Surat Buat Mak Tersayang

Sejak setahun ni, saya tak pernah meluah apa yang sedalamnya ada dalam hati saya kepada mak sebab setahun yang lalu, cuba saya sampaikan kepada mak, saya dimaki teruk hingga menjejaskan mental saya.

Setiap makian mak saya balas dengan baik sebab saya tak nak kurang ajar. Hampir saya suicidal, mak.

Dulu sebelum saya bekerja jauh dari keluarga dan sewaktu saya bujang, saya rapat dengan mak. Mak nak pergi mana, saya bawa. Mak nak saya teman ke shopping mall, saya teman.

Mak nak makan mewah sikit, saya belanja. Gembira kan waktu tu mak? Ibarat dunia ni macam kita dua sahaja ada meskipun saya masih ada abah dan 5 kakak dan abang yang lain, tapi saya yang sentiasa ada waktu tu, mak.

Berita gembira menjelma bila saya ditawarkan jawatan tetap kerja kerajaan.

Tetapi berita buruk dalam gembira, saya terpaksa ditempatkan jauh dari mak selepas seminggu saya lapor diri. Dilema kerja lama telah dilepaskan, tawaran kerajaan tersebut telah diterima. Terlambat untuk berpatah balik.

Saya ingat lagi bila mak menahan sebak bila saya pergi sebab mak orang yang kuat dan tak suka menitiskan air mata depan saya.

Mak pun tahu, ikutkan hati saya tak nak pergi tetapi peluang datang hanya sekali, saya tak nak menolak rezeki Tuhan dan ini semua untuk mak abah juga.

Mak tak tahu, betapa saya keseorangan di negeri orang pada tahun 2020. Saya tiada keluarga di negeri orang, budaya berbeza meskipun dalam negara sama, saya nak pulang tetapi saya tersekat dengan arahan PKP.

Saya hubungi mak, mak sentiasa sibuk dengan cucu dan anak-anak lain.

Panggilan yang saya buat tak lama. Mak akan jawab “mak nak jaga anak kakak kau sekejap”. Tak apa mak, asalkan mak gembira. Dalam sudut hati ni, saya harapkan Tuhan hadirkan saya peneman. Tuhan makbulkan.

Saya berjumpa suami ketika bekerja cuma lain agensi. Suami la waktu tu sentiasa menemani.

Mak pun tahu hati saya sukar nak buka pada orang walaupun ada yang mengetuk. Tapi tak tahu kenapa hati saya terbuka untuk dia. Akhirnya kami bernikah dan abah merestui. Mak pun pada awalnya setuju.

Satu sen pun kami tak minta untuk menanggung majlis kami. Duit hantaran dan majlis suami bayar. Pasti lah saya pun perlu tambah memandangkan kita jalankan satu majlis sahaja.

Kakak dan abang nak masuk campur walaupun kami keluarkan duit kami sendiri. Seolah bukan majlis kami.

Segala persediaan kami dikritik oleh keluarga sendiri. Luluh hati saya. Dengan izin Tuhan, majlis dijalankan dengan baik dan indah sekali.

Semua puji kecuali mak, kakak dan abang. Kos pun 20k sahaja kami habiskan untuk majlis di tempat yang terkenal sebab kami diberi discount dalam package tersebut. Rezeki yang tak diduga.

Saya sangka selesai majlis, lega lah. Kami pula perlu balik ke negeri tempat bekerja, banyak yang perlu diuruskan.

Saya sangkakan panas berpanjangan tetapi gerimis. Mak ungkit balik yang lepas. Hantaran sepatutnya sekian, duit sumbangan perlu diberikan kepada mak. Terkilan sungguh saya mak.

Mak, abang dan kakak herdik saya. Selama ni sejak saya kecil telah cuba saya memenuhi kehendak semua orang.

Dulu mak herdik saya tak apa lagi, sebab melibatkan saya seorang. Sekarang saya dah berkahwin, melibatkan suami saya yang saya sayang.

Mak pun seolah mendoakan rumahtangga kami akan kacau bilau. Suami saya telah trauma nak pergi rumah kita mak sebab setiap kali dia pergi, ada sahaja yang ditegur secara kasar oleh mak.

Hari raya tiada seorang pun adik beradik hadir bagi persiapan hari raya meskipun mereka semua duduk satu negeri. Kami yang jauh membuat persediaan semalaman dan mereka hanya datang pada hari raya dan pulang.

Masih lagi nampak buruk kami.

Bukan berakhir di situ, abang berdepan dengan saya mengatakan saya anak derhaka dan menilik nasib saya akan jadi teruk sebab apa yang saya buat. Katanya tanpa mak, saya takkan sampai di mana saya sekarang.

Saya tak sangkal tu, mak. Tapi adakah itu lesen untuk mak layan saya secara buruk.

Katanya lagi saya anak kesayangan mak, patutnya saya tak boleh tinggalkan mak. Tak tahu pula tanggungjawab anak lain-lain.

Selama saya membesar 28 tahun, abang tak pernah bagi duit pada mak sebab dia tak bekerja selama 10 tahun.

Mengharapkan si isteri membiayai dia. Saya tanpa gagal beri duit 400 kepada mak seorang sebab mak kata abah tak pandai urus duit.

Kakak pulak memerli tak habis sudah. Seperti dia lah malaikat padahal semasa saya kecil, kakak melakukan perkara belakang mak dan saya tak pernah cerita sebab nak menutup aibnya.

Biarlah dia sendiri cerita. Saya tak pernah burukkan mereka. Mak pun tahu. Saya tak kisah benda silam mereka sebab siapa saya nak menghukum.

Tapi hati ni terlampau pedih dan geram bila saya tak pernah mengganggu mereka tapi mereka mengganggu saya.

Kalau mak lihat balik betapa banyak pemberian mak pada mereka berbanding saya dan abang saya yang seorang lagi (abang ngah) tapi kami redha mak.

Dari kecil hingga ke dewasa saya dibuli oleh abang dan kakak saya sendiri tapi mak tak pernah kisah sehingga saya perlu rujuk kaunseling untuk meningkatkan keyakinan saya.

Yang mak tahu hanya mencari silap saya. Dan saya pelik, dalam keadaan saya dibesarkan begini, saya diberi peluang untuk jawatan pegawai. Semuanya kurniaan Tuhan dan saya hanya anak dan hamba yang banyak cacat cela.

Tahun lepas saya terima anugerah perkhidmatan cemerlang mak. Mak tak ucapkan tahniah. Hanya abah sahaja yang ucapkan.

Abang yang waktu tu berumur 40 tahun telah menerima kerja sebagai eksekutif dilambung-lambung dalam Whatsapp Group.

Kini saya ada suami sahaja. Saya tak dapat hubungi adik beradik dan ayah yang saya selesa bercakap, mak telah kata saya cuba nak hasut mereka, padahal saya bertanya khabar sahaja.

Saya nak berborak dengan mak, pasti diakhiri dengan sindiran atau makian. Saya pendam ‘resentment’ mak. Saya tak tahu macam mana nak selesaikan.

Saya dan suami dah cuba yang terbaik. Bawa mak bercuti, bawa mak beraya, beri duit pada mak, menggantikan mak jaga nenek dan atuk yang uzur. Kakak dan abang bahagia hanya memikirkan keluarga kecil mereka.

Tapi masih nampak buruk kami. Maaf, saya cuba nak ikhlaskan untuk berbuat baik kepada saya, tetapi setiap kali saya berbuat baik, dilontarkan tahi, sampai bila saya boleh bertahan.

Air yang dicincang takkan putus. Sekeruh mana hubungan saya dengan mak, saya masih anak mak, perkara ni buat saya jadi lagi sakit berbanding masalah lain. Berfikir juga, adakah mak layan baik saya dulu sebab saya sentiasa menemani mak?

Adakah mak nampak saya sebagai peneman sahaja? Bila fungsi tersebut tak lagi saya jalankan, mak dah tak sayang saya.

Saya minta maaf pada mak jika saya ni anak derhaka seperti apa yang abang long katakan. Saya terima dan cuba sebaiknya untuk ubah.

Selebihnya saya serah pada Tuhan. Mungkin juga saya tak mampu lagi buat apa yang mak harapkan untuk saya menjaga mental saya dan keluarga kecil kami. Sekiranya masih lagi saya dilabel sedemikian, saya redha.

– Ugly duckling (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *