Susah Nak Kerja

Assalamualaikum wbt. Nama saya Kirana (bukan nama sebenar). Saya menetap di bandar dan mempunyai 2 orang cahaya mata. Saya seorang suri rumah sepenuh masa dan berusia di awal 30an.

Saya cuma ingin meluah. Ingin berkongsi rasa, perasaan yang sering menghimpit jiwa. Saya tertekan. Saya sudah bertahun mencari kerja namun tiada rezeki.

Hendak dikatakan memilih, tidaklah pula. Sehingga bos company recruitment (saya hantar resume ke sana dengan harapan lebih besar peluang mendapat perkerjaan) juga pelik kenapa masih tidak mendapat kerja.

Jauh di hati saya cemburu dengan rakan-rakan yang berkerja dan mempunyai pendapatan sendiri.

Mereka berkata rezeki saya tak sampai lagi. Tapi bila? hanya Allah sahaja yang tahu siang malam saya menghadap handphone dan laptop mencari kerja, abaikan anak-anak namun tak dapat juga kerja.

Saya tinggal di rumah atas awan dengan keluasan 605sqft. Faham-faham la jika keluasan sebegitu dengan anak-anak rasa kecil sangat ruang dan kesabaran. Saya mahu kerja dan keluar dari kawasan ini.

Bukan saya tak cuba menjual secara atas talian bagi menjana pendapatan tambahan, namun itu semua tak menjadi. Modal habis begitu sahaja, tiada untung. Bukan semua orang dilahirkan untuk menjadi peniaga.

Sudahlah perniagaan atas talian tidak menjadi, saya menjadi lebih marah dan kecewa dengan diri sendiri apabila mengenangkan karier.

Saya ada loan belajar yang hendak dijelaskan. Simpanan hampir habis digunakan untuk membayar loan belajar. Rasa tak berguna belajar sehingga peringkat Sarjana namun tidak berkerja.

Saya teringin sangat untuk belanja anak-anak dan suami, ibu di kampung dan rakan-rakan. Namun, saya sendiri tiada pendapatan.

Orang lain hanya nampak yang indah-indah sahaja yang saya bawa anak-anak keluar, konon nya saya ada masa dan jadual sendiri.

Hakikatnya, hanya siapa yang pernah mengalami sahaja tahu betapa sukarnya bawa anak-anak apabila keluar bersama. Pada waktu itu jugalah seorang mahu buang air besar, seorang lagi mahu susu.

Ada suatu ketika saya menangis di dalam kereta dan menjerit sekuat hati kerana tertekan sangat bawa mereka keluar. Tapi jika duduk di rumah 605sqft tu mereka lagi tertekan kerana tidak dapat buat apa apa.

Alhamdulillah suami saya berkerja namun beliau keluar pagi balik malam. Kadang-kadang sehingga tengah malam. Saya pula jarang masak kerana anak yang bongsu melekat seperti lintah.

Jadi kebanyakan makanan kami hanya order dari Foodpanda/Grab sahaja. Sejujurnya saya penat menjadi surirumah, saya tak gembira.

Saya selalu marah anak-anak padahal mereka taklah buat salah apa pun.

Hakikatnya, saya tidak gembira dan tidak sayang diri saya. Saya cemburu melihat orang lain. Bukan cemburu yang lebih kepada benci, saya gembira melihat kejayaan semua namun saya malu dengan diri saya mengenangkan tidak berkerja.

Jujur saya tertekan sehingga berat badan pun bertambah dan kulit muka pon naik jerawat tidak henti henti.

Mungkin para pembaca mengatakan saya tidak bersyukur, sepatatutnya bersyukur dapat melihat anak membesar di depan mata, tetapi entahlah saya ada hutang untuk dibayar dan saya kena berkerja.

Bukan saya tidak bercerita kepada rakan-rakan terdekat, tetapi mereka semua berkerja dan mempunyai keluarga juga. Apalah sangat masalah saya di mata mereka.

Saya malu dan hilang keyakinan diri. Semua yang buruk ada pada saya.

Setiap hari, setiap waktu selepas solat saya ingatkan diri saya untuk bersyukur dengan apa yang ada tapi pada waktu yang sama saya cemburu dan hilang keyakinan kepada diri sendiri.

Maafkan saya jika luahan saya ini seperti tiada “flow”. Kerana seperti tajuk, saya sekadar ingin meluah. Doakan saya cepat cepat dapat kerja.

Terima kasih kerana sudi membaca.

– Kirana (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *