Syurga Di Bawah Tapak Kaki Anak

Asalamualaikum. nama saya cikguhani. ye cikgu Bahasa Melayu hampir 23 tahun di sebuah sekolah kampung. selama ini, kita memang diajar, bahawa syurga di bawah telapak kaki ibu. tiada siapa menafikan, termasuk akak. hutang kita kepada ibu, tidak akan terlangsai selama-lamanya.

bersandarkan kata-kata, syurga di bawah tapak kaki ibu, secara tak langsung, darjat anak ialah di bawah, ibu dijunjung di atas. ya, betul, tak salah. tetapi, jangan lupa, anak-anak kita juga ialah asbab kemuliaan seorang ibu… susah nak faham? sebagai seorang ibu, mengapa Allah mengurniai anak kepada kita

saya ingin menceritakan pengalaman sebagai seorang ibu kepada dua anak perempuan.

saya seorang ibu biasa, membesarkan dua anak dengan sedikit sahaja ilmu yang ada. tetapi, semua ibu di dunia mahu menjadikan anak2 mereka yang terbaik, begitu juga saya. bersandarkan itu, saya cuba membesarkan mereka sebaik mungkin, daripada ilmu yang diambil daripada alam sekeliling. fokus saya dalam mendidik anak ialah dua iaitu makanan dan ilmu. saya cuba memberikan makanan terbaik kepada anak2 (berkhasiat, halalan toibah, tiada unsur syubhah). kedua2 anak tidak pernah makan junkfood, kalau ada, boleh dikira jumlahnya. saya mendidik mereka bermula sejak hari pertama kelahiran. kedua2 anak lancar membaca pada umur tiga tahun, tanpa mengenal huruf.

masa pun terus berlalu, mereka menjadi anak biasa, dan saya ibu biasa. di sana ada ruang kosong. setakat ini sahajakah tugas seorang ibu?

soalan itu telah membawa rencana Allah yang sangat tersusun untuk keluarga saya. anak2 bukan sekadar lambang perkahwinan. mereka ada sebabnya Allah hantarkan kepada kita, ibu bapa mereka.

Semasa anak2 di dalam perut lagi, suami telah berikrar, akan membawa mereka ke jalan agama. mengapa? Kerana kami berdua sangat miskin agama. bermula daripada niat itu, Allah merencanakan kehidupan kami.

kami membeli rumah ketika anak yang sulung berumur lima tahun. Allah takdirkan kami membeli rumah sangat hampir dengan surau. bermula daripada mendengar kuliah dari rumah, semakin hari kami semakin dekat dengan surau, hingga menjadikan surau itu seperti halaman rumah kami – berukhuwah, berkuliah.

kami mencari-cari bentuk pendidikan bagaimana harus diberikan kepada anak2. dengan sembang kosong tentang pendidikan, seorang sahabat mencadangkan kami menghantar anak2 ke sebuah sekolah agama rakyat tidak jauh dari rumah. masyaallah… petunjuk Allah…Allah menunjukkan di hadapan jalan hidup kami.

tapi saya masih ibu biasa, bertudung bawal pendek pin di bahu, berseluar jean, blaus kadangkala pendek. di sinilah bermulanya, bagaimana anak2 mendidik kami.

suatu hari kedua2 anak pulang dari sekolah menceritakan kisah pelajar lelaki secara tidak sengaja terselak kain pelajar perempuan. cerita itu begitu heboh di sekolah. di rumah juga kisah ini menjadi bualan mereka berdua berhari2. saya tak faham mengapa. tak sengaja kann… masa pun berlalu.

suatu ketika yang lain, kedua2 anak bercerita tentang seorang ustazah yang memakai tudung labuh. pujian kepada ustazah ini tidak putus2 di mulut mereka, kelihatannya ustazah ini sangat cantik, muslimah, berakhlak mulia. mereka mengangkat ustazah ini begitu tinggi. apakah yang Allah ingin tunjukkan kepada saya. agak lama mencari jawapan.

akhirnya, suatu hari Allah menggerakkan saya membeli sehelai tudung bawal bidang 60. hari pertama saya memakainya, anak2 saya datang memeluk dan menyatakan sayalah ibu tercantik di dunia. airmata pun tergenang di kelopak mata. itulah titik permulaan perubahan pemakaian saya. cerita anak saya tentang peristiwa selak kain dan ustazah cantik sudah diterjemahkan…ya.. jaga aurat.

anak2 saya mendapat pendidikan agama yang sempurna di sekolah agama rakyat. anak yang sulung cemerlang upsr. Allah aturkan dia menyambung pelajaran di Maahad Muhamadi Perempuan Kota Baru Kelantan. setiap kali peperiksaan awam baik upsr, pmr, spm dia menghadiahkan semua A untuk kami. begitu juga bagi peperiksaan Agama. dia belajar Asasi Sains UM dan kini belajar perubatan dI uitm sungai buluh. anak yang kedua pula berpindah dari satu sekolah agama ke satu sekolah agama rakyat. dan tahun ini berjaya ke MRSM Taiping setelah menghadiahkan saya 11A dalam pt3.

banyak peristiwa semasa mereka membesar yang mengajar saya.

bukan tudung bawal 60 semata2 yang mengubah penampilan saya sehingga hari ini. yang mengubah saya ialah anak2 saya. ketika menjengok bilik anak2 di subuh hari dan melihat mereka sedang memegang alquran, diri saya terasa sangat kecil, lalu mencari alquran.

suatu hari saya menyuruh anak turun dari kereta untuk membeli barang, kedua2nya tidak mahu, malah hampir menangis kerana dipaksa turun. rupanya mereka tidak memakai stokin kaki atau stokin tangan. hal mengajar saya bahawa selama ini mereka memerhati saya tidak berstokin, tetapi tidak menegur saya dengan kata2. inilah cara anak saya menegur saya.

pernah juga saya menyuruh anak saya membeli barang di kedai runcit. dia menunggu di sudut kaunter, sehingga semua pelanggan lain beredar dan sehinggalah tuan kedai bertanyakan barang yang hendak dibeli. lama saya memikirkan, apakah yang anak saya hendak ajarkan kepada saya. setelah beberapa tahun baru saya sedar, anak saya ingin mengajarkan tentang menundukkan pandangan kepada orang lain dan merendahkan suara.

saya pernah risaukan anak2 saya yang tidak pernah berinteraksi dengan jiran setaman, tidak tahu menunggang basikal atau motosikal. tapi kini saya faham apa ertinya menundukkan suara dan pandangan. anak2 saya mengajar saya bagaimana menjadi muslimah yang sejati. terlalu banyak peristiwa di mana anak2 mengajar saya.

terjadi beberapa peristiwa di mana Allah menunjukkan kepada saya bahawa mereka dalam peliharaan rapi Allah. pernah berlaku, kami tertidur ketika basnya sampai di stesen pada pukul 4.00 pagi. saya ketakutan anak saya sendirian di stesen bas waktu dinihari. tidak seperti waktu2 yang lain, hari itu, ada seorang wanita sedang menunggu bas ekspress anaknya, sedang menemani anak saya.

anak saya sentiasa menaiki bas ekspres sendirian sepanjang persekolahannya. pernah juga, bas ekspress anak saya meninggalkan penumpangnya di pertengahan jalan. pada hari itu, anak saya berteman sorang rakan sekolahnya sedangkan ini tidak pernah berlaku sebelum ini. banyak lagi peristiwa di mana anak saya dijaga oleh Allah

anak2 saya tinggal di asrama sekolah agama bukan kerajaan.kosnya sangat tinggi. yuran bulanan dan yuran tahunan mencecah ribuan ringgit setahun. kos belajar perubatan dan kos pendaftaran mrsm juga sangat tinggi. dalam keadaan suami saya bekerja sendiri, kos ini agak memberi kesan juga. namun, sehingga hari ini, Allah sentiasa mendatangkan rezeki yang tidak disangka2 setiap kali saya harus membayar semua kos itu.

semua yang saya ceritakan ini untuk mengukuhkan hujah saya bahawa, anak2 saya ialah manusia yang sangat istimewa, sangat mulia dan sentiasa dijaga Allah. namun, saya masih lagi mengetuk pintu bilik anak2 saya berpuluh2 kali sehari untuk mengingatkan tentang solat, kerana itu tanggunjawab saya walaupun saya tahu mereka akan melakukannya tanpa suruhan saya.

saya percaya bahawa anak2 tidak pernah menumpang rezeki saya. malah kamilah suami isteri yang menumpang rezeki anak2. kami hanyalah asbabnya sahaja. saya sangat bersyukur dan sujud kepada Allah kerana mengurniakan anak2 yang sangat baik, menjaga hak Allah dan menjaga hak kami sebagai ibu bapa.

maka, tidak keterlaluan untuk saya katakan, syurga kami berdua di bawah tapak kaki anak2 kami

– ibu mueeza

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit