Assalamualaikum, hai… Malaysia baru je selesai dilanda fenomena drama 7 hari mencintaiku, kan? Dan dalam coretan ini, saya akan ceritakan satu kisah yang mungkin boleh dijadikan pengajaran ataupun iktibar untuk korang yang membaca.
Sebelumnya, saya ingin meminta maaf awal-awal kalau apa yang saya tulis ini adalah cerita biasa-biasa saja. Nama saya Orked. Berasal dari salah satu negeri di tanah semenanjung dan berusia lingkungan 30-an.
Kita manusia takkan lepas dari masalah, kan? Sama ada dalam drama ataupun kehidupan realiti kita semua. Ya… sebab tu kadang ramai yang suka menonton drama, sebab drama saja ada apa yang takkan terjadi kat dunia nyata.
Dah lumrah manusia, kadang kita terlepas pandang apa sebenarnya yang Allah hendak bagitau melalui ujian-Nya. Seperti kisah yang saya akan ceritakan ini.
Pernah tak korang berada dalam kekecewaan yang seolah-olah sedang tenggelamkan korang lemas dalam air? Saya pernah dan mungkin ujian saya tak seberapa jika nak dibandingkan dengan ujian korang.
Saya mulakan kisah ini dengan perkenalan saya dengan orang yang saya gelarkan dia sebagai ‘A’. sejak awal perkenalan kami beberapa tahun yang lalu, A memang jenis yang boleh dikategorikan sebagai seorang lelaki yang gentlemen.
Pernah korang rasa bila bersama dengan seseorang, korang rasa selamat? Seolah-olah semuanya baik-baik saja walau di waktu itu korang sedang ada masalah. Tapi bila ada dia, korang rasa tenang. Itulah yang saya rasa sepanjang bersama dia. Dan ya… dia sentiasa ada bila saya perlu.
Setiap hari seperti jatuh cinta berkali-kali dengan orang yang sama. Dan kalau korang nak tau, mula-mula saya pandang wajahnya dulu entah kenapa saya seperti dejavu.
Rasa macam pernah tengok dia dalam hidup saya. Rasa macam seolah-olah kami memang dah kenal dan dia memang familiar. Tapi saya seperti terlupa dia siapa… apa namanya… hmmm.. pelik, kan?
Saya masih ingat lagi banyak kali juga saya curi-curi tengok gambar dia kat fb sambil comfius. Haha puas fikir padahal, tulah kali pertama saya kenal dia.
Hubungan kami alhamdulillah berjalan lancar walau ada turun naik sehinggalah satu hari, hadirnya seorang gadis bernama Puteri (bukan nama sebenar).
Hubungan kami teruji dengan tahap paling tinggi bila A tiba-tiba menyatakan dia nak menikahi Puteri. Saya tak salah kan A juga. Saya tau dia penat tunggu saya.
Untuk pengetahuan korang, saya pernah tolak lamaran dia waktu dia melamar saya untuk pertama kali dulu. Dan selepas tu, dia jadi agak nakal.
Masa berlalu sehinggalah dia lamar lagi buat kali kedua dan akhirnya saya terima setelah saya yakin dia benar-benar cintakan saya dan nak hidup bersama saya.
Pada yang mula tertanya-tanya kenapa saya tolak sedangkan saya tulis di atas saya jatuh cinta dengan dirinya setiap hari?
Untuk pengetahuan korang, bukan sebab saya tak mencintai dirinya, tapi sebab saya sakit. Saya disahkan mengidap sejenis penyakit yang boleh menyebabkan saya lumpuh satu badan.
Saya akan perlahan-lahan sakit sampailah satu tahap saya tak mampu untuk uruskan diri saya sendiri lagi. Dan yang lebih malangnya, belum ada lagi rawatan khusus untuk itu.
Masa tu saya tak yakin kalau dia lamar saya semata-mata kerana kesian atau sebab dia betul-betul cintakan saya.
kalau korang nak tau, rupa parasnya memang sedap mata memandang dan memang ramai yang sukakan dia. Fikir logik mana mungkin dia nakkan orang macam ni, kan?
Dan ya… sejak mula kenal dia, saya dah mula sakit. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kesihatan saya makin menurun. Bahkan Sekarang ini pun saya dah tak mampu untuk berjalan. badan saya bisa. Segala sendi di badan ni juga bisa. Saya kerap rasa tak bermaya.
Nak tau teruk atau tidak, korang mesti pernah guna yoko-yoko yang panas tu, kan? Setiap kali badan saya sakit, walau benda tu saya sapu hingga menitik di bahagian badan yang sakit, saya tak rasa apa.
Okey berbalik semula kisah tadi. Selepas A bagitau dia nak nikahi Puteri, dipendekkan cerita A akui kesilapan dan nak nikahi keduanya. Dan, alhamdulillah…
Puteri juga setuju. Kerana saya tak pernah meminta A untuk memilih antara dua. Dan saya terima kehadiran Puteri dengan senang hati. Walaupun saya tau… satu saat, saya akan tersingkir kerana itu.
Saya kata pada A, “tak apalah.. nikahi la yang mana-mana dulupun, saya ok. Saya terima Puteri seadanya.” Saya fikir… Mungkin Puteri adalah malaikat kecil yang Allah bagi untuk jadi pelengkap saya juga pada masa tu.
tapi lama kelamaan, saya perasan sikap Puteri mula berubah. Ternyata apa yang saya agak, memang benar berlaku. Dingin dia dengan saya.
Saya tau… dia mula cemburu dengan layanan A pada saya. Sehingga satu hari, bila dia mula marah dan minta saya pergi jauh dari A, saya tau dia mula anggap saya ibarat babi yang merosakkan bahagianya.
Saya tak marahkan Puteri juga sebab bersikap macam tu, dia masih muda. Belum matang sepenuhnya lagi. Sifat kebudak-budakkan masih tebal dalam dirinya.
Lagipun… siapa je yang tak nak dengan lelaki seperti A. dia berada dalam class yang tersendiri dalam bidang dia. Punya pangkat serta nama.
Tipulah kalau saya kata tak ada ayat yang diucap menguris hati saya. Katanya dia tau kami saling mencintai tapi apa yang berlaku menyakitkan hatinya. Dan dia tau dia sedang merampas itu, tapi dia juga ingin bahagia.
Bila dia cakap macam tu saya sedar… mungkin dah tiba masanya untuk berhenti merasakan diri ini Cinderella. Hidup bahagia dengan orang yang dicintai itu cuma kisah dongeng. Lagipun saya sakit, kan? Sembuh juga belum tentu.
Untuk kebahagiaan A, saya berundur. Mungkin itulah Cinderella yang sebenar dan saya cuma pari-pari yang menemukan mereka saja.
Dan saya juga tak nak A tau kesihatan saya dah makin merosot. Dan disebabkan stress melampau-lampau kerana hal tu, semakin cepat saya melemah.
Dek kerana antibodi saya lemah kerana penyakit yang satu tu, banyak jugalah penyakit lain yang saya ada. termasuklah masalah rahim. Saya alami pendarahan banyak kali di luar waktu haid.
Menangis saya… sampai satu tahap saya terpaksa berhenti kejap masa solat sebab saya tak mampu untuk tahan sebak. Lama saya di sejadah. Panjang doa saya. Segalanya saya adukan.
Kalau memang saya adalah penyebab Puteri menderita, saya mohon pada Allah supaya angkatkan rasa sedihnya untuk saya.
Lama saya fikir agaknya dosa saya pada siapalah yang Allah makbulkan doanya sehingga saya diuji dengan cara ini. Pernah atau tak saya buat benda yang sama pada orang. Dan serasa saya, saya tak pernah kecewakan sesiapa.
Kalau korang pernah alami keadaan sedang berjuang untuk hidup, tapi ‘diri’ dalaman korang dah mati. Itulah umpama keadaan saya pada masa tu.
Tapi biarlah… paling tak, A tak perlu tau tentang kesihatan saya. Dan saya sendiri pun dah penat berlakon saya okey dengan semua tu sedangkan saya terluka. Luaran saya tersenyum, but inside im dying!
Pada hari mereka bernikah, saya tak taulah apa yang merasuk saya untuk tengok live majlis mereka. Saya cuba untuk senyum waktu tu walau diri saya kosong bila dengar
A lafazkan akad. Sedih sangat saya bila terkenangkan diri saya. Saya nak halang orang yang saya cinta bernikah tapi saya tak mampu.
Kalau saya tak halang.. saya terluka. Kalau halang sekali pun saya tetap terluka kerana saya tau, andai bersama saya A belum tentu juga dapat rasa bahagia seperti mana dengan Puteri.
Saya tau saya banyak kekurangan. Saya dah tak sempurna lagi dah. Semahu-mahunya saya menangis pada malam tu.
Dan kerana hal itu jugalah warna kuning diraja bukan lagi menjadi salah satu warna kegemaran saya. Kerana warna itulah baju nikah mereka. Setiap kali tengok warna tu, saya akan teringat macam mana teruknya saya menangis.
Pagi keesokannya saya tekad, itulah kali terakhir saya menangis. Saya paksa diri untuk pura-pura sibuk. Saya luangkan masa untuk dapatkan rehat yang benar-benar berkualiti.
Saya paksa diri saya untuk makan memandang saya dah sangat kurus. Saya dah tak nak peduli apa yang orang nak fikir atau cakap pasal diri saya.
Apa yang terjadi sudahpun terjadi. Memang sedih, Ya… saya mencintai A. itu kenyataannya. Tapi saya takkan buang masa yang ada dengan bersedih saja.
Orang yang perlu diangkat kesedihan oleh-Nya itu bukan Puteri atau sesiapa pun sebenarnya, tapi diri saya sendiri yang paling layak. Saya juga berhak. Kerana saya ada mak yang sudah tua.
Kalau saya dah terbaring siapa nak jaga dia? Jadi saya kena kawal diri saya supaya kesihatan boleh bertahan selama yang mampu.
Saya pernah jatuh masa saya nak buka tingkap dapur sebab saya tak boleh berdiri lama. Habis berterabur segala pinggan mangkuk yang ada singki pecah sebab jatuh sekali dengan saya. Dan saya tau… badan saya sedang melemah dengan cepatnya sekarang.
Paling tak, saya dah berjaya lepasi satu ujian. Ujian untuk mencintai A dengan cara yang paling baik. Selama saya dengan dia, saya dah menjaga batas saya. Saya juga menjaga maruah dirinya. Kalau memang saya yang perlu berkorban, takapalah… demi A saya rela.
Dan andai diminta untuk tukarkan segala yang pahit agar A dapat rasakan yang manis saja dalam hidupnya tak apalah saya rela. inilah bukti cinta saya padanya. Kerana saya mencintainya dengan segala kelebihan dan kekurangan dirinya seadanya. Ikhlas kerana Allah.
Dan Puteri pulak, sekarang pun dah mula belajar untuk bertudung. Nikmat mana lagi yang didustakan? Saya akui hati terluka. Banyak hal saya berkecil hati.
Ada beberapa perkara yang saya tak dapat nak maafkan tapi saya juga tak nak kalau disebabkan perkara ini, saya menjadi seseorang yang bukan diri saya dengan menjadi pembenci.
Pernah dengar akan ada di kalangan hamba Allah yang akan datang mengadap-Nya di akhirat sana bercahaya seperti bintang tapi akhirnya cahaya itu malap perlahan-lahan setelah perbuatannya di dunia dipertanggungjawabkan dan akhirnya hanya dihumban ke dalam neraka?
Saya tak nak menjadi satu di antara mereka. Biarlah… walau apapun, mereka tetap ada dalam doa dan hati saya. Kita ni manusia… selagi mana masih bernafas, ujian memang akan datang satu persatu.
Ujian tu Ibarat hujan. Sama ada kita nak basah dan enjoy setiap titik yang turun ataupun kita nak menyorok dari basah dan mengeluh. Pilihan tu di tangan kita. Pada korang yang sedang alami benda yang sama ataupun lebih teruk, saya doakan korang sentiasa kuat.
Senyumanlah. Ingat, ada yang sebenarnya tak pernah sekalipun tinggalkan kita dan menyayangi diri kita lebih dari yang lain yaitu Allah. Selagi di hati kita ada Dia, kita tak pernah hilang atau kekurangan apa-apa kerana Dia ada segalanya.
Letaklah Allah pada tempat yang selayaknya. Bersederhana dalam setiap perkara. Tunaikan apa yang Dia suka kerana bila Dia redha, Dia pula yang akan tunaikan apa yang kita suka. Insya-Allah…
Pada yang doakan saya supaya sembuh, saya ucapkan terima kasih. Dan tolong doakan sekali mereka-mereka yang sedang berjuang dengan segala penyakit yang bahaya lainnya juga.
Dah, satu lagi… untuk korang yang sedang sakit, tak usahlah duk terpengaruh dengan produk overclaim founder-founder makanan kesihatan yang kononnya buleh sembuhkan penyakit tu, memanglah sembuh… tapi sembuh penyakit dompet dorang dan untuk kayakan seller.
Habis beribu-beribu tapi last sekali hanya tambahkan racun dalam badan korang saja. Ada baiknya korang habis duit beribu-ribu untuk ubatan dorang tu beli emas. Tak pun beli je unit trust. Paling tak ada juga hasil untuk masa depan.
Kalau nak usaha, saya cadangkan usahalah dengan pusat rawatan islam. Dan semoga kalian bertemu perawat yang sesuai. Percayalah, ilmu Allah tu luas dan tiada tandingannya. Doa, usaha dan tawakallah. Moga Allah mudahkan.
Dan… sama ada A atau satu di antara korang yang membaca ini adalah jodoh saya yang sebenar dan tertulis di Luh Mahfuz sana, (jika ada dunia lah) satu saja saya nak tinggalkan pesan.
Sama ada saya dalam keadaan sakit atau setelah sembuh, maaf… sebab awak akan lalui satu perjalanan yang panjang kerana awak takkan pernah ada dalam doa saya dan saya tidak mahu ditemui di dunia.
A adalah orang terakhir yang saya izinkan ada di hati saya dan tiada lagi selepas dirinya. Cukuplah. Saya betul-betul dah penat dengan segala tipu daya dunia yang hanya menyakitkan.
Apa yang saya mahu sekarang, hanya ingin habiskan masa yang berbaki ini jika saya tak dapat sembuh dan masa saya tak panjang dengan cuba untuk menjadi anak yang berbakti dan mencari tempat untuk ‘berehat’ setelah saya dipanggil pulang oleh-Nya.
Salam sayang dari Orked dan Assalamualaikum.
– Orked (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit