Kehadapan suami tersayang.
Ingatlah akan kamu bahawa tanggungjawab kamu kepada aku bukan sekadar makan, minum, pakaian dan rumah. Ada satu lagi disebut sebagai nafkah batin. Nafkah batin merujuk kepada kegembiraan hati, menjaga perasaan, keseronokan dalam berumahtangga, kebahagian dalam berkahwin. Usah cerita hal bilik tidur. Itu bukan niat aku
Sedarkah kamu, kegilaan bermain games
Itu telah meragut kegembiraan aku taktala kamu bergembira dengan games itu. Sesungguhnya aku penat melihat keadaan rumahtangga kita yang semakin tenat kerana kelalaian dan kealpaan kamu. Apabila ditegur, ego kamu terus melenting. Memarahi aku seolah aku hanya tahu mencari salah kamu sahaja. Seolah kamu tidak pernah membantu di dalam urusan rumahtangga. Ya, aku tahu kamu membantu. Aku tahu alasan kamu bermain games. Untuk hilangkan stress, tension. Aku juga merasai perasaan yang sama namun aku tidak pula beralih kepada telefon. Aku sedih kerana bukan aku yang dicari untuk menghilangkan kesedihan atau tekanan kamu. Mungkin aku penyebab tekanan kamu? Atau aku tidak pernah cukup bagus untuk menggembirakan kamu
Suamiku.
Cuba fikirkan waktu-waktu yang dihabiskan bermain games sehingga melalaikan waktu solat. Solat sering dihujung waktu, buka mata dari tidur, telefon dicari dahulu walaupun waktu sudah di penghujung. Bila kali terakhir pegang Quran sayangku? Aku puas menasihati, sampai aku takut menegur, takut kamu terasa. Allahu, aku sedih. Aku teramat sedih. Sedih kerana imam aku masih lalai di dunia games.
Berapa malam kamu menghabiskan masa bermain games disaat ada berbakul baju untuk dilipat, mengapa tidak digunakan untuk membantu isterimu mengemas dapur? Mengemas mainan anak? Memcuci botol susu anak? Kamu tahu ada yang boleh dibantu namum kamu memilih untuk tidak memandang. Kerana apa? Kerana kamu tahu isterimu ada untuk melakukan semua itu.
Berapa jam masa dihabiskan bersama anak selepas pulang kerja? Selepas makan malam? Lepas pulang kerja, menghadap telefon dahulu sebelum anak. Lepas makan malam, masih menghadap telefon. Tahukan kamu, aku kesian melihat anak-anak kita. Cuba bermain dengan bapa sendiri, akhirnya dimarahi kerana ‘mengacau’. Berapa kali anak-anak itu bermain sendiri kerana emak sibuk di dapur, mengemas rumah, manakala bapa masih sibuk telefon di tangan. Serius aku penat dengan keadaan begini.
Berapa kali kamu memarahi isteri mu kerana cuba meminta tolong dalam urusan rumahtangga atau apabila isterimu cuba bersembang dengan kamu? Bila kali terakhir kita bersembang mesra,bergurau senda? Bila kali terakhir kamu memeluk aku? Bila kali terakhir kamu memuji aku?Aku sendiri tidak tahu. Tahukah kamu, setiap kali pulang dari kerja, aku mahu bercerita 1001 cerita dengan kamu, namun taktala melihat telefon ditangan. Aku tahu aku akan dilayan acuh tak acuh. Aku bosan dengan kehidupan begini sayangku. Aku isteri mu. Bukan orang gaji. Bukan hamba suruhan. Aku punya hati dan perasaan.
Belum masuk part bila bermain games online, anak menangis tak dapat layan, isteri bercakap tak dapat dengar. Segala di sekeliling kamu seolah tidak wujud apabila bermain games. Bila kalah, mood hilang, senyuman hilang, semua nak marah. Dimana realiti dan fantasi kamu? Sedarkah kamu seksaan terhadap jiwa aku?
Ya, kamu bukan melepak mamak sampai tengah malam. Tapi di rumah bermain games, badan dirumah, jiwa dan minda bersama orang asing di alam maya. Sedangkan orang tersayang ada disisi seolah tidak memerlukan perhatian kamu.
Wahai suamiku.
Setiap kali aku terasa hati dengan keadaan kita, setiap kali itu lah aku berdoa agar kamu berubah, dan bersedialah menjawab di hadapan Allah satu hari nanti. Aku menjaga rumahtangga aku, kerana Allah. Setiap kerja rumah aku lakukan kerana Allah. Setiap kali aku marah kerana kamu tidak menolong, aku sabarkan diri sendiri, ‘buat kerana Allah’. Kerana aku tak dapat mewujudkan syurga di dunia. Maka aku cuba mencari syurga di akhirat dengan sabar dan redha dengan keadaan kita. Namun ingatlah, kesabaran aku punya had. Selagi aku menegur, aku masih kisah akan hubungan kita. Apabila aku berhenti menegur, aku sudah berputus asa. Hidup lah seperti mana yang kamu mahu. Aku dengan cara aku, kamu dengan cara kamu. Adakah itu yang kamu mahu?
Suami ku,
Apabila aku menegur, itu adalah kerana aku kasih kepada kamu. Aku takut apabila di akhirat kelak kamu dipanggil dan ditanya akan tanggungjawab kamu. Adakah kamu bersedia mendengar jawapan dari isteri mu? Apabila isteri mu menjawab, bahawa dia sering kali bersedih, marah, makan hati dengan minat terhadap games kamu yang tak bertempat. Adakah kamu bisa menjawab di hadapan Tuhan? Adakah kamu bisa menjawab bahawa kamu telah menjalanlan tanggungjawab dengan sebaiknya? Wallahualam. Semoga Allah memberi hidayah kepada aku dan kamu.
Aku tidak menghalang minat kamu. Tapi aku mohon agar pandai dalam membahagikan masa. Dahulukan solat, anak dan isteri mu, bahagiakan kami dahulu. Kemudian curilah masa bermain games. Bukan curi masa untuk melayan keluarga disaat bermain games. Kerana yang bisa membawa kamu ke syurga itu adalah kami, isteri dan anak-anak. Bukan mobile legends, bukan FIFA, bukan PES.
Jangan kerana sedikit keseronokan bermain games, merosakkan segala apa yang kamu ada.
Ingatlah. Berubah selagi punya waktu dan masa. Sebelum semua terlambat.
Dari,
Isteri yang selalu berdoa agar kamu berubah.
– IsteriMu
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit