Surat Untuk Abah…
Abah…
Ketika abah tinggalkan ibu, Along dengan adik masih kecil. Dan Along tak faham apa yang berlaku.
Abah pergi tinggalkan kita orang dan tak pernah muncul lagi. Hanya sesekali abah bertanya khabar melalui aplikasi whatsapp. Itu pun ibu yang tolong jawabkan bagi pihak Along sebab Along tak tahu nak reply apa.
Ibu pun sebenarnya tak nak balas whatsapp abah tapi setelah puas memaksa Along pun, Along tetap tak membalas.
Ibu ambil telefon along dan balas whatsapp abah seolah-olah along yang membalas. Tujuannya nak menjaga hati abah. Supaya abah tidak terasa hati dengan Along dan adik.
Bukan Along tak ingat abah, tapi Along sebenarnya kekok nak berbicara dengan abah.
Baiknya ibu, selalu pesan pada Along dan adik. Apa yang jadi pada ibu dengan abah, Along dengan adik tak boleh benci abah.
Sebab abah masih lagi beri nafkah setiap bulan melalui akaun bank ibu. Walaupun tak banyak, tetap ianya bantu ibu besarkan Along dan adik.
Abah…
Semakin meningkat usia, sedikit sebanyak Along mula mengerti apa yang berlaku antara ibu dengan abah.
Pengkhianatan apa yang abah lakukan pada ibu, luka yang bagaimana abah tanam dalam hati ibu hingga ibu tak mampu nak maafkan abah. Macam mana Along tahu? Along terbaca buku tulisan ibu.
Tapi Along tak tahu bila tulisan itu wujud. Sama ada ketika abah baru saja tinggalkan ibu, atau selepas bertahun-tahun pemergian abah dari hidup kami.
Abah…
Hari ni Along sangat terkesan. Bila abah block whatsapp Along. Mungkin puncanya Along mintak duit dengan abah untuk bantu sedikit beli bahan pembelajaran sebab Along kesian nak bebankan ibu lagi.
Along tebalkan muka. Buangkan rasa kekok untuk text abah. Lagi pun ibu yang minta Along cuba whatsapp abah sebab ibu kekurangan duit bulan ini.
Ya, Along tahu abah ada masukkan duit nafkah tiap-tiap bulan untuk Along dan adik. Tapi kalau ibu sendiri terpaksa membuat dua kerja dan perlu mengikat perut, Along faham kenapa walaupun ibu tak pernah cerita.
Abah…
Tidak mengapa jika abah tak dapat bagi kasih sayang pada Along dan adik.
Tidak mengapa jika abah tak tanya sakit demam anak-anak abah.
Dan tidak mengapa juga jika abah tak bertanya makan pakai kita orang.
Along tak kisah sebab hidup dengan ibu, Along tak rasa kurang apa-apa pun.
Cuma yang mengikat abah dengan Along dan adik hanya nafkah. Sebab ibu cakap yang ini abah mampu jadi kena mintak supaya tak ‘berat’ abah ‘kat sana’.
Atas sebab itu Along meminta hak nafkah Along disaat ibu kesempitan. Yang lain ibu tak kasi mintak. Ibu tak kasi minta perhatian.
Ibu tak kasi minta kasih sayang. Ibu cakap mintak duit tak ape. Sebab itu je yang abah mampu bagi selama hari ni.
Abah…
Andai satu masa nanti abah masih mengingati wajah Along dan adik dan kita berselisih di bahu jalan, tegurlah Along, tegurlah adik.
Insha Allah, kami tetap menyantuni abah seperti mana ajaran ibu. Kerana abah harus tahu, Along dan adik hampir tidak mampu mengingati wajah abah seperti apa sekarang.
Tiada satu pun gambar abah di rumah ini. Yang tersisa hanya cebisan-cebisan kecil gambar yang telah dirobek-robek seperti kecewanya hati ibu.
Abah…
Jika benar kata ibu yang mengikat abah dan anak-anak abah kini hanya nafkah, maafkan Along jika satu masa nanti hanya nafkah juga yang mampu Along beri untuk mengenang budi abah pada kami…
– Along (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit