Watak Tajul dalam drama Dia Bukan Syurga bukan sekadar tak mewakili realiti, tapi telah mencipta imej palsu tentang BPD yang ramai mula anggap sebagai fakta.
Bila semua perbuatan ganas, manipulatif dan kawalan melampau dilekatkan dengan satu label — Borderline Personality Disorder (BPD) — orang terus anggap itulah wajah sebenar BPD. Padahal hakikatnya langsung tak sama.
Rata-rata komen dan posting sosial media pun penuh dengan tanggapan salah — ada yang tulis “Oh, macam ni lah BPD rupanya,” “bagus drama ni sekurangnya boleh tahu BPD tu macam mana”, dan bila muncul kes penderaan rumah tangga, terus keluar komen “mesti BPD macam Tajul,” “Tajul in real life.”
Drama ni terlalu exaggerate sampai timbul stigma baru — bahawa orang BPD ni bahaya, tak stabil, dan tak layak pun untuk didekati. Ini sangat merisaukan, sebab bila stigma dibentuk daripada gambaran yang tak tepat, pesakit sebenar jadi mangsa penolakan, bukan penerimaan.
Apa yang ditunjukkan Tajul dalam drama ni bukanlah refleksi sebenar seorang yang hidup dengan BPD, tapi satu corak penderaan yang disengajakan dan diulang-ulang. Dia kawal hidup Nuha, sakiti emosi dan fizikal, lepas tu datang semula dengan pujuk rayu, tapi langsung tak pernah betul-betul berubah.
Ubat pun dia sendiri buang, baran dia tak pernah usaha kawal, tapi bila Nuha makin menjauh, dia salahkan Nuha semula. Ini bukan simptom orang yang sedang bergelut dengan emosi — ini corak dominasi yang sedar dan terancang.
Tajul bukan representasi BPD, tapi bayangan manipulasi yang dibungkus dengan agama, cinta, dan alasan kononnya nak ke syurga.
Drama ni macam nak sampaikan mesej yang semua kezaliman Tajul — termasuk gaslighting, ugutan bunuh diri, manipulasi agama, dan keganasan — berpunca daripada BPD.
Sedangkan kalau tengok betul-betul, apa yang Tajul buat tu lebih kena dengan corak gangguan personaliti lain macam Narcissistic Personality Disorder (NPD) atau Antisocial Personality Disorder (ASPD), bukan BPD.
Apa yang lebih membimbangkan —drama ini cuba tampil seolah-olah diagnosis kelihatan sahih dan berautoriti, dengan babak dalam hospital sebenar dengan prosedur yang betul dan watak pakar psikiatri yang memberi gambaran menyakinkan,
Ini membuatkan penonton yang tak kenal apa itu BPD yakin apa yang ditunjukkan adalah benar belaka walaupun jalan ceritanya menyimpang jauh daripada fakta psikiatri sebenar.
Ciri BPD tak boleh disimpulkan dari satu dua aksi impulsif atau emosi yang nampak tak stabil semata- mata. Ikut kriteria DSM-5, diagnosis BPD cuma boleh dibuat bila seseorang tunjuk corak yang konsisten dan berpanjangan — macam konflik dalaman yang kronik, takut ditinggalkan, identiti diri yang kabur, emosi turun naik, dan masalah besar dalam hubungan.
Ia hanya sah bila sekurang – kurangnya 5 daripada 9 ciri kriteria utama BPD dipenuhi secara konsisten dan menyeluruh.
Dalam drama ni, walaupun ada babak yang sekali-sekala nampak macam BPD, tapi keseluruhan perangai Tajul lebih kepada nak kawal, dominasi, dan manipulasi. Itu bukan struggle emosi — tu memang strategi nak pegang kuasa.
Jadi walaupun luaran nampak macam lebih kurang sama, tapi tak cukup untuk label BPD kalau tak faham konteks dalaman dan corak sebenar macam yang diterangkan dalam manual psikiatri.
Masa Tajul disahkan ada BPD, reaksi dia macam dijatuhkan hukuman mati — seolah-olah orang yang ada BPD ni terlalu bahaya, patut dijauhi dan tak boleh berkawan, bercinta atau berkahwin, kerana kononnya BPD boleh buat seseorang hilang kawalan diri dan jadi ganas.
Naratif ni sangat menyimpang, sebab BPD bukan gangguan yang menyebabkan seseorang hilang kesedaran, halusinasi, atau terputus dari realiti seperti gangguan psikotik.
Hakikatnya, ramai penghidap BPD hidup dalam perkahwinan yang sihat dan stabil, dengan rawatan dan sokongan yang betul. Tapi cara drama ni bentangkan BPD macam satu takdir gelap yang mesti dijauhi — bukan satu bentuk luka emosi yang sebenarnya masih boleh dirawat dan difahami.
Mengikut kajian, realiti rata – rata pesakit bila didiagnos BPD, mereka sebenarnya rasa sangat lega, sebab barulah mereka faham kenapa selama ini mereka struggle, dan akhirnya dapat cari bantuan yang sesuai. Bagi orang BPD diagnosis tu macam turning point dalam hidup mereka — rasa divalidasi, dan mula faham diri sendiri.
Tapi Tajul digambarkan sebaliknya. Dia tak nak buat rawatan malah ubat pun dia buang tanpa pengetahuan Nuha. Dia bukan tak mampu berubah tapi dia yang tak nak berubah. Dia cuma berlakon nak sembuh depan Nuha.
Ini bukan ciri orang dengan BPD sebenar, sebab orang yang ada BPD betul-betul nak sembuh dan biasanya mereka sanggup buat apa saja untuk kekal stabil dan jaga hati orang yang mereka sayang.
Tapi dalam drama ni, Tajul buat seolah-olah diagnosis tu satu lesen untuk jadi pendera, malah gunakan label BPD tu untuk manipulasi perasaan orang sekeliling.
Inilah yang sangat salah dan berbahaya bila watak seperti Tajul dijadikan gambaran utama BPD, ia mencipta persepsi bahawa orang yang ada BPD — abusive, manipulatif, control freak sedangkan dia langsung tak menyerupai realiti majoriti penghidap yang sedang berjuang untuk pulih.
Dan yang tak masuk akal, dalam drama ni langsung tak bagi gambaran yang Tajul ni ada trauma silam yang menyumbang pada BPD tu. Padahal trauma adalah punca utama kepada diagnosis BPD.
Tapi dari kecil lagi, Tajul dah ditunjuk sebagai pelaku keganasan — belasah kakak dia Liza sampai pengsan, pukul kawan sekelas, bila tak dapat rampas ikan dari Arham dia ugut terjun sungai, dan mak dia pulak bela dia walau perangai macam tu.
Kalau dari kecil dah tunjuk corak suka kuasa, tak rasa bersalah bila buat salah, dan makin besar makin jadi pendera — apa yang dia lalui tu lebih kepada pembentukan karakter yang toksik, bukan struggle emosi dalaman.
Jadi nak letak semua ni bawah label BPD semata-mata bukan saja mengelirukan, tapi memang tak tepat langsung. Sebab yang kita nampak, bukan dia bergelut nak faham diri, tapi dia selesa guna emosi orang lain untuk terus pegang kuasa dalam hubungan.
Dalam kes BPD yang sebenar, emosi tak stabil selalunya keluar dalam bentuk konflik dalaman, bukan dominasi terhadap pasangan. Ramai penghidap BPD sangat takut sakitkan orang yang mereka sayang, sebab mereka takut ditinggalkan. Bila rasa tak stabil, mereka lebih mudah sakiti diri sendiri — bukan sakiti orang lain sebagai cara kawalan.
Tak logik kalau makin sayang makin kita nak sakiti jika betul takut ditinggal — anak kecil pun boleh faham konsep ni. Kalau suka menyakiti, tu bukan cinta, tu ketagih kuasa — dan ketagih kuasa bukan lah ciri BPD. Jadi Tajul bukan lah lambang realiti BPD.
Dan BPD tak pandai manipulasi imej macam Tajul. Tajul boleh berlakon alim depan mak ayah Nuha, tapi jadi pendera bila dah kahwin. Itu bukan struggle identiti BPD, tapi lebih kepada ciri-ciri NPD dan ASPD — jenis yang pandai cipta persona palsu untuk kawal persepsi orang.
Tajul jugak suka guna agama untuk buat Nuha rasa bersalah. Dia pernah cakap kalau Nuha tak ikut cakap dia, Nuha akan jadi isteri nusyuz dan tak masuk syurga. Ini bukan simptom BPD. Orang dengan BPD tak manipulatif macam ni. Dia jugak selalu pusing salahkan Nuha balik lepas dia sendiri bertindak kasar.
Contohnya, dia cakap, “kalau Nuha ikut cakap abang dari awal, semua ni tak jadi.” Itu bukan emosi tak terkawal tapi strategi nak mengawal. Dia buat sesuatu, salahkan mangsa, lepas tu pujuk dan ulang balik cycle tu. Dalam BPD, mereka lebih cenderung salahkan diri sendiri, dan bersungguh tak ulangi lagi, bukan gaslighting macam tu.
Bila Nuha marah Tajul pulak sebab tak tahan semua benda Tajul nak kawal, Tajul langsung tak rasa bersalah, tak rasa takut Nuha akan tinggalkan dia sebab tu dan tak rasa nak pujuk masa tu jugak pun — esoknya siap kutuk Nuha dekat Faizal.
Lepas Faizal tegur jangan tunjuk kuasa sangat nanti Nuha lari, baru dia berubah, minta maaf dan jadi romantik. Ini love bombing — bukan sebab insaf, tapi sebab takut hilang kawalan.
Kalau betul dia BPD, dari awal dia sendiri dah rasa bersalah dan cuba baiki keadaan, bukan tunggu orang luar tegur baru nak berubah. Tapi Tajul lepas orang luar tegur baru berubah — bukan sebab rasa bersalah, tapi sebab nak tarik balik kawalan.
Orang dengan BPD selalunya sangat memahami perasaan orang lain — kajian pun tunjuk empati mereka lebih tinggi berbanding orang biasa, sebab tu orang BPD ni cepat rasa bersalah walaupun kesilapan kecil, hati mudah tersentuh dan senang menangis walau benda kecil.
Tapi Tajul? Lepas tarik tudung Nuha depan orang ramai dia boleh salahkan Nuha balik dan boleh defend diri dia dengan terangkan tujuan dia buat tu untuk mendidik.
Dan lagi, lepas dia belasah Nuha sampai koma, dia langsung tak gelabah — tak bawak ke hospital, siap cakap Nuha “overdrama”, lepas tu salahkan Nuha lagi punca semuanya dan lari tinggalkan Nuha terbaring kaku macam tu — lepas tu esoknya balik rumah buat macam tak ada apa berlaku — tanpa rasa bersalah, trauma atau takut kehilangan.
Kalau dia betul ada empati, dah tentu dia tak sanggup tengok Nuha macam tu apatah lagi nak belasah Nuha sampai lunyai— tapi dia terbalik. Ini bukan BPD. Ini jelas orang yang memang tak ada perasaan empati.
Nak bagi orang senang faham, BPD ni sebenarnya orang yang kurang kasih sayang. Sebab waktu kecil, emosi dia tak pernah divalidasi — dia sedih, dia marah, tapi orang sekeliling buat tak tahu atau anggap dia mengada.
Jadi bila dah besar, dia jadi sangat lapar kasih sayang: suka peluk, suka dilayan manja, nak difahami sepenuhnya. Bukan sebab mengada-ngada, tapi sebab semua tu dia tak pernah rasa waktu dia nak membesar.
Mengikut banyak kajian, kebanyakan penghidap BPD datang dari persekitaran yang invalidating — maksudnya emosi dia sering dipadam, tak dihargai, atau diabaikan terus. Dan tak semestinya datang dari rumah yang ganas — kadang-kadang cukup sekadar emosi dia tak diberi ruang, tak difahami, atau dipandang remeh.
Luka tu dibawa sampai dewasa. Macam anak kecil yang terperangkap dalam tubuh orang dewasa — sangat dahagakan perhatian dan kasih sayang, tapi tak dapat sebab dia dah besar dan orang fikir dia tak boleh dilayan macam anak kecil lagi. Sebab tu penghidap BPD senang ‘attach’ dengan sesiapa yang faham dia dan boleh buat diri dia rasa disayangi.
https://iiumc.com/isteri-
Tahun 2022 saya pernah tulis confession disini tentang apa yang saya lalui sendiri sebagai penghidap BPD — termasuk struggle lepas berkahwin dan apa yang buat saya mula cari rawatan,
Dan kali ni saya terpaksa menulis lagi disebabkan tak sanggup tengok BPD terus difitnah hanya kerana ada drama yang tampilkan watak kejam dan manipulatif, lepas tu label semua tu sebagai BPD.
Tapi kisah trauma saya masa kecil yang jadi punca kepada semua ni, belum pernah saya kongsi di mana-mana. Kalau ada yang sudi nak baca kisah penuh tu satu hari nanti, mungkin saya akan tulis.
Sebab bila orang mula kenal BPD dari cerita sebenar, barulah mereka faham — ini bukan tentang “gila” atau “manipulatif”, tapi tentang luka yang terlalu dalam, dan rindu yang terlalu sunyi.
Dan dari situlah kita boleh mula betulkan stigma — bukan dengan takutkan label, tapi dengan faham manusia di sebaliknya.
– Syaz (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit