Surat Kepada Cinta Hati Suamiku

Ke hadapan cinta hati suamiku,

Salam perjenalan dari aku, isteri yang dicintainya hanya kerna tanggungjawabnya terhadap aku sebagai isterinya. Isteri yang dikahwini kerana aturan orang tua.

Jika kau yakin, kau boleh ubah kebiasaannya keluar malam sedari lepas Isyak hingga ke jam 2-3 pagi, paling awal pukul 12.30 malam, paling lambat selepas subuh, silalah usaha supaya kau menjadi isterinya yang sah.

Jika kau yakin, kau boleh tanggung semua bil utiliti rumah, loan kereta, loan rumah barang-barang keperluan diri kau kecuali duit makan kau, duit minyak kereta kau, silalah usaha supaya kau menjadi isterinya yang sah.

Jika kau yakin, kau boleh memasak sarapan, tengahari atau malam setiapnya lain-lain menu masakan silalah usaha supaya kau menjadi isterinya yang sah.

Kerna dia tidak suka makanan yang dipanaskan. Kerna aku tidak mampu begitu, kerana aku diajar untuk makan makanan itu selagi masih elok.

Jangan kau risau kerna dia seorang yang pemurah jika membeli makanan, akan dibeli melebihi keperluan sehingga perlu disimpan di dalam peti sejuk beku.

Jika kau yakin, kau boleh menjadi pemandu peribadinya untuk balik kampung atau ke mana-mana bersama jika diperlukan, silalah usaha supaya kau menjadi isterinya yang sah. Kerna dia tidak tahu memandu kereta.

Kau juga harus bersedia untuk memandu sendiri ketika kau sakit untuk ke klinik atau hospital.

Jangan kau risau, dia bukan suami jenis kaki pukul, kaki maki hamun. Tapi kau perlu hadap serangan dari segi mental darinya. Menjadi ‘punching bag’ dia dari segi mental jika dia marah pada seseorang.

Jangan kau khuatir, dia seorang suami yang bertimbang rasa. Tidak akan memaksa mu ketika kau tidak mampu untuk melakukan apa sahaja tugas kau sebagai seorang isteri.

Jika kau yakin, kau sedia untuk berkurung di rumah, tanpa bersiar ke mana-mana, silalah usaha supaya kau menjadi isterinya yang sah.

Kerna ketika aku keluar ke tempat kerja, dia masih diulit mimpi atau keluar menge’teh’, aku pulang dari tempat kerja, berkejaran dia keluar menge’teh’ seorang diri dan hanya akan pulang sebelum azan maghrib (mungkin keluar bertemumu, itu aku tidak tahu).

Jika kau yakin kau boleh ubah atau boleh laluinya, tolonglah usaha untuk kau menjadi isterinya & aku dilepaskan dari ikatan ini.

Puas sudah aku memujuk untuk kami berpisah secara baik sementara kami masih belum dikurniakan zuriat setelah 10 tahun berusaha.

Mungkin dengan mengahwinimu yang telah mempunyai anak, dia akan dikurniakan zuriat. Tetapi tetap dia tidak mahu. Melepaskanmu cinta hati dia, juga dia tidak mahu.

Aku tidak mahu bermadu, kerana aku tidak mampu. Jika itu terjadi, nescaya aku akan menjadi seorang isteri yang sentiasa berdosa & menyebabkan dia berdosa.

Mengapa aku mengatakan yang engkau adalah cinta hatinya, kerana dia selalu merayu-rayu agar aku tidak menyerangmu, baginya engkau adalah perempuan yang terlalu baik.

Sungguh dia tidak percayakan aku, ketika aku minta untuk bertemumu, dia pasti ingin ikut sekali, takut aku akan menyerangmu.

Jika dia kenal aku, akulah manusia yang paling tidak suka bergaduh, tidak suka bunyi bising orang menjerit. Akan kelam duniaku jika mendengar bunyi bising. Dia terlalu ingin menjagamu, sedangkan aku?!

Ku mohon berusahalah, kerna aku sudah lelah, sudah tawar hati ini. Yang ada cumalah secebis cuma rasa hormatku kepadanya.

Yang benar,

Isteri aturan orang tua.

– Hati Yang Tersakiti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Klau benar2 awk ingin ‘berpisah’ dgn suami, minta sungguh2 (klau boleh d tgh mlm, doa hingga menangis) dgn Allah, krn Dia shj yg boleh ‘mngubah’ hati manusia.. tp klau awk msih ada rasa ingin teruskn hubungan ini, juga minta dgn Allah agar dia berubah sepenuhnya, dan melupakan hubungan yg lain.. awk shj yg tahu apa yg awak nk sbenarnya, dan Allah Maha Mendengar..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *