Susahnya Nak Berubah

Assalammualaikum dan salam sejahtera. Terima kasih pada admin sekiranya kisah saya ini diterbitkan.

Tajuk yang penuh negativiti; akan tetapi saya berharap dapat sedikit pertolongan dari semua pembaca untuk keluarkan saya dari kebuntuan ini.

Saya seorang gadis berumur 23 tahun. Menganggur dan tidak menuntut di mana-mana institusi pengajian tinggi kerana faktor kesihatan. Titik.

Saya mempunyai masalah ketagihan pornografi. Maafkan saya kalau ini mengejutkan para pembaca sekalian. Tapi inilah hakikatnya.

Saya pernah menjadi mangsa cabul salah seorang abang kandung saya ketika berusia 8 tahun dan hampir dirogol beberapa kali. Saya mengetahui tentang persetubuhan ketika berusia 12 tahun apabila satu kelas motivasi diadakan dari pihak jabatan kesihatan setempat.

Pada usia 14 tahun, saya telah membongkar satu laman web hitam yang saya dapati dari ‘history’ di dalam ‘tablet’ milik salah seorang abang kandung saya. Saya tak tahu dunia internet mempunyai ‘sisi gelapnya’ juga. Ketika saya persoalkan pada abang saya tentang hal berkenaan; dia berkata rakannya meminjam ‘tablet’ itu sebelum ini dan saya menerima alasannya tersebut tanpa soal.

Namun yang demikian, sebagai remaja yang mempunyai perasaan ingin tahu yang kuat, saya telah mencari semula laman web tersebut dan tidak disangka dengan semudah menaip di bahagian ‘search’ perkataan ‘sex’ dan ‘porn’, pelbagai jenis laman web gelap dijumpai dan sedia diakses tanpa sekatan. Sangat menyeramkan!

Saya takkan lupa rasa berdebar saya ketika menjumpai kesemua laman web tersebut, dan dari hanya kerana ingin tahu, saya telah terheret ke dalam ketagihan pornografi sehingga ke hari ini.

Lebih membawa padah lagi ketika saya berumur 19 tahun, saya telah melakukan perbuatan ‘terkutuk’ bersama teman lelaki saya ketika itu. (Sekarang, ‘bekas’) Semudah dengan sentuhan yang bermula dari berpegangan tangan membawa saya jauh ke dalam keadaan yang lebih tragis dan ia berlanjutan beberapa kali selama beberapa bulan.

Pada saat kalian semua membaca di sini, pastinya ada rasa jijik yang menikam kalbu terhadap saya sekarang ini, kan?

Maafkan saya sejujurnya, saya merasa menyesal dengan apa yang berlaku. Saya berfikir dia adalah ‘lelaki pertama dan terakhir’ yang akan saya habiskan sisa hidup saya bersamanya. Tapi saya silap, di saat dia ‘menjaga’ saya, dia turut ‘menjaga’ beberapa orang perempuan yang lain. Kenaifan saya terhadap sikap lelaki tidak dapat dimaafkan sesungguhnya dan saya rasa bersalah atas kebodohan diri ini.

Namun yang demikian, ketika hubungan itu sudah berakhir, ketagihan saya semakin menjadi-jadi. Ada ketika datang ‘keghairahan’ yang tak sepatutnya walaupun ketika itu tiada apa-apa disekitar saya yang mencetuskan keadaan tersebut. Ada satu ketika gelisah sehingga tidak boleh tidur langsung. Hendak atau tidak saya terpaksa mencari ‘ubatnya’ dengan cara yang tidak sepatutnya.

Sekarang, saya kebingungan dan gelisah yang amat, dengan sejarah hitam yang menghantui diri dan ketagihan pada perkara yang tidak sepatutnya dan mempunyai penyakit. Dunia saya terasa gelap sebagai seorang gadis yang sudah ‘rosak’.

Ada artikel sebelum ini saya terbaca, beberapa sindiran panas netizen di sekeliling dek kerana stigma, “Seorang lelaki yang baik tidak akan bertanya kisah silam seseorang perempuan itu.” Jujurnya, mereka itu semua benar, apakah patut mereka yang telah menjaga diri mereka sebaiknya mendapat seorang isteri yang hilang kehormatan dirinya. Tambah-tambah lagi, dari sebab ‘kecuaian’ dan ‘keseronokkan’ sementara. ‘Betina’ itu nama yang lebih layak jolokan dari ‘gadis’.

Susah benar hendak berubah tambah-tambah lagi tinggal bersama ketoksikan yang saya berjaya hidu perbuatan mereka di mana, kesemua adik beradik saya ketagihan pornografi setelah tertangkap oleh saya beberapa kali. Mereka tidak tahu saya juga berada di dalam keadaan yang sama. Itu menambah kesedihan saya yang tak berpenghujung. Wali yang akan menjadi wakil untuk pernikahan saya satu hari nanti semuanya fasik dan itu menambahkan kesedihan yang tak berpenghujung..

Ketika ini, di usia yang di mana sahaja saya pergi, orang tua-tua pasti bertanyakan saya tentang ‘jodoh’, mengapa belum bersuami dan sebagainya..

Hakikatnya saya dan Tuhan sahaja yang tahu, sungguh tak layak diri ini untuk menjadi isteri sesiapapun. Kalau bersuamikan orang yang jahat, di mana saya dapat berpaut perlindungan darinya? Kalau bersuamikan orang yang baik, rasa bersalah tidak putus-putus dalam diri hingga ke akhirnya.

Kalau ada antara kalian yang mempersendakan dan memberi cadangan bahawa saya harus ‘berkahwin’ untuk selesaikan dilema ini. Kalian silap! Bahkan, pada siapa yang sudah berkahwin pasti tahu beratnya tanggungjawab selepa berkahwin itu dan bukan hanya setakat di ranjang semata-mata; dan saya sedia maklum akan keadaan tersebut setelah diukur dengan kesihatan diri, saya tak mampu mengalas semua bebanan tanggungjawab itu ibarat kata pepatah, ‘ukur baju di badan sendiri’.

Maka saya mohon dari kalian yang mempunyai sedikit ilmu pengetahuan dalam ‘peperangan’ yang aku lalui ini, adakah sebarang ‘doa’ khusus yang kalian tahu atau sebarang tindakan yang boleh mengatasi gejala ketagihan dan bagaimana untuk bertahan ketika ‘rasa’ itu datang.

Aku mohon dengan sungguh-sungguh dari kalian yang suci bersih jiwanya tanpa persendakan masalah saya ini untuk membantu beri ikhtiar yang sebaiknya.

Moga-moga dengan sedikit pertolongan kalian, dapat meringankan sedikit dosa yang saya terbawa selama bertahun-tahun ini.

Terima kasih kerana membaca. Semoga Allah membantu kalian jua hendaknya sebagai balasan kebaikan kalian ke atas saya ini.

– Dian

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *