Sumpahan Atau Ain

Assalamualaikum semua. Aku Mahsuri (bukan nama sebenar), perempuan berusia 27 tahun. Aku tiada kena mengena dengan keturunan Mahsuri, saja guna nama tu.

Aku nak kongsikan beberapa kisah aneh yang terjadi kepada orang sekeliling aku yang pernah mengecilkan hati, atau menyakiti aku.

Aku tak minta perkara tersebut terjadi kepada mereka. Tapi bila aku renung balik kisah lalu, rasa seperti apa yang terdetik atau terguris dihati ini bagaikan sumpah. Aku nak kongsikan beberapa kisah hidup orang yang disumpah oleh aku.

Kisah 1 : Umurku 17 tahun

Aku pernah bermalam 4 hari di rumah jiran sebab keluargaku ada kematian di kampung. Aku dan anaknya sama sekolah. Makcik(jiran) ni selalu bercerita tentang kisah mereka pergi melancong ke luar negara sampai aku rasa cemburu sangat.

Waktu aku tolong mereka masak, aku campurkan kaki ayam sekali dalam kuah sup. Makcik menjerit sebab bagi mereka kotor campurkan kaki ayam dalam masakan. Mungkin terlalu geram dengan aku sampai makcik kata seperti “Orang yang pengotor ni, sampai kaki ayam pun nak makan.”

Disebabkan hari tersebut aku akan pulang kerumah, dia terus bungkuskan sup ayam itu dan suruh aku bawa pulang.

Terdetik la dalam hatiku, dia nak cakap keluarga aku ni pengotor ke? Macam kami ni miskin sangat sampai kaki ayam pun makan? Ibu aku langsung tak tahu hal ni.

Dalam seminggu kemudian, aku dapat berita makcik (jiran) ni terkena sawan dirumah 2 kali. Dan lepas 3 hari diwad, dapat berita rupanya kedua-dua buah pinggangnya telah rosak dan perlu lakukan dialisis. Sampai sekarang jiran aku tu ulang alik ke hospital sahaja sebab dialisis tiap minggu.

Kisah 2 : Umurku 14 tahun

Aku dan sepupu sedang bermain bola dirumah sepupuku. Bukanlah macam bola sepak tapi hanya baling macam tu.

Tiba-tiba bola tu termasuk ke dalam bilik mak saudara aku. Disebabkan gol tersebut sebelah aku, aku masuk la kedalam biliknya untuk ambil bola. Kebetulan dia sedang lihat kami bermain.

Waktu aku masuk bilik dia, terus dia tarik tangan aku keluar dan beritahu aku “Jangan kurang ajar masuk bilik orang tanpa izin.” Mak aku yang ada disitu pun dengar dia marah aku.

Aku terus menangis di situ sebab sebelum ni, aku dan sepupu2 lain pernah juga main sampai termasuk dalam bilik dia, tapi mak saudara aku tu tak pernah pula marah macam tu. Aku merajuk la seharian dan mak aku pun marah aku sekali.

Seingat aku, lebih kurang 3 hari selepas tu, mak saudara aku terjatuh dalam bilik air dibiliknya dan patah tulang kaki. Akhirnya dia terbaring lama juga, dan semua orang yang ziarah dia akan masuk dalam biliknya.

Kisah 3 : Umur 23 tahun

Aku di asrama universiti pada waktu ni. Aku kerap video call dengan adik aku waktu malam untuk tolong dia buat kerja sekolah, subjek fizik dan kimia biasanya. Kadang-kadang dibilik aku atau di bilik belajar.

Jadi ada sekali tu, roommate aku tegur sebab suara aku mengganggu dia. Aku terima dia tegur macam tu. Jadi aku decide untuk video call hanya di bilik belajar sahaja.

Bilik belajar ni ada dilevel dekat bilik aku, sebelah dengan tandas. Satu hari aku baca status roommate aku, sampai harini aku simpan screenshot story tu, “Orang bibir tebal ni, memang jenis tak boleh cakap perlahan. *emoji gelak* Sampai ke tandas boleh dengar suara dia memekak malam2.”

Aku terus reply, awak cakap dekat saya ke? Sorry. Tapi tak dibalas apa2. Aku cuba tanya roommate aku yang lain, korang dengar ke suara aku video call dekat bilik belajar? Tapi mereka semua cakap tak dengar. Kalau mereka keluar bilik baru dengar.

Aku agak terasa sebab dia sebut sekali bibir tebal tu. Tapi aku juga rasa bersalah sangat dengan dia. Entah kenapa, sem tu dia jadi selalu sakit dan terpaksa ambil cuti satu sem. Kemudian tunang dia pula putuskan pertunangan (yang sepatutnya kahwin waktu cuti sem nanti).

Setahun kemudian aku dapat tahu dia dah kahwin dengan orang lain and guess what? Suami dia tu, bibir lagi tebal dari aku dan agak jongang.

Bila aku fikir balik, ni hanya beberapa kisah orang yang terkena sumpahan aku ni. Banyak lagi kisah lain yang aku tak boleh cerita disini. Aku rasa diri aku ni senang beri ain kepada orang. Ada yang dah kahwin sampai bercerai yang aku rasa sebab aku juga.

Pernah aku try untuk ‘sumpah’ orang yang tak buat salah dengan aku, tapi tak jadi pun. Masalahnya, aku dengar ain ni boleh jadi kalau kita kagum dengan orang, tapi bila aku kagum dengan orang tu, tak terjadi apa-apa. Hanya yang sakitkan aku personal je akan terkena.

– Mahsuri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *