Assalamualaikum wbt. Jika confession aku disiarkan terima kasih admin. Selamat bercuti warga pendidik seluruh Malaysia, walaupun hakikatnya kerja mendidik kita takkan pernah selesai walaupun di mata masyarakat kita sudah bercuti.
Pertama kalinya aku terpanggil memberikan pendapat berkenaan kerjaya guru iaitu antara kerjaya paling panas dengan pelbagai isu dan idaman sesetengah golongan masyarakat di negara kita.
Sebenarnya masih kurang 5 tahun aku berkhidmat sebagai pendidik di sebuah negeri di semenanjung. Tapi rasanya seakan-akan sudah 15 tahun berada di bidang ini. Makin lama aku berada di bidang ini makin aku melihat banyak kepincangan dalam kerjaya yang aku harap dapat menjadi kerjaya aku seumur hidup.
Sebenarnya, kerja seorang guru tidak mengajar semata-mata. Ia penuh dengan pelbagai tugas – tugas lain.
Antaranya terlibat dalam bidang kokurikulum, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), membuat modul-modul untuk proses pengajaran dan pembelajaran, penyediaan alat bantu mengajar, pengisian data-data markah dan kehadiran serta 1001 macam lagi tugasan yang tidak mampu aku senaraikan di sini.
Hakikatnya kerja seorang guru sejati terlampau banyak . Nilai gaji yang diperolehi serta kenaikan gaji tahunan aku rasakan sangat berbaloi bahkan tidak mencukupi bagi seorang guru yang benar-benar berkorban jiwa dan raga untuk anak-anak murid mereka.
Ada dalam kalangan rakan guru yang aku gelarkan sebagai M . M merupakan seorang guru yang cukup berdedikasi. Dia seringkali menghabiskan setiap cutinya dengan anak muridnya. Tidak pernah rasanya aku melihat dia menghabiskan cutinya dengan berseronok bersama kawan-kawan mahupun keluarga.
Disaat rakan lain menikmati indahnya cuti sekolah, M masih tekun mengisi dan membuat rayuan kemasukan ke sekolah-sekolah kawalan kerajaan untuk anak-anak muridnya yang terdiri dalam kalangan orang-orang miskin.
M juga masih meneruskan kelas tambahan serta latihan olahraga untuk muridnya walaupun masih di tahun 3. M sering mengingatkan aku bahawa kegembiraan hidupnya ialah melihat kejayaan anak muridnya.
Hasilnya, ada dalam kalangan anak muridnya sudah berjaya mengharumkan nama negeri dan sedang berjuang membawa nama Malaysia di persada dunia.
Ya, M ialah contoh guru sejati yang aku kira beruntunglah sesiapa yang menjadi anak murid M .
Tapi aku tidak nafikan masih terdapat dalam kalangan guru yang hanya datang dan balik dari sekolah semata-mata.
Aneh sekali aku melihat mereka, datang sekolah bergaya dengan gaya ala-ala artis ataupun langsung tidak bergincu dan berbedak hanya datang ke sekolah semata-mata untuk mencukupi syarat masuk ke kelas mengajar walaupun hakikatnya pembelajaran tersebut tanpa ABM atau lembaran kerja yang bersesuaian.
Senangnya hidup sebahagian dari mereka, tepat jam 2 petang sang Suami menunggu untuk membawa pulang ke rumah dan mereka memasak serta berada di rumah mengurusi hal rumahtangga mereka. Begitulah seharian hidup mereka. Cukup bulan dapat gaji serta menikmatinya.
Segelintir lagi berhempas pulas sehingga lewat petang di sekolah, melatih anak-anak dalam sukan, serta pelbagai aktiviti kokurikulum seperti tarian, action songs, bicara berirama dan sebahagian lagi mengajar semasa kelas tambahan.
Malangnya, individu yang terlibat ialah individu yang sama menjadi setiuasaha PIBG serta lain-lain jawatan besar disekolah. Hal ini demikian, kerana pihak pentadbir tidak yakin dengan sebahagian yang datang kesekolah untuk menjadi artis atau mencukupi syarat seorang guru.
Jika sesuatu majlis bakal diadakan di sekolah, orang-orang seperti M akan diminta menjadi penyelaras, bendahari, AJK hadiah dan lain-lain. Maka bertambahlah kerja M yang menjadikan hujung minggunya tidak lagi digunakan untuk diri sendiri.
Realitinya hanya guru yang seperti M akan diberikan tugasan yang banyak dan memainkan peranan besar disekolah. Walaupun hakikatnya gaji mereka adalah sama dengan guru yang tidak memiliki tugasan.
Bahkan ada dalam kalangan guru yang sudahpun mencapai gred DG44, DG48 yang masih tidak tahu cara menggunakan komputer dan mengisi aplikasi online sistem-sistem pembelajaran. Maka sekali lagi guru M akan membantu.
Hakikatnya, begitulah sebuah sekolah yang dibanjiri guru yang ramai tetapi tidak semuanya memainkan peranan mereka sebagai guru sebenar disekolah. Maka jika dibandingkan dengan pekerja swasta yang begitu menjaga KPI mereka untuk memastikan mencapai standard yang disasarkan , rasanya jauh sekali kualiti guru di sekolah berbanding mereka.
Memang benar, gaji guru bagi aku agak besar. Kenaikan tahunan agak lumayan apatah lagi jika sudah mencapai gred yang tinggi. Namun hakikatnya, sedih melihat guru seperti M yang dapat dibilang dengan jari di sekolah. Aku pun tidak pasti adakah aku guru yang berkualiti atau tidak tapi aku akan cuba memberikan yang terbaik untuk anak bangsa.
Akhir kata, aku menyampaikan pesan kepada seluruh rakan-rakan guru ayuhlah berjuang mendidik anak bangsa dengan sepenuh hati dan tenaga. Janganlah menggunakan alasan anak yang ramai, suami tidak mengizinkan, jarak yang jauh, tidak pandai teknologi, tidak reti memandu serta lain-lain alasan yang menjadikan kita terus mundur dan ketinggalan.
Ikhlaslah mendidik bersyukurlah hakikatnya kita masih punya kesempatan bercuti dan waktu kerja yang singkat jika dibandingkan kehidupan seorang doktor yang aku kira sangat sibuk dan penat .
Semoga setiap ilmu yang dicurahkan seorang guru menjadi asbab amal jariah di alam sana. Ayuhlah 2020 bangkit dengan azam untuk menjadi guru sejati yang benar-benar mencurah tenaga dan bakti untuk anak didik.
– Kemboja (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit