Syukur dan Sangka Baik

Assalamualaikum & hai korang. Terima kasih admin sebab publish, terima kasih juga kepada yang sudi baca. Aku Yasmin (nama favourite), bukan graduan UIA, 26 tahun, bujang dan bekerja. Selama ni aku sekadar menjadi silent reader, dan tak pernah tinggalkan apa-apa komen di ruangan ini. Jadi, ini kali pertama aku menghantar konfesi di sini, terpanggil untuk mencoret sesuatu selepas membaca kisah Hannah (Aku dan Tanggungjawab — https://iiumc.com/aku-dan-tanggungjawab/).

Aku anak sulung daripada lima beradik, dua adik masih bersekolah. Ayah aku dulu kerja okay, tapi selepas berkhawin dengan mak aku, tokki suruh berhenti kerja tu sebab susah nak hubungi bila di luar kawasan. Sehingga kini, ayah bekerja sebagai buruh, kerja di negeri-negeri yang berlainan dan selalu bertukar-tukar lokasi bergantung pada projek syarikat, sejak aku berumur 15 tahun. Ayah kerja gaji hari dan tiada potongan KWSP, cuma sekadar potongan SOCSO.

Hari tak kerja, tak ada gaji. Dan tiada penghujungnya sebab tiada pencen. Bila dah tua-tua ni, nak lompat company pun payah sebab nanti takkan dapat tawaran gaji yang sama macam sekarang. Mak seorang suri rumah, sebelum ni masa muda-muda ada mengasuh budak-budak, bertahun berniaga nasi lemak tepi rumah…sekarang dah tak larat, ayah pun dah tak bagi mak buat semua tu.

Sehingga kini kami masih tinggal di rumah sewa dengan kadar RM650 sebulan. Memang sedih bila mengenangkan masih belum mampu buat loan rumah dengan gaji aku yang tak seberapa ni. InsyaAllah, soonest possible. Amin. Tokki aku ada suruh balik dan tinggal di kampung sebab rumah tokki tu pun ayah aku yang buat dulu masa tahun 80an. Modal 10K dari ayah aku sendiri dan kudrat siapkan sebuah rumah tu ayah aku 100%.

Namun, sekarang makcik aku seorang ni (Kak Mun janda anak seorang), claim tu rumah dia sebab dia yang selama ni jaga tokki dan nenda aku di kampung. Dia ni dulu pantang dengar apa-apa mesti nak bantah, contohnya aku/adik aku dapat sambung belajar, dia cakap tak perlu. SPM dah cukup, membazir belajar tinggi-tinggi. Time tu memang mak aku nak marah tapi diam je. Apa hak dia nak tentukan perihal anak orang lain. Bab rumah tu, ikut dia lah. Pandai-pandai ayah aku nak fikir apa dia nak buat. Tulah, baik sangat….

Dari kecil aku mengerti aku dilahirkan daripada keluarga yang susah, jadi aku tak pernah meminta apa-apa yang mak ayah aku tak mampu beri. The same goes to my second brother. Kitorang okay. Kawan-kawan tanya kau dekat rumah tak ada PC ke, aku boleh selamber jawab haah tak ada. Still, tak buta IT pun…gigih kayuh basikal pergi nearby perpustakaan dalam 5km untuk belajar cara orang lain guna komputer. Tapi tidak bagi adik yang lagi tiga orang, yelah, diorang pun lahir di zaman millennia, generasi z. Alhamdulillah dulu masa sekolah dapat biasiswa RM600 setahun, dengan duit tu aku pernah buat onar dengan cikgu withdrew duit sebab nak beli baju raya untuk adik-adik, pernah beli basikal aside from aku memang beli buku-buku rujukan. Ampun cikgu :P

Habis SPM, aku memang target nak sambung satu kursus yang popular ni sebab tak minat sains. Masa sekolah join science stream pun terpaksa sebab cikgu tak benarkan student yang PMR okay ambil aliran sastera (tapi itulah, aku pun bukan pandai seni nak lukis-lukis). Sobs. Salute tengok insan-insan seni, contohnya Teme. Kagum! Kemudian, sambung asasi. Alhamdulillah dapat elaun. Lepas tu degree, tak dapek sambung kursus yang aku nak sangat tu, tapi alhamdulillah sambung degree kursus lain dapat biasiswa JPA. Oleh kerana keadaan yang mendesak, PTPTN tetap aku ambil sampai lah tahun akhir, pegawai JPA traced dan hold biasiswa aku. Hehe, mintak ampun lagi sekali. Aku bukan tamak, tapi dengan duit tu lah aku survived sambil-sambil tolong family.

Malangnya, bila ada suatu ketika tu, aku terbaca mesej dalam inbox hp ayah aku berbunyi “Kak Mun ada nak pakai duit sikit” kebetulan masa tu hp tu memang dekat tepi aku. Masa tu aku memberontak. Selama ni aku susah payah ikat perut, hulur belanja untuk keluarga walaupun tengah belajar, kau senang-senang je nak mintak bapak aku duit. Sejak momen tu aku memang stop transfer duit ke ayah aku. Tukar masuk kan ke akaun mak aku. Sejak tu jugak aku jadi seorang yang sangat pendendam.

Seusai degree, mulalah episod menganggur hampir setahun, merata naik turun pergi interview. Bila muhasabah diri balik, mungkin sebab aku ada dendam dan tak maafkan orang lain. Lepas tenangkan hati dan memaafkan, alhamdulillah, berdesup dapat tawaran kerja starting gaji okay dan boleh buat overtime, dapatlah dalam 2K sebulan. Selang setahun kemudian, dapat offer kerja area rumah, walaupun gaji lebih rendah, tapi mak excited suruh balik. Hikmahnya sekarang, mak terpaksa ulang-alik hospital. She was diagnosed with cancer. Mujurlah dapat bos yang memahami, “kau nak pergi hospital, kau pergilah. Mak kau prioriti”

Aku sebenarnya sedih memikirkan situasi aku, keadaan kesihatan mak aku, dan masa depan keluarga. Tambah sedih apabila mak ayah meniti usia tua berjauhan. Aku nak ayah aku stop bekerja, tinggal sama-sama dengan mak…tapi aku masih belum mampu menanggung seisi rumah. Mahupun gaji tak seberapa, dan kerja di sini tak ada peluang buat overtime, tapi aku bersyukur tiap-tiap bulan dapat hulur untuk mak ayah dan adik-adik walapun belum cukup bulan sudah kering…disamping tak pernah culas bayar balik hutang PTPTN.

Aku tak pernah bercinta, memang fokus aku selama ni hanyalah keluarga dan bukan diri sendiri. Mak aku pun sebelum ni tak izinkan aku kahwin awal, memang mungkin makbulnya doa seorang ibu..anak dia tak pernah serious dengan sesiapa. As time goes by, mak aku ada cakap, mak dah tukar doa supaya anak mak jumpa dengan jodoh yang baik-baik. Dan takdir langsung kemudiannya menemukan aku dengan seorang lelaki yang biasa, kerja biasa tapi setakat ni seorang yang baik pada pandangan aku.

Mulanya mak tak bagi aku serious dengan lelaki tu. Suruh fikir rationally, jangan ulang balik “kehidupan” yang mak ayah aku lalui. Tapi aku tetap chill kawan je, dan sekarang ni mak aku pulak yang beria suruh cepatkan perkara yang baik. Tapi fokus aku tetap keluarga, nak pulak sekarang ni mak aku sangat tak sihat. Aku kalau boleh nak hold sebarang komitmen lain, tapi mak aku tak benarkan. Aku risau, sebab bila dah kahwin nanti keadaan sedikit sebanyak memang akan berubah.

Sekarang aku cuma mampu berserah, apa yang baik, Kau tolong aku dahulukan. Dan apa yang belum sepatutnya berlaku, Kau tolong tundakan. Tolong doakan kesihatan yang baik buat mak aku, dan impian aku tercapai untuk melihat mak ayah aku akhirnya dapat tinggal sebumbung dan menua bersama-sama. Buat Wardah Hannah dan semua yang senasib, keep strong. Semoga yang baik-baik sahaja hendaknya buat kalian dan seluruh famili.

– Yasmin

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *