Surat Layang Buatmu Mamak Dan Bapak?

Assalamualaikum kepada mamak-mamak bapak-bapak yang sama perangai. Saya hanya mampu doakan hidayah Allah sampai kepadamu. Semoga kamu diampunkan dosa dan dilembutkan hati.

Wahai mertuaku, sudahlah kamu memaki anak-anakmu dan menyoal semua rezeki mereka sedangkan kamu sendiri tahu susahnya hidup didunia ini.

Sejak aku berkahwin yang datang dari mulutmu adalah “kami miskin, kami tiada apa-apa”.

Sesungguhnya miskin bukanlah satu masalah mahupun dosa. Aku tidak kisah tentang taraf hidupmu tapi aku geram melihat perangaimu.

Kalau kau sudah merasai miskin, kenapa lagi kau nak pastikan anak2mu kena nasib sama?

Anakmu ada yang tidak habis belajar tapi bukannya kamu bagi semangat tapi makianmu pekat sekali terutama perkataan bodoh yang selalu ku dengar setiap kali bercakap tentang anakmu yang satu ini.

Walhal anakmu itu yang sentiasa bersamamu. Anakmu itu yang duduk serumah dengan mu dan menjaga makan minummu. Anakmu itu yang berhenti kerja membangunkan perniagaanmu.

Ada anakmu yang berniaga tapi perniagaannya selalu gagal. Kamu lupakah kamu juga selalu gagal dalam perniagaanmu. Kerugian perniagaanmu pun banyak kerana kecuaianmu dalam menguruskan kewanganmu.

Apabila anakmu dapat untung, sebahagian besar kamu yang dapat tapi bila rugi, makian dan fitnah banyak diberi.

Ada anakmu yang bekerja tinggi tapi apabila dia tak mampu memberimu duit lebih banyak, makianmu bertubi-tubi bagaikan peluru.

Kamu lupa? Siapa yang bayar bil-bil mu? Kamu lupa siapa yang ambil pinjaman demi pinjaman untuk perniagaanmu?

Wangnya bukannya untuk benda sia-sia tapi untuk membayar hutang-hutangmu. Itulah sebab tidak dapat bagi duit banyak tapi kamu memang tidak bersyukur ya.

Andai kata anak-anakmu ini tidak belajar agama, sudah pasti satu demi satu meninggalkanmu. Sedangkan kamu haji hajah, semua orang kamu bilang perlu panggil kamu haji hajah tapi perangaimu? Baikkah haji hajah begini?

Kamu selalu mengingatkan orang luar untuk bersikap baik dan mendekati Allah, kenyataannya kamu pun selalu tinggal solat dan selalu bercakap jahat tentang orang lain terutama keluargamu. Semua menantu pun kalau jumpa ada saja nak dimaki.

Umurmu sudahpun lanjut, tapi anak-anakmu masih berdoa hidayah itu sampai kepada kamu berdua. Mereka adik beradik inilah yang saling support satu sama lain di saat mereka mahu sambung belajar dan bekerja.

Mereka mencari duit untuk sambung belajar tapi kamu dengan bangganya kata kamu yang sponsor semua benda? Walaupun itu tanggungjawabmu tapi hakikatnya mereka bekerja mencari duit tambahan.

Tiada duit simpanan langsung tapi bila anak nak menyimpan duit kerana belajar dari kesilapanmu, kamu terus maki kata anak tidak kenang jasa walhal duitmu banyak habis kerana kamu yang tidak pandai menguruskan wang.

Semua duit ke umrah hilang sebab apa? Untuk perniagaanmu yang daripada awal sudahku kata jangan dimulakan.

Akhirnya perniagaanmu menjadi liabiliti. Apabila rugi, anak-anak dikerah mencari duit. Anak-anak dimaki apabila tiada duit. Miskin tak salah, yang salah itu dah tahu miskin harta, jiwa pun kamu turut miskinkan. Sedih saya melihat adik beradik ini.

Diluar penuh senyuman, tapi pasangan mereka nampak bahawa mereka sudah mula sakit. Setiap kali kamu telefon sepatutnya mereka gembira tapi mereka jadi takut untuk angkat, takut kena maki.

Ada yang kata, tunggu saja mereka meninggal, masalah akan selesai. Tapi bagaimana pula masalah akhiratmu? Mestilah anak-anakmu risau.

Ustaz2 mengatakan seburuk mana mak ayah kamu, kamu perlu melayani mereka. Doa mereka itu penting tapi kamu lupa yang kata-katamu pun memang doa.

Tolonglah berubah. Aku hanya mampu berdoa mereka dapat hidayah. Maaf juga sebab aku hanya mampu menulis sebab aku tahu lidahku tajam bila berkata-kata. Nanti ayat lain yang keluar. Tidak sesopan ini.

Doakan haji hajah ni berubah. Aku tak larat tengok cara mereka. Aku penat tengok orang yang miskin adab. Betullah kata orang, B40 breeds B40. Ini kerana mamak yang cemburu dengan kesenangan anak.

– Menantu haji hajah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *