Syukurlah, Aku Kena Buang Kerja

Assalamualaikum wbt buat para pembaca IIUM Confession yang dirahmati Allah, dan terima kasih kepada Admin sekiranya sudi menyiarkan confession saya.

Nama samaran abang, SAE dan berusia awal 40an. Abang selalu luangkan masa membaca confessions dekat sini, berbagai emosi bila membaca semua confessions dan ambil pengajaran daripada cerita para confessors.

Abang adalah seorang akauntan bertauliah, dan berkecimpung dalam bidang percukaian selama 20 tahun.

Alhamdulillah, daripada mula bekerja daripada tahun 2003, abang dapat berbakti kepada ibu bapa abang, walaupun gaji masa bujang iaitu pada 10 tahun pertama bekerja kurang memberangsangkan, (ribu tapi nombor ribu kecik kat depan, hahahaha).

Selepas berkahwin pada tahun 2012, rezeki bertambah dan dapat anak selepas 6 tahun berkahwin, lepas banyak berikhtiar.

Abang bersyukur kerana abang masih dapat berbakti dengan ibu bapa sampai sekarang walaupun dah ada isteri dan anak.

Tetapi abang ni ada satu masalah, rezeki ada, zakat dan puasa buat tiap tahun tapi bab solat…… ke laut lah.

Pernah ibu abang bertanya sama ada abang percaya akan doa kepada Allah swt, abang dengan jujurnya kata abang memang percaya pada Allah,

Tapi doa ni buang masa sebab bukannya Allah swt akan kabulkan pun (Astaghfirullah, bila baca balik ayat terakhir ni, nampak sangat sombong pada Tuhan).

Bulan September tahun ni, abang ditawarkan jawatan Tax Director di sebuah syarikat multinasional. Memang best, ini dikira sebagai kenaikan pangkat daripada company lama. Lepas tu gaji naik 65% daripada gaji tempat lama (puluh-puluh ribu), siapa tak nak kan? 

Masa abang nak terima tawaran Tax Director, abang rasa ragu-ragu sebab bila masa nak settlekan administrative issues dan meeting dengan Manager Cukai (i.e staff yang akan melapor pada abang dalam department cukai)

Sebelum tarikh lapor diri, abang dah nampak ada banyak perkara yang mencurigakan. Apa yang curiga tu, biarlah abang simpan sendiri tapi abang sangka baik saja, “Mungkin diorang nak aku selesaikan bila aku masuk nanti kot”.

Abang lapor diri jawatan Tax Director pada pertengahan September 2023. Hari ke 5 kerja, Big Boss (CEO) panggil abang meeting dengan Manager, Cukai sebab nak tanya soalan percukaian.

Ada satu point yang CEO bangkitkan dalam meeting yang abang terpaksa bantah (secara sopan) kerana akan melanggar law cukai Malaysia.

CEO dah tarik muka dengan abang dalam meeting, tapi abang nasihatkan lebih baik kita buat kerja berhati-hati dan follow the rules.

Abang tak jumpa CEO lagi selepas meeting ni, tapi dalam hati dah risau satu macam.

Hari ke 15 kerja, abang ambil MC sebab tak sihat. Masa lunch hour hari-15, abang dapat call daripada Ketua Pegawai Operasi (COO) yang CEO ambil keputusan untuk tutup company kat Malaysia dan pindah ke luar negara, jadi khidmat abang sebagai Tax Director dah tak diperlukan.

2 jam lepas call ni, terus dapat surat daripada CEO yang group akan dirasionalisasi dan jawatan abang kena terminate.

Terduduk sekejap bila kena buang kerja ni. Yelah, selalunya hanya dengar orang kena buang, sekarang abang sendiri yang kena.

2-3 hari pertama tak buat apa-apa, sebab ayah abang minta abang bertenang dahulu dan muhasabah diri sebelum bertindak.

Confession abang ni pasal syukur kena buang kerja, jadi kenalah explain apa syukurnya buang kerja. Sambil tu, abang selitkan sekali point abang fight for my job.

Lepas sebulan abang bermuhasabah dan fikir apa yang abang dah buat selama 20 tahun bekerja, inilah yang abang dapat rumuskan untuk renungan abang sendiri dan pembaca yang sudi ambil sebagai teladan/sempadan:-

1) Allah boleh beri rezeki, Allah boleh tarik bila-bila masa.

Mula-mula tu, abang rasa kecewa sangat “apa yang aku buat sampai kena macam ni?”.

Ibu abang ajak abang bercerita dan luahkan apa abang rasa. Bila dah buat confession depan mak sendiri, barulah abang teringat yang abang pernah cakap depan ibu abang yang abang tak percaya doa.

Sekarang abang percaya Allah tunjukkan kekuasaanNya dekat abang dengan ambil balik title Tax Director dan gaji berpuluh ribu lepas 15 hari kerja sahaja.

2) Allah sayang pada kita.

Abang ada cakap company multinasional yang pecat abang tu mencurigakan. Minggu pertama lapor diri memang penuh halangan, termasuk meeting dengan CEO yang abang rasa seriau lepas tu.

Bila tengok rekod cukai diorang, abang rasa risau sebab banyak kelemahan, dan abang dilatih oleh mentor abang sejak muda untuk sentiasa bercakap jujur dan kerja dengan integriti. 

Apabila abang buat bantahan pada CEO, bukan sebab nak tunjuk pandai, tapi abang risaukan apa nak jawab sekiranya LHDN datang audit, atau lebih teruk, ini boleh jadi kes mahkamah kalau ada money laundering issues.

Tidak mengapalah, Allah sayang pada abang sebab tarik abang keluar daripada perkara mungkar macam itu dan selamatkan abang awal-awal daripada bahaya yang abang nampak dalam company.

3) Doalah pada Allah, nescaya Dia akan mengabulkan.

Dah kena tarik rezeki, pada siapa nak minta balik? Tentunya pada Allah. Kalau nak minta sesuatu, kenalah buat sesuatu kan? Jadi abang mula rajin-rajinkan diri bersolat semula.

Apa lagi alasan tak nak solat? Busy sebab kerja urgent dan meeting? Baru je kena buang kerja, jadi banyaklah masa untuk solat.

Mula-mula nak buat semula solat memanglah susah, tapi selepas 2 minggu, abang rasa tenang bila solat.

Bila dah solat ni, barulah rasa berani nak doa pada Allah untuk mohon ampun, minta dipermudahkan dan diluaskan rezeki. Ibu abang juga nasihatkan supaya baca surah Al-Anfal sebagai panduan.

4) Sentiasa networking, all the time.

Tipulah kalau abang doa sahaja untuk cari kerja baru. Kita kenalah berusaha, dan tawakal selepas berusaha.

Nak cari kerja, memang perlu networking sebab ikut statistik recruitment yang abang ingat, 80% of jobs are not advertised. Linkedin, Jobstreet pun pakai juga untuk cari kerja.

Alhamdulillah, abang banyak contact dengan executive search consultants (headhunters) sebelum ini dan masih in contact dengan rakan kerja tempat-tempat lama, jadi abang minta tolong tengokkan peluang.

Setakat ni belum dapat hasilnya, tapi so far, ada 2-3 opportunities yang positive.

5) Allah sentiasa di sisi orang yang benar.

Di Malaysia, majikan boleh pecat pekerja, TETAPI dengan syarat, prosedur kena betul.

Pertama, kalau nak pecat, pecatlah bila abang kembali ke pejabat selepas MC. Ni pecat masa abang sakit dengan MC (I was denied of just reason and dignified exit).

Kedua, majikan mesti bertindak secara berperikemanusiaan walaupun untuk sebab yang sah seperti rasionalisasi iaitu tawarkan pekerjaan alternatif dalam syarikat lain dalam Kumpulan sama, redesignate jawatan sama di syarikat baru yang akan ditubuhkan,

Atau paling teruk pun, beri notis lebih panjang supaya pekerja terlibat ada masa cukup untuk cari kerja lain. 

Silap CEO dan penasihat-penasihat dia adalah bertindak gopoh dengan tidak beri sebab terperinci pemecatan (pecat abang masa MC), tidak melakukan prosedur ditetapkan bawah Akta Perhubungan Perindustrian 1967 dan tidak tawarkan abang alternatif yang disebutkan.

Serius, abang rasa macam tak percaya bila diorang buat silap secara mengkhinzir buta macam ni, bila ayah abang beri pandangan beliau (ayah abang pernah jadi naib presiden sumber manusia sebuah GLC terkemuka sebelum persaraan). 

Baguslah bila ada orang buat silap macam ini, maksudnya abang ada case kukuh untuk fight balik dalam Mahkamah Perusahaan.

Senang cerita, abang dah failkan aduan untuk perbicaraan lepas 3 minggu pemecatan walaupun deadline 60 hari.

Secara halusnya, Allah banyak bantu abang untuk tuntut keadilan melalui ayah abang dan kawan-kawan rapat abang yang simpati atas nasib yang abang alami.

Jadi, abang bersyukur sebab kena buang kerja. Banyak hikmahnya, mana yang abang lalai dan tak tahu dahulu, sekarang dah buat dan dah tahu.

Ada hikmah lain yang abang nampak, tapi mungkin akan aibkan pihak satu lagi, jadi sampai sini sajalah ya.

Thanks for reading!

– SAE (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *