Surirumah

Bismlillah. Assalamualaikum semua, saya Nurul berusia 20an, sudah berkahwin dan dikurniakan dua orang anak.

Sedikit latar belakang saya, saya ada degree dan merupakan lepasan salah sebuah universiti awam. Sekarang saya merupakan seorang surirumah sepenuh masa. Sejak habis degree, saya tak pernah bekerja. Dan saya tiada masalah pun tak bekerja.

Alhamdulillah, kehidupan saya bersama keluarga pun serba mencukupi. Cukup makan minum, ada tempat tinggal, pakaian semua.

Walaupun tak mewah, tapi tak pernah tak cukup.

Saya menulis di sini bukanlah untuk merungut. Cuma kadang-kadang, saya juga rasa berkeinginan untuk mempunyai atau merasa dapat income sendiri. Tiap-tiap bulan, suami memang ada bagi nafkah berupa wang untuk saya, dalam RM200-RM300.

Dengan duit itulah saya beli baju anak (bukan tiap bulan), beli makanan kucing (kucing datang depan rumah), beli makanan atau minuman yang saya teringin nak makan (coolblog/donut dll),

Simpanan untuk anak-anak, tabung untuk anak masuk tadika tahun depan, topup internet, barang rumah yang kecik-kecik, dan selebihnya saya simpan masuk tabung haji.

Kadang-kadang, ada juga saya belikan barang shopee untuk mak dan mertua saya. Bukan lah tiap bulan, tapi ada la juga.

Saya juga ada menjadi dropshipper, walaupun tak setiap hari dapat order, tapi syukur kadang-kadang tu ada rezeki Allah bagi. Nak upgrade jadi agent, saya memang tiada modal.

Taktahulah kalau saya ni tak pandai uruskan wang ke apa ke, tapi saya hanya mampu menjual dengan hanya menjadi dropship sahaja buat masa ni. Plus, saya tak pandai bawa kereta, lesen pun takde, anak-anak kecil lagi (alasan cliche kan kalau nak cari duit lebih).

Entahlah, saya pun taktahu kenapa saya cerita pasal ni. Cuma sejak dua menjak ni, perasaan nak tunaikan umrah, nak tengok kaabah depan mata, besar sangat. Nak sangat sangat dijemput ke sana. Yela siapa taknak kan, jadi tetamu Allah, dapat jejakkan kaki ke haramain.

Saya selalu follow Ustazah Asma’ Harun, baru-baru ni ustazah dan keluarga pergi umrah dengan keluarganya (sambil menguruskan syarikat yang terlibat dengan umrah travel tu).

Ada satu live ustazah ni, saya rasa terkesan sangat, perasaan nak datang ke tanah haram memang membuak-buak, sejak tu saya selitkan doa dalam sujud saya agar Allah jemput saya dengan keluarga dapat datang kesana.

Bila fikir balik, nak tunaikan umrah bukannya free (melainkan ada orang sponsor), saya pula teringin nak pergi dengan suami dan anak-anak, mesti kena ada bajet yang besar. Nak kumpul modal, kena ada banyak duit.

Nak ada banyak duit, kena la mula menabung. Saya ni pula bukannya keluarga mewah, kalau saya nak menabung sendiri pun, mungkin bulanan mampu menabung dalam RM50 paling banyak (lepas tolak komitmen yang lain).

Suami pula lepas tolak belanja ini, cukup saja bulan selalunya takde lebihan pun. Memang Allah bagi cukup-cukup. Alhamdulillah untuk itu.

Sekarang ni, saya fikir macam mana cara untuk saya cari duit lebih, dapat kumpul duit nak tunai umrah dengan family. Nak berniaga makanan, saya takde bakat nak baking, buat kuih ke, kek ke, apa2 yang melibatkan acuan saya memang out.

Tapi saya suka sangat tengok kawan-kawan saya yang buat macam2 jenis kek dan kuih buat berniaga. Teringin nak belajar, tapi yela, semua tu perlu modal kan. Duit, tenaga, masa.

Nak jadi rider lagi la tak boleh, saya kena jaga anak-anak. Nak jadi pengasuh, saya memang tak berani, lagi-lagi banyak kes anak jagaan pengasuh meninggal, saya rasa takut nak ambil risiko.

Nak menjahit pun saya tak reti. Saya sebenarnya teringin saja nak belajar baking, menjahit tu semua. Tapi tula, saya terikat dengan anak-anak dan kerja di rumah. Saya tak boleh tinggal anak-anak walau satu jam.

Kadang-kadang, tengah saya ralit melayan fon (promot barang di medsos dan layan customer), anak-anak mesti datang melekat dengan saya minta perhatian. Saya dapat pegang fon tak lama pun, sebab kesian kat anak-anak nak dilayan.

Saya sampai sekarang masih lagi mencari jalan macam mana nak jana side income sendiri sambil jaga anak-anak dan tanpa susahkan sesiapa pun. Buat masa ni, saya hanya teruskan saja jadi dropshipper. Walau untung tak banyak mana tapi tetap ada kan, siapa la nak bagi duit free saja.

Saya nak belajar macam mana nak tarik customer, nak buat self-branding (saya introvert), nak buat marketing yang tak makan banyak modal,

Nak belajar meniaga di shopee (saya tak tahu macam mana nak print order customer yang kena tampal kat parcel sebab takde printer, lagipun saya hanya dropship, saya tak pegang barang).

Semua yang tak pandai tu sebenarnya boleh belajar kan. Nak taknak saja. Alasan saja lebih semua yang saya tulis kat atas tu kannnn. Boleh jeee belajar free kat google, kat youtube semua ada. Boleh saja, tapi hati yang banyak alasan. Aduh, saya tak tahula nak buat macam mana.

Saya sangat perlukan seseorang untuk bagi tunjuk ajar kat saya. Tak, bukan mintak kena suap. Saya minta guideline saja untuk beginner macam saya ni yang nak jana income.

Saya pernah terbaca satu confession dulu, dia online seller. Dia nak bantu orang lain pun jana income macam dia, sampai dia sendiri yang pm stranger untuk dia guide jadi berjaya macam dia.

Mula-mula ok, tapi stranger tu tiba-tiba diamkan diri. Saya baca confession tu, saya pula yang rasa teringin nak ditunjuk ajar oleh confessor tu. Huhu.

Buat masa ni, saya betul-betul serahkan semuanya pada Allah. Diberi kesihatan yang baik, dijauhkan perkara yang memudaratkan.

Dah la kami ni takde ambil sebarang insurans/takaful (sebab faktor kewangan juga), sebab tu saya memang berserah saja pada Allah agar kami sentiasa sihat walafiat.

Sihat yang merupakan salah satu nikmat yg terbesar kan? Inshaallah kalau ada income sendiri nanti boleh la saya ambil insurans untuk keluarga sekali. Amin!

Saya cuma ada satu saja idea sekarang ni. Saya ada bakat sedikit dalam pembuatan sambal ikan bilis. Syukur alhamdulillah, so far, sesiapa saja yang rasa sambal bilis saya buat mesti puji sedap. Tu saya ingat nak try jual.

Saya terfikir la nak cari seller yang mungkin nak jual sambal bilis saya tu. Saya tukang masak saja. Yang jual orang lain, bungkus orang lain, hantar pun orang lain. Hmmm tapi tula, saya taktahu nak mula dari mana.

Tu jela kot dari saya. Saya pun taktahu tujuan apa saya tulis semua ni. Rasa nak meluah pun ada sebab saya tak pernah pun ceritakan pada sesiapa pasal hajat saya ni termasuk suami.

Saya minta readers semua doakan Allah bagi ilham untuk saya mulakan semuanya. Sebab saya betul-betul buntu. Dan saya tahu semuanya sangat perlukan usaha.

– Nurul (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *