Suratan? Kebetulan? Balasan?

Assalamualaikum semuanya, Terima Kasih kepada admin andai tulisan ini disiarkan. Aku adalah antara follower tegar untuk page ini, seringkali membaca luahan-luahan isteri yang dikhianati dan aku juga pernah dikhianati, tapi belum sempat lagi menjadi isteri.

Dia adalah lelaki pertama yang aku terima dan sayang, sebelumnya aku tak pernah terfikir untuk couple atau berkawan dengan lelaki, aku lebih menumpukan pada pelajaran aku.

Walaupun tak terkira surat layang dari lelaki-lelaki yang ingin berkawan denganku. Selepas meninggalkan alam persekolahan, aku melanjutkan pelajaran tahap diploma, dan disinilah aku mengenali si dia. Aku namakan dia ‘Bang Jamil’.

Mula kenali dia waktu aku dan kawan-kawan aku keluar membeli barang di bandar. Waktu tu tiada grab bagai, kami hanya menggunakan pengangkutan awam sahaja.

Aku duduk di kerusi belakang bang Jamil, dan terlihat kukunya yang di warnakan hitam, terdetik di hati aku “entah pape lah nak kaler-kaler kuku ni”.

Actually bang Jamil guna inai hitam je, bukan pewarna kuku pun. Sejak itu, aku asyik terserempak bang Jamil di Uni. Daripada jeling-jeling, sampailah dia mesej aku ingin berkenalan. Awalnya kawan sahaja,lama-lama aku jadi sayang.

Hubungan kami direstui oleh kedua keluarga kami, dan kedua family kami pun dah berjumpa, tapi disebabkan aku melanjutkan pelajaran lagi ke tahap Ijazah Sarjana, keluarganya memberi masa kepada kami untuk bina kerjaya dahulu sebelum kami berkahwin. Aku ikutkan sahaja.

6 tahun aku menunggu dan setia, namun disebabkan jarak dan masa, bang Jamil mula berubah, setiap kali aku mesej, dia akan beralasan tengah bekerja dan sibuk,

Panggilan aku juga tak disambut, kalau di sambut pun masih beralasan sibuk, dan lama kelamaan aku menjadi terbiasa tanpa mesej dan call dari dia.

Aku menghabiskan cuti semester aku di kampung dengan melakukan kerja part time, sebelum pulang ke Uni, aku singgah di rumahnya, itu pun mak bang Jamil yang jemput aku di stesen bas.

Dalam perjalanan tu, mak bang Jamil bagitahu pada aku, bang Jamil ada menyatakan hasrat untuk bertunang dengan aku hujung tahun tu, iaitu bersamaan habisnya konvokesyen ijazah aku.

Aku hanya senyum dan mengatakan bahawa bang Jamil tiada memberitahu aku apa-apa tentang itu.

Aku berterus terang yang aku dan bang Jamil jarang mesej atau bercakap sejak setahun lamanya. Ada pun mungkin dalam setahun tu cuma 5-6 kali.

Disebabkan itu, maknya menasihati aku, kalau hubungan kami ini tidak berjaya, dia minta aku kuat dan sabar. Dari kata-kata itu aku mulai curiga.

Selepas pulang ke Uni, terlintas di fikiran aku untuk membuat akaun facebook baru (facebook asal masih ada), dan aku gunakan akaun facebook baru itu untuk cuba mencari nama bang Jamil.

Mulanya aku temui Facebook abang kepada bang Jamil dahulu, dan di ruangan sibling page abangnya itulah aku temui Facebook bang Jamil.

Kalau menggunakan akaun facebook asal aku, di ruangan sibling namanya tak boleh di access atau di klik, tapi apabila aku menggunakan akaun facebook baru aku, namanya di ruangan itu boleh di klik dan di access, barulah ku tahu, selama ini bang Jamil block Facebook asal aku.

Patutlah bila ditanya apa namanya di facebook, bang Jamil menafikan punyai akaun. Aku mulai menggigil apabila melihat post-post nya yang mesra dengan wanita lain. Keluar bersama kesana sini, dengan menggunakan bahasa panggilan yang menjengkelkan.

Air mata aku jatuh. 6 tahun aku menunggu dan setia, dan ini yang aku terima dari dia. Aku call bang Jamil malam tu, segala makian yang ada didunia ni aku berikan padanya.

Dia mulai menangis dan meminta maaf, aku sekerasnya menjerit aku tak akan pernah maafkan apa yang dia buat pada aku. Dalam satu malam tu bang Jamil cuba call aku, aku tak mengendahkannya.

Keesokkan paginya dia call aku lagi, dengan suara yang seakan masih menangis, dia tanyakan aku, apa yang boleh buat aku maafkan dia.

Dengan rasa marah yang penuh benci, aku katakan yang aku nak dia mati barulah aku maafkan bang Jamil, bang Jamil terdiam. Aku tamatkan panggilan. Sejak dari itu, aku tak pernah menjawab mesej atau call dari bang Jamil.

Aku kemurungan, menangis sendiri dengan rasa sakitnya hati yang tak terkata. Tapi semuanya berlalu sampailah aku tamat belajar dan konvokesyen.

Hujung tahun yang sepatutnya aku bertunang dengan bang Jamil, aku menerima mesej dari dia mengatakan dia berada di wad, dan meminta aku memaafkannya.

Aku tak membalasnya, awal Januari itu, aku menerima mesej nya lagi yang berbunyi “sudikah awak menjadi isteri saya selepas saya pulih dari sakit ni?”.

Aku masih tidak menjawabnya, apatah panggilan telefonnya. 2 minggu selepas mesej itu, aku menerima mesej dari adiknya mengatakan bang Jamil sudah tiada, dia meninggal sewaktu tidur petangnya.

Waktu tu, aku masih di sejadah menunggu waktu masuknya asar. Berdebar dan sekali lagi aku menggigil, aku membalasnya “kau jangan main-main lah bang Jamil, aku tahu kau gunakan nombor adik kau untuk berdrama lagi”.

Habis menaip, aku menelefon nombor itu, suara adiknya yang sedang menangis mengatakan memang benar, bang Jamil dah tiada.

Aku tamatkan panggilan, air mata aku menitik lagi,bukan kerana sedih, tapi kerana aku menyesal mengungkapkan kata-kata mati kepada bang Jamil.

Adakah dia mati kerana kata-kata yang mungkin luahan doa diwaktu marah aku? Sampai ke harini aku masih menyesali kata-kata aku tu.

Ada sesetengah hubungan tu,walaupun hubungan terputus, tapi hubungan dengan family ex masih baik.

Tapi tidak bagi aku, setelah mengetahui yang family bang Jamil tahu kewujudan wanita tersebut, sehinggakan berjemput ke rumah, bergambar mesra di waktu aku bodoh-bodoh percaya yang bang Jamil hanya untuk aku seorang,

Aku merasakan diri aku dipermainkan oleh seisi keluarga bang Jamil. Lebih menyakitkan, bila wanita tersebut juga mengetahui kewujudan aku dalam hidup bang Jamil, tapi tanpa rasa bersalahnya mereka memperbodohkan aku.

Adakah aku memaafkan mereka? Ya, pada mulutku, tapi tidak pada hati aku.

Baru-baru ni, aku berhubung semula dengan kak ipar arwah bang Jamil, aku terkejut bila kak iparnya mengakui bahawa dia sudah bercerai dengan abang arwah,

Apa yang lebih buat aku terkejut lagi ialah kak ipar juga mengalami sebijik jalan cerita yang aku lalui, bezanya aku dan kak ipar dia ialah, kak ipar dah pun menjadi sebahagian dari family bang Jamil, melahirkan 3 orang anak dan cucu untuk mereka,

Tergamaknya mereka memperlakukan benda yang sama aku lalui padanya.

Dan 2 hari lepas, aku menerima mesej dari kak ipar arwah, meluahkan rasa sedih hatinya menerima khabar yang ex husband nya akan bernikah hujung tahun ni bersama wanita yang merosakkan rumahtangga mereka.

Aku hanya meminta nya supaya kuatkan hati sahaja, dan semalam kak ipar arwah memberitahu aku lagi yang maknya arwah bang Jamil tiba-tiba alami stroke dan koma.

Adakah apa yang menimpa mereka itu suratan? Kebetulan? Atau balasan?

Aku tak tahu. Hanya Allah sahaja yang mengetahui nya. Akhir kata dari aku. Maaf itu memang mudah diungkap, tapi tak mudah dipadam parutnya. Jadi, hentikanlah dari menyakiti. Sekian.

– Anonymous (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *