Surat Cinta Untuk Pelajarku Sayang

Cikgu menulis bukanlah untuk membuka aib, jauh sekali untuk memberitahu satu dunia bahawa guru merupakan profesion paling mulia di dunia.

Cikgu menulis hanya untuk berkongsi rasa dan memberi peringatan kepada pelajar yang cikgu sayangi dan kasihi. Cikgu juga pernah menjadi anak murid dan cikgu juga pernah melalui zaman remaja.

Pelajarku sayang,

Tahukah kami bahawa cikgu pada zamankini merupakan jawatan yang menempah ke neraka?

Setiap hari kami mengharapkan rahmat Allah apabila kami dipaksa menipu data.

Pelajar yang hanya isi kehadiran sahaja tapi tidak mengambil bahagian dalam PdPR dan menyiapkan tugasan tetap dikira hadir.

Tahniah! Kami cuba mesej dan kami cuba hubungi kamu untuk mendalami apakah masalah yang kamu hadapai namun hanya double tick atau peti suara yang kami terima.

Pelajarku buah hatiku,

Kami juga dipaksa untuk meluluskan kamu semua dan memberi gred tinggi walaupun kamu tidak hadir PdPR dan tidak dapat menyiapkan tugasan yang diberi tanpa alasan yang kukuh.

Rakan sekelasmu yang berusaha untuk menyiapkan tugasan mempersoalkan kami bagaimana kami meluluskan kamu? Terpaksa kami pujuk hati mereka.

Mereka merasakan ini tidak adil. Namun, apakan daya kami. Kami tidak mempunyai pilihan.

Pelajarku yang dikasihi,

Di sekolah mungkin kamu lulus. Namun, ketahuilah bahawa lulus kamu yang bukan atas usaha kamu akan memakan diri kamu kelak kerana keberkatan itu tiada.

Cikgu menghalalkan apa yang cikgu ajarkan tetapi keberkatan ilmu itu di luar kuasa kamu.

Betapa ramai pelajar yang kami luluskan di sekolah, namun apabila mereka bekerja atau pergi praktikum, mereka menghadapi pelbagai kesukaran dan adakalanya kami yang menanggung kesukaran itu!

Ditambah lagi dengan sikap ibu bapa yang percaya anak mereka hanyalah mangsa keadaan dan malaikat yang maksum tiada dosa.

Kepada para penjaga yang senada dengan kami, kami ucapkan berbanyak terima kasih. Hanya doa yang dapat kami titipkan.

Ada penjaga menangis dan ada juga penjaga yang buntu apabila kami ingin duduk bersama mencari jalan penyelesaian.

Kalau penjaga kamu pun sudah tidak tahu nak buat apa lagi, apatah lagi kami para cikgu yang kini dipandang hina oleh seantero Malaysia – dilabel gaji banyak, tapi hanya tahu komplain.

Kami tidak memerlukan pelajar pandai, yang hanya kami perlukan pelajar berakhlak dan rajin menuntut ilmu.

Seandainya cara penyampaian kami tidak menarik perhatian kamu, kami menyusun sepuluh jari memohon kemaafan.

Sekiranya proses PdP kami tidak memberi kesan kepada kamu, beribu kemaafan yang kami pinta.

Semoga beroleh kejayaan dunia dan akhirat dan sentiasa berada dalam rahmatNya pelajarku sayang.

– NK (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *