Assalamualaikum semua. Saya rasa semua pasti pernah mendengar kata metafora yang berbunyi, “Syurga isteri terletak di bawah redha suami” dan “Syurga anak terletak di bawah telapak kaki ibu”
Sejauh mana kita bersetuju dengan kata-kata metafora tersebut? Maaf kalau saya kata yang saya tak bersetuju dengan kata-kata tersebut.
Saya bukan ‘alim (yang berilmu) dalam bab agama tapi pendapat saya ni berdasarkan pembacaan saya tentang agama Islam & pengetahuan saya tentang apa yang berlaku dikalangan masyarakat sekarang.
Kenapa saya tak bersetuju?
1. Meletakkan manusia (seorang suami & ibu) sebagai syarat masuk ke syurga.
Pada saya, hanya Allah yang selayaknya menghakimi & menentukan samada seseorang itu layak masuk ke syurga atau neraka. Manakan boleh seorang manusia yang tidak sempurna, penuh dosa menjadi deal breaker kita untuk ke syurga atau neraka?
Disebabkan ini jugalah kita sering dimomokkan dengan kata-kata “kena ikut apa suami cakap, kalau tak masuk neraka” atau “cepat tolong mak ni kalau taknak masuk neraka”.
Manusia (shami & ibu) sering menyalahguna ‘kuasa’ yang mereka ada untuk menakut-nakutkan isteri atau anak masing-masing. Padahal mereka ini lupa, isteri dan anak-anak adalah tanggungjawab mereka yang Allah akan persoalkan di hari kiamat kelak.
Suami dan ibu dikalangan masyarakat sekarang ini pun ramai yang terkeluar dari landasan Islam.
Si suami, ada yang curang, ‘makan luar’, culas bab nafkah (zahir & batin), gagal membantu isteri dalam kerja rumah & penjagaan anak dll.
Si ibu, ada yang gagal kawal emosi ketika marah anak, gagal menyediakan makanan yang baik untuk anak, beri kebenaran penggunaan gadjet pada anak, gagal pantau kesihatan anak, menjaja keburukan suami pada anak-anak dll.
Adakah mereka cukup maksum untuk menentukan syurga neraka seseorang?
Tujuan saya menulis ni bukan untuk menghasut atau menyarankan isteri & anak-anak untuk tidak hormat, tidak taat pada suami & ibu masing-masing. TIDAK! Bagi saya, hormat & taat bertempat.
Sebagai isteri, kita boleh say NO kepada suami, boleh bantah cakap suami selagi mana tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Boleh tidak bersetuju kalau suami ajak tinggal dengan mertua, boleh say NO kalau suami suruh berhenti kerja, boleh juga nasihati suami kalau dia ada buat salah.
Sebagai ibu jugak, kita boleh dengar nasihat dari anak-anak, boleh kadang kala ikut ‘rentak’ mereka sebab anak-anak ni bukan robot, boleh bagi kebebasan untuk mereka membuat keputusan (bila mereka cukup matang selepas diberi nasihat).
Anak-anak ni boleh jadi aset atau liabiliti. Semuanya terletak pada ajaran ibu bapa.
Jadi di sini, ibu bapa lah sebenarnya yang memikul tanggungjawab besar dalam mendidik & membentuk anak. Tanggungjawab ini juga pasti akan dipersoalkan Allah kelak.
Sedar tak kita wahai suami & ibu bapa bahawa besar tanggungjawab kita?
Kita yang akan dipersoalkan dahulu tentang tanggungjawab kita di dunia ni. Si suami akan ditanya “ada ajak tak isteri & anak2 solat berjemaah?”, “ada ajar anak2 membaca Al-Quran?”, “ada ajar anak2 tentang ikhtilat pergaulan sesama manusia?”.
Si ibu bapa akan ditanya “ada ajar anak2 mengenal Allah & Islam?”, “ada ajarkan kalimah Allah & hadis nabi pada anak2?”, “ada sediakan makan, minum, pakai yang selayaknya untuk anak?”.
Saya sebagai seorang isteri kepada seorang suami yang sering menggunakan kuasa “syurga” dia dalam menghakimi saya. Berkahwin dengan Mr. Perfect Guy, inilah nasib saya.
Tidak dinafikan, suami saya memang serba boleh. Rajin bekerja, pandai agama, pandai masak, kenal segala jenis sayuran, ikan, rempah ratus semua, pandai mengemas, pandai repair elektrik, boleh berkebun, pandai bergaul (peramah & ramai kawan). Nak kata, semua boleh la.
Disebabkan tu juga, dia selalu komplen saya tak pandai masak (saya boleh masak, pernah juga dapat pujian dari keluarga & kawan2), rumah tak kemas.
Kadang2 saya bangun pagi lewat dari dia (9 tahun kahwin ada 4 orang anak, badan saya tak pernah berhenti dari mengandung & menyusukan anak, letih!).
Bila bergaduh atau berselisih faham, suami akan cakap “inilah isteri zaman sekarang, macam mana nak masuk syurga?” atau yang sewaktu dengannya. Dia suka menggunakan kuasa ‘syurga’ dia pada saya.
Masa mula2 kahwin memang sedih, lama2 dah immune dah. Saya sebagai isteri dah cuba sedaya mungkin untuk menjalankan tugas sebagai isteri.
Memang kalau suami ada di rumah, dia yang masak & kemas rumah. Saya akan uruskan anak2, basuh & lipat baju. Ini untuk mengelakkan dia komplen masakan saya. Tapi suami bila suami outstation (1-2 minggu), urusan rumah & anak2 A sampai Z saya yang uruskan.
Selalu kami berselisih faham pasal anak sebab kami ada cara masing2 dalam mendidik anak. Setiap kali berselisih faham tu suami akan ungkit apa yang dia buat & tak lupa untuk gunakan kuasa ‘syurga’ dia tu.
Suami saya, macam manusia lain juga, tak lepas dari dosa. Saya hargai suami saya sebab dia banyak tolong saya tapi saya muak tiap kali gaduh, mesti dia akan ‘hantar’ saya ke ‘neraka’.
Berdosa sangat ke saya kalau saya ada pendapat saya sendiri? Yang penting saya tahu hukum hakam & tak pernah saya request perkara yang di luar kemampuan suami.
Dan sebagai seorang ibu, saya tak pernah & InshaAllah takkan letakkan kuasa ‘syurga’ saya pada anak-anak. Sebab saya tahu saya yang bertanggungjawab atas setiap tindak tanduk anak2 saya.
Sebab itu saya tegas dalam mendidik anak. Mungkin suami nampak saya ni macam singa dengan anak2 tapi niat saya cuma satu.
Saya nak anak2 saya jadi ‘manusia’. Manusia yang berbakti pada orang lain, ada perasaan belas kasihan terhadap orang lain & boleh buat saya bangga suatu hari nanti.
Saya juga mengharapkan doa2 yang baik daripada anak2 saya bila saya pejam mata kelak. Saya takkan boleh tentukan syurga neraka mereka sebab hanya Allah yang layak berbuat begitu.
Untuk suami2 & ibu bapa di luar sana, jadilah contoh yang terbaik untuk isteri & anak2 masing2. Jangan sibuk nak tentukan syurga neraka mereka, sebaliknya kita cek la diri masing2. Mampukah kita tarik isteri & anak2 kita masuk syurga?
Ikhlas,
– Nilam Biru (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit