Aku seorang yang suka pendam perasaan. Setiap kali ada masalah, aku lebih selesa pendam dan pendam. Tapi semakin aku pendam, makin membuatkan hati aku sakit. Dari kecil lagi aku bersikap begini sehinggalah sekarang. Aku terlalu takut untuk meluahkan, terlalu tidak percaya akan apa yang aku luahkan ini akan dapat disimpan oleh orang lain.
Disebabkan itu, aku lebih memilih untuk pendam. Kadang2 aku tidak dapat mengawal perasaan aku daripada terus marah. Setiap kali aku marah, aku akan cuba untuk menyakiti diri ini daripada menyakiti orang yang aku marah. Perasaan marah ini kini telah bertukar benci dan dendam. Aku seperti seorang munafiq yang hanya berpura di hadapan orang yang aku benci sedangkan di belakangnya, aku mengata tentangnya.
Suatu hari aku cuba membuka tentang artikel ‘padahnya pendam perasaan’ dan ia menunjukkan sepertinya aku telah berada di tahap yang bahaya kerana aku tidak pernah cuba untuk melawan perasaan aku ini. Aku sedih, setiap kali ada orang yang cuba bergurau dengan aku pun aku sudah mengganggap seperti mereka sengaja ingin menyakiti aku. Aku juga telah mudah sensitif terhadap kata2 rakan sekerja aku. Aku tak nak berfikiran negatif tapi bila aku sendiri terdengar perbualan mereka tentang aku, aku mula rasa pedih. Hati aku hancur. Ibu dan ayah aku tahu aku sakit tapi mereka kalau boleh tidak mahu aku mengambil ubat penenang kerana takut aku akan terus bergantung kepada ubat hospital selamanya. Maka dengan itu aku memutuskan untuk tidak makan ubat itu.
Kini aku menjadi bingung. Aku tahu aku sakit. Tapi seriously aku tak tahu apa nak buat. Nak diluahkan, aku jadi takut jika kawan2 aku mengatakan aku gila. Aku kini hanya mampu bersandiwara di hadapan semua tapi hakikatnya aku tahu itu bukan aku. Kalau boleh aku ingin sekali menceritakan setiap masalah yang aku hadapi tetapi aku tak mampu.
Sekarang, aku tidak tahu mengapa aku jadi benci pada semua orang dan marah dengan setiap apa yang mereka lakukan. Disebabkan oleh perangai supervisor yang juga suka memberi tekanan pada aku menyebabkan aku telah mula menyimpan dendam dan berjanji akan membalas segala perbuatannya padaku. Aku memang tidak pernah melawan akan kehendaknya pada aku kerana aku terlalu takut untuk melawan. Aku kalau boleh tidak suka bergaduh tetapi melihat mereka bergaduh, amat menggembirakan bagi aku.
Setiap hari selepas selesai solat, aku selalu meminta Allah agar memberikan jalan keluar bagi aku. Kalau boleh aku tidak mahu jadi begini tetapi apakah daya. Ini sudah menjadi takdir buat diriku.
Sekian, luahan hati dari saya.
– Lara Aqila
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit