Assalamualaikum wth kepada admin dan semua pembaca. Maafkan saya jika luahan ini membosankan anda.
Segala pujian milik Allah swt, selawat dan salam keatas junjungan besar nabi kita baginda Rasulallah saw kerabat serta para sahabat baginda. Semoga admin, semua pembaca dan kita semua dalam lindungan maha pencipta.
Saya Azril (bukan nama sebenar) seorang bos, bos kecil yang hanya mempunyai kakitangan tak sampai 10 orang. Sebagai pegawai yang menjaga sesebuah pejabat (daerah), saya berada di tengah-tengah antara bos besar dan kakitangan saya.
Latar belakang saya yang berasal dari kawasan perkampungan, lahir dengan jumlah bilangan adik beradik yang agak ramai,
Membesar dengan kekurangan, merantau sebaik sahaja tamat persekolahan menengah, bertatih, merangkak sebelum diletakkan tanggungjawab sebagai bos kecil sedikit sebanyak mempengaruhi sikap dan perwatakan saya.
Kerana berasal dari orang yang sangat biasa menyebabkan saya mengalami masalah apabila perlu berada di tengah-tengah antara kehendak serta sasaran majikan dengan beberapa orang kakitangan.
Menjadi bos kecil ini hampir 3 tahun (di tempat baru ini), rasanya kali ini sangat berat untuk saya selepas beberapa lama cuba menahan rasa. Tidak sama seperti menjadi bos di tempat lama.
Tugas kami lebih kepada perlu berjumpa masyarakat, perlu kepada hubungan dengan penduduk-penduduk setempat juga dalam masa yang sama perlu mengetahui suasana semasa dalam kawasan kelolaan kami.
Kerja-kerja rencam ini sentiasa berjalan walau dalam PKP dan tanggungjawab ini lebih kepada pembantu-pembantu saya yang merupakan petugas lapangan.
Sebaliknya tugas saya, selain perlu menyelia dan secara tidak langsung membantu tugas-tugas lapangan, saya juga perlu mengurus pentadbiran serta terlibat dalam membuat keputusan. Pendek kata baik atau buruk, kuat atau lemah agensi kami ini lebih kepada petugas lapangan.
Sepanjang tahun lepas, setiap kali perjumpaan pihak pengurusaan dengan semua pegawai-pegawai setiap pejabat dalam laporan yang dibentangkan oleh ketua pegawai setiap bahagian.
Laporan pejabat saya sentiasa berada paling bawah dalam rekod setiap bahagian. Malah kebanyakannya jarak pencapaian antara pej saya dengan pej yang berada di carta kedua akhir sangat jauh, tidak capai sasaran itu biasa.
Dalam setiap perjumpaan juga saya tidak pernah memberi alasan. Hanya pengakuan bahawa saya gagal dan akan buat yang lebih baik. Tapi apa sebenarnya yang terjadi?
Pendek kisahnya begini. Mungkin sikap saya yang terbentuk dari pengalaman hidup saya, saya sangat tidak suka marah pekerja, jika memberi arahan paling kerap saya hanya akan ulang arahan sebanyak 2 kali sahaja.
Jika selepas arahan kedua, saya tidak dapat apa yang saya mahu, saya sendiri akan usaha untuk mendapatkannya sendiri.
Pembantu saya yang merupakan petugas lapangan, jika dilihat oleh orang luar nampak sangat berdedikasi, nampak sangat boleh diharap tapi adalah sebaliknya.
Kelonggaran yang saya berikan adalah peluang mereka untuk ambil kesempatan.
Hadir lewat ke pejabat itu biasa, ada pula sangat jarang nampak kelibatnya.
Saya bertegas dalam perbincangan kami secara bersua muka dalam suasana keluarga.
Saya tidak kisah jika mereka hadir lambat, saya tidak kisah jika mereka pulang awal tapi apa yang saya minta perlu ada, laporan dan maklumat yang saya minta perlu disedia jika sampai masanya. Tapi kelonggaran dan kepercayaan saya pada mereka hanya sia-sia.
Mengapa saya tidak laporkan kepada bos besar?
Mereka adalah kakitangan saya, apa yang berlaku adalah tanggungjawab saya sepenuhnya. Tanggungjawab seorang bos bukan hanya mengarahkan tapi membentuk dan membimbing pekerja.
2 tahun. 2 tahun sudah saya cuba bentuk mereka. Saya tunjuk bahawa saya juga akan turun kerja bersama-sama.
Saya buat segala kerja hinggakan kerja kakitangan paling bawah bersama. Saya rancang kerja, saya beri arahan dan saya ambil bahagian. Tapi akhirnya 80-90 % tugasan saya yang selesaikan.
Saya ambil pendekatan berbeza, ganjaran jika satu-satu tugas berjaya saya bahagi sama rata. Ada satu masa mereka ibarat dapat bonus tambahan, tiada pengecualian, semua kakitangan dapat bahagian.
Hasilnya ? mereka seakan tamak haloba pula. Setiap kali tugasan mata mereka hanya nampak habuan. Jujurnya saya hampir tak tahan.
Tahun ini 2022, saya telah turunkan pembahagian tugas seadil mungkin. Arahan juga telah saya berikan. Contoh teladan telah saya tunjukkan sepanjang 2 tahun ini. Hari ini tugasan tetap tidak berjalan. Berat sungguh saya punya ujian.
Tahun ini juga tanpa pengetahuan, saya rekod segala pergerakan kakitangan, sampai masa saya tunjuk bahawa jika cara kejam mereka mahu, saya cukup rekod untuk buat begitu. Tapi saya sendiri tahu, saya tak gamak buat begitu.
Saya cuma berharap mereka sedar tanggungjawab sendiri, mereka disini diberi gaji. Gaji untuk keluarga anak dan isteri. Tidak halal rezeki mereka jika kerja sambil lewa.
Kelonggaran yang diberi terlalu besar, tidak seharusnya mereka alpa tapi mereka patut bersyukur dan bertambah semangat untuk gerak bersama. Bersama bos kecil mereka yang memandang mereka seperti keluarga.
Maaf sekali lagi jika tulisan ini membosankan, hanya saya minta para pembaca tolong doakan. Agar saya berjaya membawa semua ahli pejabat saya ini bergerak bersama-sama mencari erti dalam gaji yang diberi.
– Azril (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit