Sumpah Mubahalah, Berani Kerana Benar

Tidak lama dulu kita pernah mendengar ada pemimpin kita yang beberapa kali melafazkan sumpah muhabalah untuk membuktikan betapa beliau tidak bersalah atas segala tohmahan terhadapnya.

Setiap kali aku mendengar dan membaca kisah beliau, pasti aku teringat kisah aku sendiri, betapa besarnya kesan dari lafaz sumpah itu sendiri.

Betapa kerdilnya kita ketika melafazkannya, dalam hati begitu mengharapkan agar Allah memberikan petunjuk untuk membuktikan kita ni bersih dari segala fitnah.

Aku mulakan dengan sedikit perkenalan tentang diri. Aku Na. Selepas kematian ayah, aku mohon masuk asrama, supaya tak menyusahkan ibu untuk ulang alik menghantar dan menjemput aku.

Aku ada seorang adik OKU. Biarlah ibu fokus dalam menjaga adik. Aku boleh berdikari. Itu fikirku bila minta ibu masukkan aku ke asrama.

Kisah aku ni berlaku puluhan tahun dulu, lebih tepat ketika aku di tingkatan 5, di sebuah sekolah di hujung Malaysia. Tapi tak mungkin akan kulupakan selagi hayat di kandung badan.

Di sekolah aku bukanlah pelajar pintar, biasa- biasa saja. Tiada kawan rapat, maklumlah anak yatim , miskin pulak. Agaknya kawan2 takut berkawan dengan aku.

Kisah bermula beberapa minggu sebelum SPM. Hari itu Sabtu, ada outing. Biasanya aku tak keluar sebab tak ada keperluan, lagipun aku tak ada duit. SPM pun dah dekat sangat.

Tapi entah kenapa, minggu tu aku rasa nak sangat keluar. Rasa otak dah tepu, makin banyak hadap buku, rasa makin stress. Kena keluar tengok dunia.

Biasanya bas sekolah akan bawa siapa yang nak keluar dan tinggalkan kami di bus stand. Tapi ada juga ibu bapa yang datang untuk bawa anak mereka keluar.

Oleh kerana aku memang tak ada duit, sampai di pekan, aku terus menuju ke satu taman permainan di tepi tambak, tak jauh dari bus stand tu. Duduk di satu bangku, buka buku. Sesekali pandang laut, rasa tenang sikit jiwa aku.

Tak jauh dari bangku aku ada sepasang suami isteri berserta anak mereka duduk dan makan- makan. Anak mereka, sekitar umur 3 tahun, berlari-lari sambil di diawasi sang ayah.

Tiba2, anak itu berlari ke arah aku sambil menjerit ‘Ashu, ashu’, dan terus memeluk kaki aku minta dipangku. Aku terpinga2.

Datang ayahnya sambil berkata ‘Lia, itu bukan Ashu la sayang’ sambil ketawa diikuti ibunya pula. Rupanya dia menyangka aku ini mak usunya. Menurut ayahnya, Lia ni memang agak rapat dengan mak usunya dan muka aku memang seiras dengan mak usu nya tu.

Berkenalan lah kami selepas itu. Mereka, ku panggil kak Ros dan Abang Man, memang ramah orangnya. Pertemuan kami hari itu berakhir apabila mereka minta diri bila Lia dah mula meragam dan penat nak tidur.

Sebelum beredar, Abang Man memberi aku seplastik jajan, biskut dan makanan yang tidak habis mereka makan tadi. Kak Ros pula memberi aku sekeping not merah. Agaknya kesian sebab sebelum tu aku ada bagitau yang aku ni tak ada ayah, dan keluar outing tak beli apa2 pun.

Bukan sengaja nak meraih simpati, cuma bila mereka tanya, itu lah yang aku jawab. RM10 cukup besar ertinya waktu itu, apatah lagi bagi aku yang memang jarang berduit.

Sekembalinya aku ke asrama, aku terserempak dengan A dan B (watak jahat dalam kisah aku ni). Aku tak jumpa mereka dalam bas tadi sebab mereka outing dibawa mak ayah masing- masing.

Aku perasan, A memandang aku atas bawah, melihat plastik makanan di tanganku, kemudian berbisik-bisik dengan B. Tapi aku tak buat salah, tidaklah aku terasa apa2.

Malam itu timbul cerita di asrama, yang B kehilangan duit dari lokernya. Aku tak ambil pusing sebab bukan aku yang curi. Tapi aku hairan sebab memang perasan rakan- rakan satu dorm memandang aku semacam, dan berbisik- bisik di belakang aku.

Esoknya, aku baru selesai solat zohor dan tangan aku masih memegang Quran, bila rakan satu dorm memaklumkan warden asrama nak jumpa. Aku pelik. Ada apa?

Tak banyak soal, dengan masih bertelekung aku bawa sekali Quran ditanganku, menuju ke bilik warden. Di situ aku tengok dah ada A dan B. Muka masing- masing mencuka dan menjeling tajam kepadaku. Aku makin hairan. Kenapa ni?

Dipendekkan cerita rupanya aku dituduh mencuri duit B. Dan warden meminta aku untuk mengaku sebelum perkara itu dibawa kepada Guru Besar dan ibuku. Ya Allah. Rasa macam kepala aku dihempap batu.

Bila aku bertanya, kenapa aku yang dituduh, A terus berkata dia nampak aku membeli macam-macam makanan ketika outing semalam sedang kan mereka tahu aku tiada duit.

Dan rupanya mereka dah geledah almari aku dan jumpa duit yang kak Ros beri semalam. Ya Allah, Ya Allah. Baru lah aku faham erti lirikan mata dan bisik- bisik dibelakangku dari rakan- rakan satu dorm.

Aku cuba cerita pada mereka pertemuan aku dengan kak Ros dan Abang Man semalam. Dalam esak tangis, Aku cerita lagi, makanan dan duit tu mereka yang beri dan bukan aku curi. Tapi siapa akan percaya cerita aku? Siapa saksi aku? Aku takde saksi. Hanya Allah, kak Ros dan Abang Man.

A menengking dan mengherdik serta menghina dan memaksa aku mengaku mencuri duit B. Mana mungkin kulupa kata- kata hinaannya. ‘Kalau dah miskin buat cara miskin, sanggup mencuri nak beli makanan’

Aku terduduk menangis, merayu mohon dikasihani, mohon warden percaya cerita aku, tapi dia hanya berdiri tegak dan berkata ‘Saya tak tau siapa yang betul siapa yang salah’.

Maka fahamlah aku, aku tiada pembela. Aku hina dimata mereka, anak orang miskin yang mencuri untuk makan.

Tiba-tiba entah dari mana, datang satu kekuatan dalam diri. Aku ada Allah. Allah pasti membela aku hambaNya yang teraniaya. Sambil mengesat airmata, perlahan- lahan bangun. Aku pandang satu persatu muka warden, A dan B.

‘Ya, betul. Saya memang orang miskin, tapi demi Allah saya tidak pernah mencuri. Saya tidak ada saksi dalam cerita saya tapi saya tau Allah ada’

Sambil menjunjung Quran yang aku bawa (mungkin inilah hikmah mengapa tiba2 aku terdetik nak bawa Quran tu sekali tadi), aku lafazkan sumpah laknat.

‘Bismillahirohmanirrohim. Dengan namaMu Ya Allah, saya bersumpah, Wallahi Wabillahi wataallahi saya tidak mencuri duit B. Saya teraniaya dan difitnah, Ya Allah.

Sekiranya saya berbohong, maka laknat Allah kepada saya dan sekiranya benar saya di fitnah, terlaknatlah orang yang memfitnah saya. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar dan Melihat setiap yang terjadi. Engkau tunjukkanlah kebenaranMu ya Allah’

Aku melafazkan kata-kata itu dengan sedu sedan dan cucuran airmata tapi aku yakin masih boleh jelas didengar oleh ketiga- tiga mereka.

(Nota: ketika melafazkan sumpah ini aku mengharapkan akan terjadi guruh dan petir sambar menyambar untuk membuktikan aku tak bersalah. Ala.. macam dalam cerita dulu-dulu. Tapi tiadapun apa-apa pun berlaku saat otu. Langit tetap cerah juga.Haha…Banyak sangat pengaruh filem Melayu klasik)

‘Berat sumpah awak ni Na’ kata warden. A dan B masih menjeling dan memandang aku dengan penuh benci.

‘Saya tiada pilihan cikgu. Saya tau saya tak bersalah. Saya bukan pencuri dan tak pernah mencuri duit B. Tapi semua orang tak percaya cakap saya. Biarlah Allah saksi saya dan saya tahu Allah akan menunjukkan pada kita semua nanti.

Balik ke dorm, semua orang memandang aku dengan pandangan yang berbeza. Semua orang mengelak untuk bercakap atau berselisih dengan aku. Makin hancur hati aku.

Tapi itu menguatkan lagi azam aku untuk buktikan aku tak bersalah. Aku baca Yassin setiap habis waktu solat. Aku bangun pukul 3 pagi untuk solat hajat, merayu dan berdoa dengan sesungguh hati, merintih pada Allah memohon dikasihani dan diberi petunjuk.

3 hari selepas itu, petang itu ketika aku di perpustakaan, seorang pengawas datang minta aku segera balik ke dorm kerana warden panggil. Aku terus jadi berdebar- debar. Apa pulak bala yang datang kali ni. Ya Allah bantulah aku..

Rupa-rupanya A histeria dan meracau-racau di asrama. Dalam dia tak sedar tu, dia mengaku dia yang mencuri duit B . Semua yang ada disitu turut dengar perkara itu termasuk B dan Warden.

Ketika aku sampai A telah sedar tapi masih dalam keadaan mamai- mamai, dan mulutnya tak sudah2 menyebut ‘aku yang curi, aku yang curi’

Bila melihat keadaan tu, aku terus terduduk, menangis dan menadah tangan ‘Ya Allah, betapa Engkau telah menjawap tangisan dan rintihan hambaMu yang kerdil ini. Betapa Engkau telah membebaskan aku dari tuduhan yang sangat berat ini. Terima kasih ya Allah kerana membersihkan nama aku’.

Aku tak ingat apa lagi yang aku ucapkan tapi kebanyakan yang hadir ikut sama menangis.

Warden menghampiri dan terus memelukku. ‘Cikgu minta maaf tak percaya pada Na selama ni’. Sorang demi sorang termasuk A juga datang dan meminta maaf.

Aku seolah2 melihat pintu langit terbuka dan pelangi indah serta rama- rama berterbangan mengelilingi aku. Tiada kata- kata yang dapat menggambarkan rasa syukur dan bahagianya aku ketika itu.

Kesimpulannya. Peristiwa ini sangat memberi kesan pada diri aku, betapa perlu nya berani dalam mempertahankan kebenaran. Juga menguatkan lagi keyakinan ku pada Allah yang Esa serta sentiasa berbaik sangka denganNya.

Kadang-kadang kita terfikir dan ragu-ragu, adakah Allah mendengar doa kita?

Jawapannya Ya. Dia Maha Mendengar, apatah doa dari hambaNya yang teraniaya. Yakin dengan Nya dan Dia akan tunjukkan jalan.

Jangan sesekali mempermainkan sumpah laknat, tetapi sekiranya itu jalan terakhir, lakukanlah kerana Allah tidak tidur, dan Dia sentiasa bersama-sama orang yang benar.

– Na (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

3 Comments

  1. Ya Allah…pilu sungguh baca luahan awak…dituduh mencuri kerana miskin..Allah menjawab doa dan membuktikan awak di pihak yang benar..Maha Suci Allah..

  2. Allahuakbar. Alhamdulillah. Terima kasih pada Allah yang telah membela orang tak bersalah. Bagus amalan yang cik Na buat tu.

    1) Jika dituduh dan difitnah secara terang-terangan, beritahu sungguh-sungguh yang kita tak bersalah. Kalau perlu, junjung Al-Quran dan buat sumpah laknat (lagi-lagi jika tuduhan dan fitnah yang dilemparkan tu berat). Sebab itulah dosa memfitnah ni lagi berat dari doa membunuh. Orang yang difitnah tu kena tanggung malu, kena hina, kena palau, kena buli etc.

    2) Amalkan baca surah yassin kalau boleh setiap selepas solat magrib/subuh. Niatkan sungguh-sungguh di setiap pengakhiran ayat ‘mubin’ dan kun faya kun tu.

    Dan banyak lagi amalan lain.

    Tuntasnya, Hanya Allah tempat terbaik untuk kita meminta pertolongan dan pembelaan. Tahniah cik Na. Anda beruntung kerana dibela Allah sedari di muka bumi lagi.

    Moga orang yang teraniaya akan segera dapat pembelaan dari Allah. Allahumma Aamiin

  3. Subhanallah.. meremang saya bila membaca kisah awk ni.. sesungguhnya Allah maha mendengar dan mengetahui segala-galanya.. mmg kdg2 kita rsa spt ‘kebetulan’ shj apa yg berlaku, ttp Allah dah mngatur segalanya.. saya juga pernah beberapa kali berdoa utk org lain dan ‘makbul’ pulak, tp x lah mendoakn yg x baik, cthnya : ada sekali tu seseorang telah menelefon sya utk berjumpa dgn saya, dia dtg dari jauh, tp saya xnak berjumpa dgnnya, so saya berdoa agar dia tidak jadi dtg.. beberapa jam slepas tu, dia telefon yg dia dlm perjalanan utk berjumpa dgn saya, tp kbetulan bos nya telefon yg dia ada tugasan yg penting (dia seorang pegawai beruniform) yg dia perlu pergi selesaikan, so dia terpaksa ‘cancel’ pertemuan dgn saya tu.. saya sgt bersyukur, krn Allah mendengar doa saya, tanpa menyakiti hatinya.. benda simple, tp amat bermakna.. subhanallah, alhamdulillah, Allahu akbar.. wallahu a’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *