Sukarnya Untuk Kekal Waras

Assalamualaikum, terima kasih kepada admin sekiranya confession saya ni dipublish. Sebenarnya saya tak tahu macam mana nak mula, tapi saya cuba sebaik mungkin untuk menulis apa yang terpendam di hati saya selama ini.

Sebelum tu saya cerita sedikit latar belakang diri saya. Saya berumur 30-an, seorang isteri dan mempunya tiga orang anak umur dalam lingkungan 2-4 tahun. Seorang yang bekerjaya dan sekarang ni hidup pjj dengan suami sejak kahwin. Means, sudah ampir 5 tahun juga hidup pjj.

Apa yang saya nak luahkan dekat sini, susahnya nak kekal berfikiran waras dan positif bila mana orang sekeliling tak faham apa yang saya lalui.

Memandangkan anak-anak semua duduk dengan saya, maka urusan anak dari a-z semua saya uruskan. Pagi-pagi kalut siapkan anak nak ke sekolah dan hantar pengasuh sebelum masuk kerja.

Tengah hari keluar ambil anak dan hantar ke pengasuh. Masuk kerja semula dan petang tu keluar ambik ketiga-tiga anak sebelum balik rumah. malam, uruskan anak apa yang patut sebelum anak masuk tidur. Kemas baju-baju anak untuk dihantar ke rumah pengasuh dan begitulah seterusnya.

Rutin harian ni bermula hari isnin sampai jumaat. Hari jumaat petang, suami akan balik dan hujung minggu suami yang uruskan anak-anak dan basuh-sidai baju.

Hujung minggu, tugas saya memasak sahaja. Sarapan dan masak tengah hari. Anak-anak memang suami yang urus masa hujung minggu. Cuma kadangkala kalau dah tak terkawal, saya akan bantu tidurkan anak-anak waktu petang.

Rutin ni pada mulanya agak mencabar bagi saya memandangkan saya perlu uruskan anak-anak kecil seorang diri disamping bekerja pada siang hari. Tapi, lama-lama alhamdulillah saya boleh lakukan walaupun kadangkala rasa burnout.

Rutin jadi makin mencabar start pkp 1.0 dulu di mana saya perlu bekerja dari rumah dan dalam masa yang sama perlu urus anak-anak.

Masa ni emosi saya betul-betul tak stabil. Rasa cepat nak naik marah dan saya memang perasan perangai saya agak teruk disebabkan terlalu penat.

Apa yang membuatkan saya sedih dan kecewa bila orang sekeliling tak cuba faham apa yang saya hadapi.

Disebabkan terlalu penat, saya jadi mudah serabut dan asyik nak marah-marah. Tengok benda bersepah depan mata, jadi sakit hati. tengok benda tak ada ditempat sepatutnya, saya jadi nak marah.

Pendek kata, semuanya serba tak kena. Orang nampak betapa buruknya perangai saya termasuk suami saya.

Bila saya kata saya terlalu penat, suami asyik cakap dulu mak-mak kita okey aje. Saya pula cakap dulu mak-mak kita mana kerja. Suri rumah sepenuh masa. Hidup pun tak pjj macam saya.

Kalau hujung minggu kadangkala saya berehat sahaja di dalam bilik sebab suami kata hujung minggu dia akan uruskan anak-anak dan kemas rumah, tugas saya hanya memasak.

Jadi, saya lebih suka habiskan masa di dalam bilik. Berehat dan baring2 sahaja pada waktu pagi. Kiranya saya akan keluar bilik dalam tengah hari untuk masak dan tidurkan anak.

Kebetulan, waktu pagi tu mak dan ayah saya suka datang ke rumah. Saja melawat cucu.

Untuk pengetahuan semua, hari-hari pun saya datang ke rumah mak lepas waktu kerja. Singgah sekejap sebelum pergi ambik anak-anak. Duit belanja pun tiap bulan saya bagi alhamdulillah tak pernah miss sejak kerja.

Yang membuatkan saya selalu kecil hati, setiap kali mak ayah datang, mereka akan persoal kenapa saya tak keluar bilik. Betul. Nampak macam biadap kan mak ayah datang kita tak keluar sambut.

Kadangkala lepas subuh saya tertidur balik disebabkan terlalu penat. Hari sabtu tu aje. jadi, bila mak ayah datang saya tak sedar.

Bila suami kata saya penat, mak akan cakap mak dulu pun jaga anak-anak ayah tak ada.

Ketahuilah, mak saya bukan pjj dengan ayah saya dan mak saya tak bekerja. Mereka suka compare kehidupan dulu dengan keadaan saya sekarang. Mak saya seolah-olah nak jadi mertua terbaik sebab macam nak cari alasan yang saya sepatutnya tak boleh begitu begini.

Saya sepatutnya jadi bidadari syurga yang perlu melayan suami sebaik-baiknya. Saya tak boleh berehat di dalam bilik sedangkan suami saya kena basuh baju berbakul-bakul dan sidai di luar.

Saya sedih dan kecewa. Saya tak mintak apa-apa. Saya Cuma mintak orang sekeliling faham kenapa kadangkala saya bersikap macam tu. Saya penat. Saya Cuma nak dengar ada orang backup saya cakap, takpelah.

Dah dia penat tu jaga anak dari isnin sampai jumaat. Kena kerja lagi. biarlah dia berehat kejap. Thats it. Tapi, apa yang mak saya nampak, suami saya penat balik drive jauh-jauh lepas tu hujung minggu kena jaga anak dan basuh kain.

Hujung minggu tu hanya dua hari sahaja. Itu pun bukan saya tinggal terus. Saya Cuma nak masa beberapa jam sahaja untuk buat apa yang saya nak di dalam bilik. Alone. My me time.

Saya tak mintak nak keluar tengok wayang ke, pergi spa ke. Saya hanya nak duduk dalam bilik hanya untuk beberapa jam.

Kadangkala bila fikir, saya ni kena masuk hospital kut ataupun kena jumpa pakar sakit jiwa baru orang tau betapa penatnya saya sampai kadangkala anak-anak pun jadi mangsa.

Saya penat nak kawal fikiran supaya tak buat benda bukan-bukan dekat rumah ni. kadangkala saya terfikir, kesian anak-anak ada mak macam saya yang asyik nak menjerit terpekik terlolong.

Kalaulah aku mati.. kalaulah… kalaulah…

Betapa strugglenya saya nak support diri sendiri, pujuk diri sendiri supaya saya kekal positif. Tapi, yang melemahkan saya adalah sikap orang sekeliling yang rapat. Saya tak ada moral support. Saya tak ada sistem support yang kuat dari keluarga sendiri.

Kadang kalau saya bergaduh dengan suami dan saya tak boleh cerita dekat keluarga sendiri sebab aib suami kena jaga, saya hubungi ayah mertua saya.

Saya luah dekat ayah mertua saya. Saya bersyukur sebab saya punya ayah mertua yang baik. bayangkan, saya tak mampu nak cerita masalah dekat mak dan ayah saya sendiri tapi saya mampu cerita dan luahkan masalah dekat ayah mertua saya.

Suami selalu tegur sikap saya dengan mak ayah saya. Kalau nak cerita, memang panjang. Apa yang saya boleh simpulkan, sikap saya ni disebabkan layanan mereka terhadap saya yang pilih kasih.

Suami saya tak faham sebab mak ayah dia baik. Layan anak sama rata. Kalau melawat anak-anak masa belajar di universiti, mak ayah dia akan melawat secara bergilir-gilir.

Tapi saya tak. Saya disuruh berdikari sejak kecil. Nak dapatkan cop pegawai kerajaan masa saya tingkatan 2, saya disuruh naik ke pejabat kerajaan seorang diri. bila saya cakap saya tak tahu, ayah akan cakap tak ada mulut ke nak tanya.

Tapi kalau dengan adik-adik saya, semuanya ayah buat sampai a-z. Hatta dah besar panjang ni pun sama.

Nak balik kampung pun ayah pergi jemput dan hantar. Saya? Nak pergi masuk belajar pun pergilah naik bas sendiri tidur kat stesen bas kol 1 pagi sementara nak tunggu bas lain pukul 8 pagi esok tu.

Saya tahu, kita sebagai anak ni tak patut ada perasaan dendam macam tu. Tapi saya manusia biasa. Saya ada hati dan perasaan. Saya maafkan tapi saya tak boleh lupa.

Saya masih lagi berkhidmat pada mak dan ayah, tolong mak dan ayah kalau mereka memerlukan. Sampaikan nak kahwin pun saya tak minta satu sen pun pada mak ayah. Cuma untuk bermesra-mesra dengan mak ayah tu, saya tak pandai sebab kecik tak pernah buat macam tu.

Panjang sangat dah ni saya rasa. Maka saya stop sini dulu. Saya tahu akan ada yang kecam nanti. Saya faham. Sedangkan orang yang dekat dengan saya pun tak faham, apatah lagi kalian yang tak mengenali saya. Saya Cuma nak meluahkan.

Kalau ada isteri-isteri yang berada dalam situasi saya dan masih mampu berkhidmat dengan cemerlang sebagai isteri, ibu dan anak, mohon kongsikan tips. Saya amat memerlukannya. *cry*

– Melati (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *