Sweet Talker

Panggil saya miss X. Saya menulis untuk berkongsi pengalaman bertemu lelaki sweet talker di medsos.

Moga-moga adik-adik boleh ambik iktibar terutama gadis muda yang baru mengenal dunia, apatah lagi menerima salam perkenalan dari lelaki di medsos.

Saya sudah berusia 40an tetapi masih single. Anak dara tua dalam erti kata lain. Saya bertubuh kecil dan kelihatan awet muda di dalam gambar.

Jadi tidak hairan ramai salah faham dan anggap saya gadis lewat 20an.

Bekerja dalam bidang yang banyak berurusan dengan manusia. Ada basic kaunseling dan psikologi. Extrovert.

Saya seorang yang peramah, suka senyum dan mudah berkawan. Orang cakap ciri-ciri ni mudah menarik lawan jenis untuk mencuba nasib berkenalan.

Pengalaman kerja hampir 20 tahun di berbagai tempat memungkinkan saya jumpa ramai orang pelbagai peringkat. Termasuk playboy dan sweet talker juga.

Bohong kalau saya cakap tidak pernah digoda suami orang. Ada, termasuk bos sendiri.

Tapi alhamdulillah iman saya masih tebal. Hasil didikan tegas mak ayah dengan disiplin dan bab agama sejak kecil.

Saya bukan kategori cantik jelita tapi rata-rata lelaki memberi komentar berwajah lembut dan punya senyuman manis. Ciri yang menjadi target lelaki.

Dari situlah, saya dapat pengalaman dan mengenali cara lelaki miang, suami orang, bujang, playboy mengurat perempuan.

Dulu, saya sengaja menerima friend request dari orang luar negara walaupun saya tahu mereka scammer.

Saya mahu tahu bagaimana mereka memerangkap wanita sehingga berjaya menipu beribu ringgit.

Selepas dapat jawapan cara mereka mengayat, saya block.

Saya bukan nak bercerita pasal scammer luar negara tetapi lelaki yang mencari mangsa di medsos.

Saya kenal seorang lelaki muda pertengahan 20an yang menyangka saya seusianya.

Kalau scammer luar negara saya masih boleh ketawa cara mereka mengayat sangat bodoh pada pandangan saya.

Tetapi tidak dengan lelaki ni saya gelarkan boy. Dengan pakej rupa yang handsome, educated, kerjaya bagus, sweet talker, ramai perempuan boleh angau dengan boy.

Di FB, perwatakannya sangat lain. Tegas, garang, tak menggatal, serius, post isu-isu semasa sahaja. Tak ramai kenalan perempuan dalam friendlist nya. Juga tiada komen manja gedik daripada perempuan.

Dia dari latar belakang sekolah agama. Ilmu agama dia tinggi. Walaupun tanpa imej alim, berjubah berkopiah, dia berjaya tunjuk dia mahir bab agama.

Tapi apabila dia mesej personal, masa ni la dia tunjuk true color. Romantik, kelakar, manja, sangat memahami, manis tutur katanya.

Adik-adik wanita yang saya sayangi, jangan mudah percaya jika lelaki yang baru kenal panggil sayang, baby, darling dan sebagainya.

Lelaki yang baik pasti menjaga ikhtilat dan malu nak memanggil sayang, baby untuk wanita ajnabi.

Dah setahun lebih kami berkawan, banyak benda saya belajar dari boy. Sengaja saya berpura-pura jatuh cinta dan melayannya berbual. Lama kelamaan dia mula buka rahsia diri dia.

Boy ni akan kaji watak wanita yang menjadi target. Apa yang wanita suka dan mengajak berbicara tentang topik yang disukai untuk menjerat.

Baru kenal sudah diajak kahwin. Jadi saya mengujinya dengan meminta berjumpa family. Terus diam.

Sah lah dia memang cuma jadikan subject kahwin sebagai umpan mengurat.

Semasa bermesej dengannya saya anggap dia hanyalah klien dalam sesi kaunseling. Menggunakan kemahiran melayan dan mendengar untuk mengajaknya bercerita.

Di awal perkenalan, boy tunjukkan sikap lelaki baik. Konon tidak punya ramai kawan wanita. Kita boleh percaya sebab tiada komen awek-awek kat FB dia.

Dia cakap yang dia tak pernah bercinta. Saya mengambil masa yang lama untuk dapatkan bukti penipuan dia ini. Akhirnya kantoi juga dia bercinta banyak kali.

Lelaki lupa, wanita punya daya ingatan yang kuat dan mampu menghafal setiap patah butir bicara dan mampu mengingati kesalahan lelaki bertahun lamanya.

Dia sangat pandai berlakon. Tetapi dia lupa saya ni makan garam lebih banyak dari dia. Sepandai-pandai lelaki menipu, bijak lagi perempuan menyiasat.

Dah lama kawan, rasa selesa, dia mula buka satu persatu rahsia diri. Bersusun dia sebut nama wanita yang dia berborak dan mengayat.

Dia screenshot tunjuk perbualan wanita-wanita yang terhegeh mengejar cintanya. Tunjuk gambar mantan kekasihnya.

Mujurlah saya ni berhati-hati. Tak pernah memanggilnya panggilan sayang. Tidak juga mengejar dia. Jika tidak, mungkin perbualan saya pun dia tunjuk kat perempuan lain.

Saya teruskan jadi sahabat baik dia, kadang macam kekasih separuh masa. Berpura-pura bodoh dan memuja-mujanya.

Dia mengaku banyak membaca buku psikologi wanita, berkawan dengan pelbagai wanita berbeza umur dan bidang profesion.

Jadi tidak hairan dia sangat memahami. Cuma dia terlupa, pengalaman hidup saya menjadikan saya matang, berhati-hati dalam tindakan. Tajam memerhati.

Adik-adik wanita yang saya kasihi, tolong jangan mudah percaya kata-kata lelaki. Terutama yang manis bicaranya. Begitu mudah memanggil panggilan manja.

Jangan mudah keluar jika diajak keluar. Jika hendak juga keluar dating, tolong bawa teman. Hati-hati jika diberi minuman dsb.

Jika ada lelaki yang mengumpan macam si boy ni, ajak dia jumpa family dan bincang hal kahwin untuk menguji sejauh mana dia serius.

Manusia ni ambik masa 4 bulan untuk jatuh cinta dan buat keputusan untuk berkahwin. Ni pendapat saya terima dari rakan yang dah kahwin dan orang-orang tua.

Jika lebih 4 bulan masih main tarik tali. Kemungkinan besar dia tidak serius dan hanya mempermainkan anda.

Boy mungkin sangka dia berjaya mempermainkan saya. Dia mungkin terlupa, ‘buku bertemu ruas’. Lambat laun ada yang boleh hidu perbuatan dia.

Alasan kisah sedih dalam hidup dia dan dikelilingi wanita toksik bukan alasan untuk mempermainkan perasaan orang.

Saya bukan kaunselor tetapi mungkin faktor empati yang tinggi serta pengetahuan asas dalam bidang psikologi dan kaunseling menyumbang faktor jadi kaunselor tak bertauliah kepada rakan-rakan bahkan kepada netizen di medsos.

Ramai yang mengadu masalah hidup, masalah cinta. Malah membuat pengakuan kisah gelap masing-masing.

Ada adik perempuan muda baru 20 tahun bercerita dia berkawan dengan lelaki berusia 60 tahun di apps dating gara-gara mahu kenal perangai lelaki.

Saya marah dan menyuruh dia putuskan hubungan selepas membaca ayat lelaki tua itu yang meloyakan.

Sebagai orang yang lebih tua, hari ini saya beranikan diri menulis confession ini untuk kalian beringat dan mengambil ibrah.

Tolong jaga diri dan maruah kalian!

– Miss X (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *