Syurgaku di Dunia

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca. Terima kasih banyak-banyak buat admin kerana sudi menyiarkan confession ini.

Sebenarnya banyak kali hati kecil ini terdetik nak meluah rasa dekat sini tetapi ada masanya diri ini selalu mencuba untuk bersabar. Entah kesabaran yang ke berapa juta kali pun tak pasti kerana apa yang bakal aku luahkan ini bersangkut dengan seseorang yang paling saya sayang sekali dalam hidup aku dan tanpa dia, tiadalah aku di sini iaitu emak saya. Mungkin ini boleh dikatakan membuka aib pada sesetengah orang tetapi apa yang aku mahu sampaikan adalah bertujuan untuk kalian ambil iktibar, terutamanya kepada para ibu dan bakal ibu kelak di luar sana.

Bagi aku, emaklah satu-satunya orang yang aku akan cuba bahagiakan sedaya-upaya saya selagi aku mampu selama aku hidup dan bernafas atas dunia ni. Sebab emaklah, aku belajar tekun sampai U, dengan niat aku nak tolong dan ubah kehidupan kami sekeluarga. Bagi aku, kami masih dalam golongan sederhana walaupun ada masanya dulu waktu aku kecil, aku merasa susahnya emak dan ayah pulun kerja habis-habis tetapi still ada sometimes still tak ada duit.

Pernah aku rasa terpinggir dan rasa emak ini sibuk kerja saja sampai tak kisah pun pasal aku tapi sejak aku sekolah rendah, aku faham kenapa. Emak dan ayah sibuk kerja pun untuk besarkan aku, bagi kecukupan pada aku dan untuk menolong ahli keluarga mereka di kampung. Sejak itu, walau sunyi macam mana pun hidup aku sewaktu kecil, aku cuba menahan rasa, memahami dan even kalau aku merajuk dengan mereka, aku yang pujuk diri sendiri (ada masanya aku harap emak akan pujuk aku macam emak-emak orang lain).

Walaupun dialah yang paling aku sayang tetapi sejak kecil, dialah yang paling selalu menyakiti hatiku dan secara jujurnya aku selalu menangis sebab ni (even waktu tengah tulis confession ni). Aku akui dia jenis panas baran, nasib baik ayah aku jenis baik dan pendiam je. Aku salute kat ayah aku sebab sampai sekarang masih bertahan dengan emak tapi aku tahu, dalam diam mesti dia makan hati juga. Boleh dikatakan, perwatakan aku ikut ayah. Jenis diam je kalau kena marah. Since emak jenis baran, dia selalu lepas kalau berkata-kata. Aku dah biasa sangat kalau dia marah aku, mesti dia kata b*d*h, anak kurang ajar, b**i atau anak s*t*n.

Sejak kecil dan walaupun aku tunggal masa tu, aku still takkan dimanja. Kekadang tertanya-tanya jugak, aku ni anak pungut ke sampai dapat treatment macam ni? Tapi still, ada memori-memori indah juga dalam hidup aku kalau masa tu mood emak baik dan tak ada masalah apa-apa. Aku masih bersyukur untuk itu. Baran emak makin bertambah sejak dia lahirkan adik aku. Aku tahu dia lebih sayangkan adik daripada aku. Kalau dia marah, mesti nama aku juga kena petik. Aku jugalah yang dia maki untuk lepaskan amarah dia.

Lagi satu, dia suka membanding-bandingkan aku dengan anak orang lain. Ada saja yang dia nak bandingkan. Misalnya, dia suka bandingkan aku dengan cousin-cousin aku yang lain kalau aku tak buat kerja-kerja rumah, walhal aku terlupa sehari je pun tapi habis-habis dia kata, “tengok si M tu, pandai kemas rumah, masak. Untung mak dia!” Aku dah selalu kena tang ni sampai naik lali walaupun ada masa hati aku tetap terasa dan rasa sangat sedih. Even, aku dah besar dan dah kerja pun dia akan bandingkan aku dengan anak orang lain. Ada saja dia rasa anak orang lain lagi bagus, bagi duit banyak pada mak bapak mereka, dah dapat beli rumah. Inilah yang paling aku cukup-cukup terasa. Perbandingan yang tiada habisnya.

Buat pengetahuan kalian, Matlamat hidup aku ada 3.

1. Beli rumah untuk emak ayah

2. Hantar emak ayah pergi menunaikan umrah/haji

3. Aku nak tunaikan umrah.

Aku tahu cousin-cousin aku dah dapat beli rumah tapi aku pulak sekarang masih terkial-kial menanti loan aku untuk diapprove. Aku pun sedih sangat sebab walaupun aku dah kerja, tapi still aku tak mampu menyimpan banyak mana sebab bila aku dah kerja, banyak gaji aku habis untuk belanja barang-barang rumah, bagi kat emak dan ayah, ada masanya aku yang bayar sewa. Nasib ada aku buat asbf juga, ada juga dapat hasil sikit. Tapi emak takkan nampak kesedihan aku atau usaha aku. Emak still akan anggap cousin aku atau anak-anak orang lain lagi baik.

Satu perkara yang aku perasan, emak aku mungkin tak pernah merasa cukup. Aku tahu dia juga nak rasa senang dan kaya. Semua orang pun nak. Even aku masih berusaha ke arah itu supaya mak rasa bahagia. Tapi mahu saja aku kata, bersyukurlah dengan apa yang kita ada kerana Allah dah beri kecukupan pada kita walaupun kita tak kaya, sekurang-kurangnya kita masih ada kudrat untuk beribadah dan bekerja. Aku macam inilah, ada masanya aku cemburu juga lihat kawan-kawan aku boleh travel, saudara-saudara aku dapat makan mewah-mewah, dapat beli rumah. Aku pun nak buat semua ni untuk parents aku tetapi mungkin rezeki aku belum sampai tahap ini lagi dan aku cukup berjimat untuk kumpul deposit rumah. Jadi, aku hanya bersyukur dengan apa yang aku ada di samping berusaha lebih lagi untuk bahagiakan emak ayah aku.

Honestly, aku memang tak rapat dengan emak. Aku jadi tertutup dan emak pun bukan tahu rahsia-rahsia aku even masa aku patah hati dulu sebab ex-bf aku akan dijodohkan dengan cousin dia, emak tak tahu pun aku tengah lalui fasa kemurungan. Dia hanya nampak aku just jadi pendiam. Aku boleh kata, aku lagi rapat dengan kawan-kawan atau kakak-kakak yang aku kenali masa U dulu. Pernah dulu masa ex-bf tanya kabar dan tanya apa plan hidup aku lepas ni. Aku beritahu 3 matlamat tu. Dia tanya tak ada plan kahwin? Aku rasa nak gelak jugak, sebab dulu aku plan nak kahwin dengan dia tapi tak ada jodohkan. Aku just jawab, tak apalah, nak bahagiakan emak ayah, tu aje matlamat hidup aku sekarang.

Kalian tahu tak, sejak sekolah rendah sampailah Pra-U, selalunya aku akan dapat anugerah dalam akademik tapi emak tak pernah datang sekalipun masa aku naik pentas ambil anugerah. Aku rasa terkilan dan sedih tapi aku tahan, aku sabar sebab aku faham emak sibuk kerja. Apa yang menguatkan aku untuk masuk U bila aku dapat anugerah pelajar terbaik Pra-U untuk batch aku dan emak ayah langsung tak datang. Cikgu pun tanya, aku just jawab mereka kerja. Even mak dengar ada kawan dia puji aku dapat anugerah (since anak dia junior aku) tapi aku tak tahulah dia bangga atau tak. Akhirnya, aku berjaya tamatkan degree aku dan emak ayah datang, masuk dewan, tengok satu-satunya anak perempuan dan anak sulung mereka ambil segulung ijazah. Waktu itulah detik aku paling rasa terharu dan bahagia. Akhirnya mereka dapat tengok aku naik pentas.

Bagi aku, emak ayah adalah syurgaku di dunia. Walaupun sakit hati macam mana pun, aku tetap sayang emak. Aku tetap mencuba untuk bahagiakan emak ayah. Buat kalian di luar sana, please stop comparing your children with others. Mungkin mereka melalui kehidupan berlainan dan mempunyai kredibiliti yang berbeza-beza. Rezeki Allah itu luas, itu yang selalu aku tekankan dalam hidup aku. Aku selalu yakin ada sesuatu yang Allah simpan untuk kita kalau mungkin hari ini kita berasa kekurangan. Berdoa, tawakkal dan terus usaha, hanya itu yang aku mampu lakukan sampai ke saat ini. Kalian doakan juga ya permohonan loan untuk rumah aku diapprove oleh pihak bank.

Sekian, terima kasih kerana sudi membaca kisahku.

– Lily Putih

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *