Assalamualaikum admin. Saya Mira, pastinya bukan nama sebenar, berumur 30 tahun. Baru bernikah masa PKP 1 lalu dan kini hamil 9 bulan. Hanya menunggu masa untuk bersalin.
Perkenalan dengan suami memang tak disangka akan ke jinjang pelamin. Kami berkenalan dalam web chatting. Alhamdulilah, suami baik dan penyayang setakat ni.
Apa yang saya nak ceritakan, bukanlah masalah rumah tangga.. sebaliknya konflik saya dan ibu.
Untuk makluman, saya dan suami masing-masing merupakan harapan keluarga. Suami anak sulung dari 3 beradik manakala saya anak kedua dari 6 beradik.
Kakak sulung saya dah lama berumah tangga jadi hal keluarga saya memang saya sahaja yang uruskan.
Yelah, kakak saya pun hidup susah membesarkan anaknya 7 orang. Ayah saya pula sudah meninggal dunia beberapa tahun lepas. Saya gov servant dah 10 tahun berkhidmat.
Alhamdulilah gaji cukup untuk membayar ansuran bulanan rumah dan juga kereta serta belanja dapur rumah yang didiami oleh ibu, saya, dan 4 adik lelaki saya yang semuanya dah bekerja. Kerja yang gajinya lebih kurang 1200 sebulan.
Suami saya sedang menunggu kunci rumah yang dibelikan untuk keluarganya. Kini keluarga suami menyewa di kawasan setinggan.
Saya pula tinggal di rumah teres dua tingkat dan bilik saya adalah master bedroom. Jadi, lepas nikah, kami buat keputusan untuk tinggal di rumah saya, supaya takda penambahan kos dalam hidup kami.
Alhamdulilah, rumah saya cukup selesa untuk saya dan suami serta ibu dan adik-adik. Setiap hujung minggu, kami akan pulang ke rumah mertua dan menginap 1 malam di sana.
Perkara ini dipersetujui oleh suami sendiri kerana dia faham rumahnya kurang sesuai untuk kami kerana tiada bilik yang mencukupi.
Mula-mula tinggal serumah dengan keluarga saya, semua ok tapi belum pun setahun pernikahan kami, saya mula nampak perubahan ibu.
Kadangkala, saya dan suami terasa dipulaukan di rumah sendiri. Kami pulang dari kerja, disambut dengan riak wajah yang kurang senang dari ibu.
Adakala salam yang kami ucapkan dibalas sepi oleh ibu yang sedang menonton tv di ruang tamu.
Pertanyaan saya juga hanya di angin lalu dan dibalas dengan mimik muka yang kurang menyenangkan dari ibu. Segala keperluan rumah saya sediakan, barangan dapur semua saya penuhkan.
Ibu tinggal di rumah dan setiap hari akan memasak untuk adik-adik saya yang bekerja. Soal mengemas, tanggungjawab saya.
Disebabkan bekerja dan sedang sarat hamil, saya hanya mengemas bila ada kudrat. Bila saya letih, rumah memang tidak terjaga. Dapur berminyak, sinki berkulat, lantai pun tak bersapu.
Saya tak pernah tegur ibu tentang hal ni kerana saya bimbang ibu akan terasa hati. Lagipun, ibu tentu letih kerana perlu memasak pada setiap hari.
Alhamdulilah, musim PKP saya banyak bekerja dari rumah. Jadi, saya ada masa untuk mengemas rumah. Tapi, rutin harian saya tak disenangi ibu. Menurut ibu, saya terlalu cerewet.
Saya akui, sepanjang kehamilan saya, banyak kali saya menangis kerana layanan ibu terhadap saya.
Baru-baru ini, bapa mertua saya warded kerana serangan jantung. Suami saya dan adiknya perlu bekerja seperti biasa walaupun PKPB.
Disebabkan saya bekerja dari rumah, dan saya juga menantu sulung, dah tentu menjadi tangggungjawab saya untuk menguruskan hal bapa mertua.
Minggu itu saya kelam kabut berulang alik ke hospital, ke rumah mertua, dan seterusnya pulang ke rumah kami.
Untuk makluman, jarak rumah saya dan mertua hanya 45 minit. Dengan keadaan saya yang sarat, sudah tentu saya terasa keletihan.
Namun keletihan saya terubat apabila melihat bapa mertua saya kian sembuh dan sudah boleh discaj.
Yang menyedihkan saya, apabila saya pulang ke rumah, selepas selesai urusan discaj bapa mertua, ibu saya langsung tak mahu bercakap dengan saya.
Seolah-olah ada perkara yang menyakitkan hatinya. Allah. Sedihnya saya. Sepanjang malam saya menangisi hal ini.
Salahkah saya membantu keluarga mertua yang memerlukan saya ketika itu? Sedangkan ibu baik-baik sahaja di rumah.
Kelakuan ibu benar-benar meletakkan saya dalam dilema. Saya tak pernah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai anak. Dan kini saya sedang menjalankan tanggungjawab saya sebagai menantu.
Apa patut saya buat? Sesungguhnya, saya tak ingin syurga saya akhirnya menjadi neraka buat saya…
– Mira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit