Surat Buat Mama

Mama,

Along harap mama sihat selalu hendaknya. Dilimpahkan kesihatan yang memudahkan mama untuk beribadah dan meneruskan kehidupan seharian dengan bahagia.

Along menulis surat ini, bukanlah untuk menagih simpati mama, mahupun sesiapa. Along tahu, jika along mengirimkan surat ini secara peribadi kepada mama, mama akan terus-terusan mencebik-cebik dan mengejek-ejek setiap inci isi surat along ini.

Entahlah…

Along pun kadang-kadang tak faham dengan mama.

Apa salah along ye, mama?

Along bukan tak cuba tau nak jadi anak mama yang baik, yang solehah.

Along dah cuba.

33 tahun along cuba untuk menjadi anak yang baik. Walaupun seringkali along kalah dengan rasa marah dan perasaan tidak adil menyerbu-nyerbu dalam hati. Tapi, along tetap cuba mama. Along cuba.

Tapi, entahlah.

Kejadian baru-baru ini, buat along rasa, sungguh along ini tiada nilai. Tiada apa pun untuk mama banggakan dari along, kan?

Along seringkali dibandingkan dengan anak-anak orang lain. Anak orang tu kerja elok, anak orang tu dah kahwin, anak 3, anak orang itu begini, anak orang itu begini.

Ye, along tahu. Sepanjang 8 tahun along bekerja, hidup berdikari, along tak delah kerja bagus macam anak orang lain. Kalau orang tanya, along bagitahu along kerja admin. Tapi, kalau Bahasa orang kampong, admin tu samalah macam kerani kan?

Mama malu ye, dengan along? Dari dulu along nak tanya. Mama malu ke ada anak macam along? Mama malu ke ada anak yang tak pandai, gemuk, tak cantik dan tak kerja bagus macam along?

Malah kalau dibandingkan dengan adik-adik pun, layanan mama pada along berbeza sangat.

Bukan along tak cuba nak bersangka baik, banyak kali dah ma. Mungkin mama tak pernah bezakan kasih sayang tu. Mungkin tu semua perasaan along semata-mata.

Tapi, siapalah yang sanggup untuk terus bersangka baik, kalau balik-balik perkara yang sama diulang-ulang.

Contohnya, along bukan tak pernah masakkan untuk mama. Tapi, balik-balik, mama cakap, masakan along kotor, jijik untuk dimakan, masin, itu ini.

Tapi, masakan menantu mama yang belum tentu kena selera tu, mama puji bukan main.

Sampai along pelik, apa yang kurangnya masakan along di tekak mama. Sedangkan, bilamana along memasak untuk kawan-kawan mereka tidaklah mengatakan makanan along itu selayaknya dibagi anjing makan atau apa pun seperti yang mama pernah katakan pada along.

Jadi, mana kurangnya ye, along ni di mata mama?

Sama juga macam baru-baru ni. Cuti Raya Cina tu 3 hari tau, mama. Kalau pun along belum gaji, along memang mahu balik je ke kampong yang mungkin selepas ini agak sukar juga nak mencari cuti yang sederet 3 hari begitu.

Tapi, apa yang mama katakan pada along? “Tak payah balik!” Alasan pelbagai yang along iyakan sahaja tanpa bertanya lebih. Balik kampong nak kemaskan semak samun laaa, nak buat itu ini. Tup tup, mama bercuti bersama anak, menantu dan cucu-cucu kesayangan?

Apalah salahnya kalau berterus terang. Bukan along ni tidak faham Bahasa atau pekak atau keras kepala. Beritahu perkara yang sebetulnya, kan mudah?

Tapi, mama pilih untuk berdalih.

Hmmmm…

Siapa along ye di mata mama?

Mama katakan along ini anak dara tua, along pendamkan. Mama ejek-ejek fizikal along, along diamkan. Mama perlekehkan kerja yang along ada sedangkan ia kerja yang halal, along senyapkan. Apa lagi ma?

Along rasa, along jenuh dah mencari apa salah along pada mama ni sebenarnya.

Dari kecil, alasan mama, along anak jahat, anak derhaka. Hinggakan mama tak sanggup menjaga along sampai kena hantar duduk dengan nenek setiap kali cuti sekolah atas alasan “Kau jahat, aku penat nak mengajar kau, biar orang pulak mengajar kau!”

Haih…

Entahlah…

Jahat sangat ke along ni?

Adakah along ni menjual diri di lorong sampai hina sangat along di mata mama?

Adakah masa kecil-kecil dulu, along mencuri tabung masjid atau mencuri anak ayam jiran sebelah sampai along digelar jahat dan tak boleh diajar?

Pelik laaa, ma… Along pelik!

Along bukan orang yang vocal. By now, mama patut tahu, along sejenis yang meluahkan perasaan melalui tulisan jauh lebih baik dari bersuara. Tapi, kerana itulah, along sering diejek-ejek.

Diejek-ejek setiap surat yang along berikan kepada mama. Sejak bersekolah asrama. Ada saja ejekan dan kata-kata sinis mama mengecam tulisan along yang along berikan seikhlas hati buat tatapan mama. Hingga along berhenti menulis. Hingga along trauma menulis.

Cita-cita along diperlekehkan dari kecil. Mahu jadi veterinar, diejek-ejek fizikal gemuk along dengan gajah. Diejek-ejek bakal dimakan singa dan harimau.

Mahu jadi wartawan, diejek-ejek yang along bakal dibuang kerja awal kerana lembik dan tak tahan lasak.

Sudahnya, along membesar dengan perasaan takut untuk berimpian, untuk bercita-cita.
Disogok kata-kata bahawa along sudah menempah tempat khusus di neraka kerana along anak derhaka sejak berusia belasan tahun. Mama tahu tak semua itu satu perkara yang mendera jiwa?

Malah, along tak pernah ingat pon mama ada puji atau mengangkat motivasi along. Apa yang tertanam dalam kepala adalah kata-kata yang sering menghujam perasaan jauh ke lembah gelap. Tiada motivasi dan perasaan kebas terus menyerang.

Sebab, along tak boleh ceritakan dekat orang lain, apa yang dah jadi dengan along, sebab nanti mengaibkan mama. Along tak boleh nak ceritakan dekat mama juga, sebab mama kata along bising, menyesakkan kepala.

Jadi, sebenarnya, apa fungsi along sebagai anak mama, ya?

Punching bag?

Tempat pelepas nafsu amarah?

Atau, sebagai tempat melampias nafsu maki hamun dan sumpah seranah?

Hinggakan di usia 33 tahun ini, along hilang rasa untuk menyentuh realiti. Along tak berani nak bercita-cita dan menanam harapan yang bukan-bukan.

Malah, untuk memulakan tali persahabatan dengan orang pun along takut. Sebab dalam kepala along, along ni jahat, along ni tak guna dan along bukanlah orang baik-baik, sebab tempat along dah tentu-tentu di neraka sebab along anak derhaka!

Dan, mereka yang ada sebagai kawan, rakan, dan sahabat pun, hanya ada beberapa sahaja. Sebab ketakutan yang along bakal merosakkan masa hadapan orang itu lebih tinggi dari rasa mahu memberi kualiti yang along ada.

Along tak pasti apa yang mama dah hadap satu ketika dulu, sebelum along ada di pangkuan mama.

Atau mungkin, kerana along anak perempuan?

Sebab, mama melayan anak-anak lelaki mama semanjanya. Anak perempuan mama yang cantik juga mendapat layanan yang agak istimewa.

Tapi, itulah…

Along boleh je tuliskan ini dan berikan pada mama secara peribadi. Tapi, along tahu, mama bakal mengejek-ejek along untuk 20 tahun mendatang.

Sebab bagi mama, ini suatu aib dan menjatuhkan maruah mama sebagai mak kan?

Entah siapalah yang menjunjung ego sebenarnya….

Yang Benar,

– Along (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *