasa dapat belajar di SBP masa Form 4. Saya nak rasa macam mana akak saya rasa.

Tapi saya tak dapat pun SBP, saya dapat MRSM. Dalam tempoh Form 1 ke Form 3 tu, saya stay kat rumah je berulang-alik ke sekolah dan tak stay di asrama pun.

Saya memang disuruh oleh mak untuk buat kerja-kerja rumah.

Basuh baju semua orang dalam rumah, pakai tangan sebab tak ada mesin basuh, sidai kain, angkat kain dari jemuran, lipat kain, memasak, masak air, buat air batu (ais), cuci pinggan mangkuk dalam bilik air sebab tak ada sinki, kemas rumah dan macam-macam lagi kerja yang lain.

Penat? Memang penat. Balik je dari sekolah, selesai solat Zuhur semua saya akan cepat-cepat siapkan kerja sekolah. Dah setel kerja sekolah, baru saya setelkan kerja-kerja rumah pulak.

Kalau hari minggu, bangun pagi selepas solat Subuh saya akan start kemas rumah, basuh baju dan lain-lain.

Saya akan make sure rumah kemas luar dan dalam. Sebelum tengahari saya dah siapkan masak nasi dan lauk. Siap buat air letak atas meja makan. Sebab after 12 tengahari, mak akan balik dari menoreh getah. Jadi dia balik, dia dah lega.

Balik rumah dengan tenang sebab kerja rumah dah setel, rumah dah kemas, mak boleh berehat sekejap. Lepas tu mak akan sambung lagi, menjahit baju yang orang hantar upah mak untuk jahitkan.

Cuma, saya sangat tak suka kalau cuti sekolah kakak saya balik. Saya ingkatkan bila dia balik, segala beban tugas saya tu akan lebih ringan.

Tapi, saya rasa makin bertambah. Dia akan tidur sampai tengahari, dan suka sepahkan rumah. Dengan makan tak basuh pinggannya. Saya selalu lah rasa marah. Sebab saya kepenatan jaga kebersihan dan kekemasan rumah, tapi orang lain selamba je sepah-sepahkan.

Bila mak balik, saya bagitahu lah mak yang kakak ni taknak kemas tempat tidur dia, tak basuh pinggan dan lain-lain. Jawab mak, “takpelah kan ada hamba dalam rumah ni”.

Masa tu, saya tak faham maksud sebenar jawapan mak tu. Dan saya ambil jawapan mak tu dari sudut yang negatif. Saya fikir yang mak anggap saya hamba dalam rumah tu.

Bermula dari situ, saya rasa benci sangat dengan kakak saya. Saya selalu buat perbandingan cara mak layan kakak dan cara mak layan saya.

Saya masih ingat antara peristiwa yang buat saya sangat sedih bila mak pergi bandar dan mak bawa banyak plastik beg yang ada macam-macam barang di dalamnya. Saya pun dengan seronok lah tercari-cari barang saya.

Sebab masa tu mak dah janji nak belikan saya telekung baru sebab saya dapat nombor satu keseluruhan tingkatan. Dari sekolah rendah saya pakai telekung yang sama. Telekung lama mak yang memang dah lusuh sangat.

Kainnya pun dah menipis, dah nak mereput. Kalau tarik memang boleh terkoyak, walaupun ada part kat bahagian muka yang dah tercarik-carik koyak. Bila saya cari-cari saya tak nampak pun any telekung baru.

Yang saya jumpa beberapa helai baju baru kakak. Waktu tu saya rasa sebak sangat. Tapi saya tahankan diri, dan saya ambil plastik yang ada barang-barang dapur dan saya kemas simpan dekat dapur sambil air mata saya jatuh. Lepas tu saya masuk dalam bilik air, saya basuh muka.

Sebenarnya banyak lagi event yang lebih kurang sama berlaku. Sampai satu tahap, saya jadi sangat protective dengan apa yang saya ada.

Dari sekolah rendah lagi, kalau saya nak beli apa-apa, saya akan menabung. Saya simpan duit dari belanja sekolah yang mak bagi RM1 tu.

Time sekolah saya belanja RM 0.50, dan baki saya simpan dalam tabung kotak yang saya buat. Tapi pernah la saya dah berjaya menabung sampai RM50, tapi duit tu hilang.

Masa duit tabung saya hilang, pada waktu yang sama kakak saya ada beli barang dia. Masa tu saya syak kakak saya yang ambil.

Saya pun bagitahu mak saya. Tapi mak saya kata, “nanti mak ganti”. Dan saya pun bermulalah semula saving duit saya.

Adalah suatu hari tu, saya berjaya saving dan boleh beli selipar baru. Tulah the only selipar paling cantik yang saya pernah ada. Saya simpan baik-baik selipar tu dalam almari.

Satu hari, saya tengok selipar saya tu tak ada. Merata saya cari. Rupanya kakak saya ambil dan pakai pergi keluar bandar. Bila dia balik saya rasa sangat marah sebab kalau barang dia, bukan main kedekut dia taknak kongsi dengan saya.

Memang saya bergaduh marah dia. End up, dia campak selipar tu kat muka saya. Tapi, ini bukan punca saya nak bunuh dia masa tu.

Punca saya nak bunuh dia adalah bila gula-gula saya hilang. Masa tu bulan Ramadhan. Saya beli gula-gula untuk saya makan after berbuka puasa.

Ya waktu ni saya dah bersekolah menengah. Kejadian ni berlaku selepas beberapa hari yang saya cari telekung dalam plastik tak ada tu.

Waktu tu saya tertidur dan saya simpan gula-gula tu bawah bantal saya sebab saya takut ada orang ambil. Yelah, saya nak dapat apa yang saya nak susah kan.

Jadi bila saya terjaga, ada satu gula-gula hilang. Waktu tu saya directly tanya kakak saya. Berlakulah pertengkaran dan pergaduhan.

Masa tu mak saya tengah setting kain, selit jarum untuk dipotong buat baju orang tempah tu. Bila dah gaduh-gaduh tu saya nampak ada gunting baju mak yang paling hampir dan saya ambil gunting tu sambil lari menerpa ke arah kakak saya.

Saya cucuk gunting tu dekat perut dia, tapi dia mengelak dan pegang tangan saya. Masa bergelut tu mak datang dan jerit pada saya. “Nak jadi pembunuh ke?”, jerit mak saya.

Saya terus tersedar dan melepaskan gunting tu jatuh ke lantai. Saya lari, dan pergi belakang rumah sambal menangis teresak-esak.

Jadi, saya amat faham apa yang ibu si kakak, kes viral baru ni kongsikan. Yang si kakak capai sahaja apa objek yang terdekat untuk lepaskan perasaan. Sebab itulah yang saya buat masa tu.

Selepas kejadian tu, ketua kampung ada datang rumah. Tapi not because of that incident. Dia tengah cari nama-nama remaja kampung untuk dihantar ke program motivasi.

Program motivasi ni anjuran Pejabat Tanah dan beberapa gabungan kampung berdekatan. Jadi dia masukkan nama saya.

Maka, pergilah saya ke program motivasi tu 3 hari 2 malam. Bertitik tolak dari program tu, saya berubah jadi orang yang lebih baik dan anak yang lebih baik.

Tapi, mak masih dengan cara mak dalam layanan antara saya dan kakak. Walaupun dah masuk universiti, dan kakak dah bekerja waktu itu, saya tetap perlu mengalah dan berusaha sendiri untuk diri.

Saya masih ingat, setiap bulan mak akan masukkan duit belanja RM150, dan saya akan pastikan saya manfaatkan RM150 tu sehingga habis sebulan tanpa meminta duit tambahan yang lain.

Dan menyedari, ada keperluan belajar yang memerlukan saya untuk ada duit lebih, saya bekerja sambilan di kedai komputer.

Kakak saya, walaupun dah bekerja tapi mak masih perlu bagi duit belanja. Disebabkan keadaan yang sebegitu, saya tak sanggup nak susahkan mak.

Saya masih ingat lagi masa buat persediaan nak menyambut hari raya. Teman mak cari barang di bandar. Masuk kedai baju. Mak pilih-pilih baju sebab nak beli untuk kakak, sedangkan kakak dah bekerja. Masa tu saya masih pelajar degree duit puntak berapa nak ada.

Saya sejak belajar di universiti, belum pernah miss untuk belikan mak baju raya, itu pun kalau mak ingat. Huhu. Tapi tak apa.

Masa mak kata nak belikan baju raya untuk kakak tu, saya okay lagi. Lepas pilih, mak terus pergi kaunter bayar 2 pasang baju kurung untuk kakak.

Saya jauhkan diri menahan sebak, sebab sekali lagi tak ada saya punya. Teringat peristiwa tentang telekung masa sekolah menengah dulu.

Kebetulan masa tu pergi bawak anak buah sekali. Dia lelaki, sekolah darjah 3 masa tu. “Makcik, tak beli baju raya ke?”, tanya dia pada saya.

Saya mampu jawab sambil gelengkan kepala je sebab menahan sebak dan air mata yang dah bergenang-genang, tinggal nak tumpah je.

Lepas tu dia tanya lagi, “makcik, nak guna duit saya tak? Ada ni, beli la baju, sian makcik tak ada baju raya”,

Dia tawar duit dia untuk belikan baju raya saya sambil seluk poket seluar dia nak keluarkan duit, sedangkan duit dia cuma ada RM30 je. Saya pegang tangan dia, saya cakap, “tak apa, makcik pakai baju lama je”.

Hmm…begitulah. Kalau nak cerita banyak lagi. Tapi saya kongsi sikit je supaya kalau ada pengajaran yang baik, boleh lah pembaca ambil.

Saya dah tak marah pun pada mak saya sekarang. Alhamdulillah, saya pun rapat dengan kakak saya sekarang. Semua tu pengalaman yang mendewasakan. Sebab mak tak berniat nak pilih kasih, ia berlaku tanpa kesedaran dia kan. Sama macam kita sendiri, dalam persahabatan.

Walaupun ada empat orang yang kita rapat, tapi akan ada sorang dua je yang kita paling okay. Biasalah, ibu mana yang sempurna kan?

Dulu-dulu, mak kita tak terdedah dengan maklumat-maklumat parenting dan sebagainya. Jadi, cara dia bergantung pada pengalaman dan apa yang dia ada ketika itu. Kita pula sekarang, dah ada kemudahan untuk akses ilmu keibubapaan, latihan psikopendidikan dan sebagainya.

Jadi, banyak sebenarnya yang saya dah pun belajar dari pengalaman hidup sendiri untuk saya berfungsi dengan lebih baik sebagi ibu kepada tiga orang anak-anak saya.

Dan pada masa yang sama, pengalaman lepas membentuk saya untuk jadi orang yang lebih berempati dan memahami orang lain.

Yang paling penting, saya amat bersyukur dan berterima kasih pada mak saya sebab semua tu adalah learning process untuk saya. Kalau dulu mak tak tekan saya untuk menguruskan rumah, sekarang mungkin saya tak pandai nak buat kerja-kerja rumah.

Sebab tulah, sekarang saya suka sangat hadiahkan something pada family dan kawan-kawan saya. Saya akan hadiahkan benda-benda yang sentimental pada saya untuk mereka. Definitely “telekung” dan “baju raya”. Hehe. Saya appreciate orang yang berada di sekeliling saya.

Kawan-kawan selalu tanya kenapa selalu bagi hadiah. This is my hidden reason all this while.

Sekarang pun saya suka buat surprise untuk anak-anak, walaupun sekadar sebutir “gula-gula”. Bagi saya, bukan “hadiah” tu yang matter, tapi lebih kepada “It’s the thought that counts”.

Dan sekarang, bila berita yang viral ni berlegar-legar di media sosial memang sedikit sebanyak triggered saya. Tapi, Alhamdulillah terima kasih pada kaunselor saya yang banyak membantu dalam healing process saya.

Dan saya rasa amat penting untuk ibu bapa hantar anak-anak remaja untuk attend any Workshop/ Training tentang Pengurusan Emosi.

Saya percaya, Jabatan Kesihatan Negeri, NGO dan pusat-pusat kaunseling banyak buat bengkel yang sedemikian. Tinggal lagi kita kena cakna dan gunakanlah platform internet untuk cari sumber sokongan dalam urusan mendidik anak-anak.

It’s okay untuk dapatkan bantuan, bukan tanda diri kita ni lemah.

Saya doakan semoga kita semua boleh menjadi orang yang lebih baik, sejahtera dan boleh membahagiakan diri sendiri dan orang sekeliling.

Terima kasih sebab sudi baca.

– Nuri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *