Tahu Dulu Hukum Hakam

Terima kasih admin siarkan cerita saya. Semoga menjadi pengajaran buat semua. Saya harap admin dapat rahsiakan nama sebenar saya.

Saya sudah berkahwin, anak saya yang sulung sudah berusia 16 tahun. Saya juga mempunyai madu dan anak sulungnya sudah berusia 15 tahun.

Saya dan madu merupakan sahabat baik ketika zaman universiti. Kami memilih lelaki yang sama untuk dijadikan suami kami.

Alhamdulillah, sampai sekarang hubungan kami masih baik.

Saya bukan nak cerita mengenai kebaikan poligami atau ajak kepada poligami. Ia terserah kepada pilihan masing-masing.

Apa yang saya nak ceritakan adalah persediaan ilmu yang secukupnya sebelum memasuki alam rumah tangga.

Ilmu tidak semestinya suami tahu mengaji, mengimamkan solat dan lain-lain.

Namun banyak ilmu yang perlu disediakan, ilmu pengurusan diri, ilmu pengurusan stress dan lain-lain. Ilmu agama berkaitan dengan fiqh juga berkenaan hukum hakam dalam perkahwinan.

Perkahwinan sangat indah. Lagi-lagi apabila kawan baik saya menjadi madu saya.

Suami saya tahu dari segi pembahagian yang adil. Kami sebagai madu juga sangat terbuka dan bertimbang rasa. Apabila saya bendera merah, madu akan mengambil malam saya.

Begitu juga madu saya, apabila dia bendera merah, saya pula akan mengambil malamnya. Jarang kami berbalah mengenai hal ini.

Kami juga tinggal serumah. Satu rumah ada 7 bilik. Bilik kami sebagai isteri sama besar tiada beza.

Namun yang menjadi dosa apabila kami tidak memahami dan tahu menahu batas aurat antara saya dan madu.

Saya dengan suami tiada batas aurat tapi saya dengan madu ada batas aurat yang perlu saya jaga. Namun suami, saya dan madu tidak menahu perkara tersebut.

Semoga Allah ampunkan kami.

Kami mandi bersama-sama suami. Ada kalanya bila suami cuti, kami hanya berseluar dalam sahaja di dalam rumah.

Ada kalanya sekadar singlet labuh tanpa seluar dalam. Begitulah rutin kami. Suami hanya seluar pendeknya.

Perkara ini berlanjutan apabila anak saya setahun dan madu saya sarat mengandung. Saya terbaca dalam petikan akhbar mengenai batas aurat isteri-isteri. Saya membaca dengan penuh teliti.

Saya panggil madu saya untuk sama-sama baca mengenainya. Kami terkejut besar dan segera istighfar.

Suami kami ada juga ke masjid dan surau sekali sekala. Ada satu hari tu, Ustaz Azhar Idrus datang. Kami ada tanya soalan bagi mendapatkan pencerahan.

Jawapan ustaz sangat meluluhkan hati kami yang lama terpesong jauh. Semoga Allah ampunkan kami.

Rupanya yang tiada batas aurat hanyalah suami dan isteri. Manakala kalau ada isteri kedua, isteri pertama kena jaga batas aurat.

Batas aurat wanita dengan wanita juga perlu dititik beratkan. Kami tidak tahu tentang itu, jadi saya bagitahu kepada anda.

Saya bersama madu sangat jahil ketika awal perkahwinan. Suami juga tidak ada asas agama yang kukuh.

Kami sangat menyesal dengan perbuatan kami dan kami segera bertaubat dan kini kami segera mempelajari ilmu agama dan ilmu rumah tangga supaya kami dapat mencapai keredaannya.

Kepada anak-anak yang baru berkahwin, belajar ilmu agama dan ilmu-ilmu yang berkaitan. Bina akhlak dan sahsiah diri.

Jadikan diri kita yang terbaik dan bersedia dengan ilmu sebelum melangkah ke alam rumah tangga.

Kita ni “sekolah” awal kepada generasi kita. Kalau kita rosak bagaimana dengan generasi kita? Sama-sama lah kita perbaiki diri. Semoga Allah ampunkan dosa kita.

– Senah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *