Kenalkan, aku Along. Yang pasti bukan nama sebenar. Aku tak tahu nak mula dari mana. Sungguh, aku betul-betul tak tahu. Masa aku taip confession ni mata aku tengah bengkak teruk sebab menangis tak henti-henti.
Ini bukan kisah mertua jahat, suami curang ataupun ipar duai yang kejam. Bukan. Ini kisah aku dan lelaki yang aku panggil ‘ayah’.
Aku dan ayah bertekak hari ni. Puncanya ayah cakap aku anak yang membebankan dia.
Masa tu ayah dan mak tengah berbual sambil menikmati sarapan pagi. Ayah kata “Gaji aku memang besar, memang cukup. Tapi disebabkan ada orang yang suka menyusahkan hidup aku, membebankan aku, duit tu semua jadi tak cukup.”
Masa tu aku tengah memasak di dapur. Sudahlah beberapa hari lepas, eh.. Bukan. Tepatnya sejak bertahun-tahun yang lepas, aku memang sudah lama terasa hati dengan ayah.
Jadi hari tu aku mengamuk. Aku hempas kuali, aku ketuk sudip dekat kuali kuat-kuat. Lepas tu aku pergi dekat anak aku.
Time tu anak aku pakai kasut sekolah dia yang aku beli tempoh hari. Ada terkoyak sikit disebabkan aku tersalah beli saiz so tak muat jadinya tapi anak aku paksa jugak kasut tu dipakainya.
Disebabkan aku sedang marah sebab ayah cakap aku ni anak dia yang paling miskin langsung tak ada duit, langsung tak berguna, aku cabut kasut tu dari kaki anak aku.
“Jangan pakai nanti makin koyak. Mak tak ada duit nak belikan kau lagi. Atuk kau cakap mak miskin, mak tak ada duit.”
Anak aku melawan bila aku cabut kasut tu. Aku makin naik hantu. Aku pukul kasut sekolah tu di kepala dan punggung anak aku kuat-kuat sambil cakap :
“Kau tahu tak aku tak ada duit! Kalau kasut kau koyak aku tak mampu nak beli lagi cepat-cepat! Kau dengar tak aku cakap aku tak ada duit!
Kau tau tak aku miskin! Kau dengar tak atuk kau cakap aku miskin! Aku miskin! Kau dengar tak?!!!”
Aku pukul dia kuat-kuat. Aku tak pedulikan anak kedua aku yang masih kecil berusia dua bulan tu terjaga dari tidur sebab terkejut dengan amukan dan tempikan aku. Aku dah tak hirau apa lagi dah.
Ya, aku tahu aku salah. Aku tahu korang akan kecam aku sebab pukul anak aku, lepaskan kemarahan aku kat anak aku.
Aku sendiri rasa menyesal sangat-sangat lepas tu. Mujurlah kasut tu bukan kasut kanvas, hanya kasut getah yang ringan. Masa aku taip ni pun air mata aku masih mengalir lagi. Maafkan mak, nak.
Ayah marah aku. Katanya aku ibu yang jahat. Aku balas balik. Aku cakap ayah pun bukan ayah yang baik. Kalau ayah baik, ayah takkan cakap aku ni beban dia. Ayah takkan cakap aku ni menyusahkan dia. Ayah takkan cakap kalau aku hanya tahu makan, makan, dan makan.
Ayah balas, ayah kata aku anak tak berguna. Ayah cakap dia langsung tak pernah anggap aku anak dia. Aku balas lagi, aku tak pernah menyusahkan ayah macam adik aku buat.
Aku tak pernah buatkan duit ayah habis beribu ribu untuk aku, untuk masalah aku. Aku sedaya upaya tak nak susahkan ayah walau satu sen pun sebab aku tahu aku menumpang.
Aku cakap, ayah tak pernah nampak bila aku dan suami beli barang dapur banyak-banyak. Ayah tak nampak bila aku korbankan keinginan aku makan itu ini bila aku fikir ayah teringin nak makan apa.
Aku sanggup makan tak ada lauk asalkan ayah kenyang makan hari tu. Kalau aku ada duit sikit, perkara pertama aku akan tanya ayah ialah :
“Ayah nak makan apa? Nanti Along belikan. Ayah cakap je. Bagitahu je ayah nak apa. Kalau Along dapat cari, Along beli.”
Bila aku mampu beli makanan kesukaan ayah, bahagia hati aku bukan kepalang bila tengok ayah kenyang makan menambah berkali-kali.
Sebab ayah sakit. Dah lama ayah sakit, sakit buah pinggang. Dua-dua dah rosak. Cuma tunggu masa untuk dialisis.
Tapi ayah tak pernah pun nak pandang aku. Kalau ayah pandang aku, ayah pandang dengan pandangan menghina, sinis dan merendahkan.
Bukan sekali dua ayah cakap aku ni haiwan, ayah samakan aku dengan babi. Monyet. Anjing. Ayah selalu cakap kalaulah aku bukan manusia, ayah dengan senang hati sembelih leher aku.
Ayah cakap, adik aku jauh lebih baik daripada aku. Sebab adik aku ada Diploma. Aku tak ada. Adik aku ada kerja. Aku tak ada.
Masa ayah cakap macam tu, aku rasa hati aku retak seribu. Retak berkeping-keping. Hancur sehancurnya. Patutlah ayah tak pernah nak pandang aku.
Patutlah ayah tak pernah sayang aku. Patutlah layanan ayah berbeza sangat-sangat sejak dulu. Adik minta apa je, terus dapat. Kalau aku minta, penampar sepak terajang aku dapat. Kalau dimaki hamun itu masih dikira bernasib baik.
Selama ni aku ingat ayah marah sebab aku kahwin muda. Selama ni aku ingat ayah marah sebab aku tak teruskan persekolahan aku. Aku budak pandai.
Tiap tahun aku naik pentas ambil hadiah, dapat anugerah itu ini. Aku tunggu ayah ucap tahniah. Aku tunggu ayah cakap ayah bangga. Sampai sekarang aku tunggu. Tapi lepas ni aku tak tunggu lagi dah. Sebab aku dah tahu aku di mata ayah, aku siapa.
Hari tu juga ayah halau aku. Tapi aku tak pergi. Bukan aku tak ada perasaan malu. Ada. Tapi aku tak pergi sebab mak. Sebab aku risaukan mak. Mak tak sihat. Mak ada kanser.
Mak ada sakit jantung. Mak ada masalah paru-paru. Batuk mak menjadi-jadi. Semenjak kebelakangan ni mak kerap bagitahu mak selalu mengantuk sangat-sangat tanpa sebab.
Mak kerap mengadu mak lupa jalan balik kalau mak pergi kemana-mana. Mak kerap mengadu fikiran mak selalu kosong.
Ayah pun bukannya sihat sangat. Selalu aku urutkan lengan dan betis ayah kalau ayah sedang sakit. Aku urut ayah dengan perasaan kasih dan sayang yang melimpah ruah.
Aku urut ayah dengan harapan ayah akan pandang aku. Tapi tak. Ayah masih tak pandang aku. Ayah tak pandang aku pun sampai ke hari ini. Sebab aku bukan sesiapa di mata ayah. Aku baru tahu.
Aku sedaya upaya tak nak susahkan ayah. Aku dan suami sedaya upaya tak nak libatkan ayah dalam apa pun masalah kami. Hari tu tayar motosikal pancit tengah jalan. Rumah masih jauh. Bengkel jauh. Perumahan jauh.
Mati akal kami berdua dibuatnya. Suami cadangkan aku telefon minta ayah tolong ambil dan tarik motosikal kami berdua tapi aku tak nak. Aku tak nak susahkan ayah sebab aku tengok ayah penat balik kerja.
Lupa aku nak bagitahu, ayah seorang penjawat awam dan akan bersara beberapa tahun lagi. Kerjanya aku rahsiakan sebab mungkin seorang dua yang mengenali dan mengetahui layanan ayah padaku nanti.
Lagi pun aku tahu kalau aku telefon minta tolong ayah, ayah akan cakap :
“Kau memang tak guna. Ada je kerja kau nak menyusahkan aku. Kau tak boleh nak tengok aku senang sikit. Kenapalah kecik-kecik dulu kau tak nak mati.”
Aku hafal ayat tu sebab ayah selalu cakap macam tu tiap kali aku minta tolong. Sebab tu aku tak nak minta tolong biar apa pun yang terjadi.
Biarlah aku susah macam mana pun. Aku tak akan cakap apalagi bagitahu ayah.
Masa bekas suami aku curang, aku hilang arah. Nak mengadu dekat mak, mak sendiri tengah susah hati sebab adik yang masa tu masih belajar asyik minta duit dengan alasan membeli barang keperluan untuk belajar. Aku tahu adik bohong sebab aku selalu nampak status
Whatsapp adik di mana. Kelab malam, tempat karaoke. Pantai. Minum sampai mabuk, sampai bergaduh.
Tapi aku tak pernah bagitahu mak dan ayah sebab aku kesian kalau mak stop bagi duit, nanti adik nak makan apa kat tempat orang? Adik tak pandai simpan duit sendiri sebab dah terbiasa dimanjakan sejak kecil.
Apa yang ada dalam dompet, itulah yang akan dihabiskan dalam masa itu juga. Kadang-kadang adik tak makan beberapa hari kalau mak belum kirim duit. Sebab tu aku diam.
Aku tak nak adik pergi kuliah dengan perut kosong. Aku kalau lapar, aku boleh suruh suami aku belikan. Adik kalau lapar, kalau duit tiada, dia nak suruh siapa? Sebab tu aku tak pernah cakap apa-apa.
Aku hampir histeria bila dapat tahu bekas suami aku curang. Perempuan simpanan dia sendiri yang mencari aku dan memberitahu segalanya, meminta agar aku mengundurkan diri dari perkahwinan kami kerana bekas suami aku dah berjanji nak mengahwini perempuan tu.
Adat kami, lelaki tak boleh beristeri lebih dari satu. Untuk makluman, aku Non-Muslim.
Pandang muka anak, aku meraung. Aku tak tahu nak mengadu pada siapa. Nak mengadu kat mak? Aku tak mahu. Aku tak nak tambah beban fikiran mak.
Masa ni cuma ada seorang je yang aku harapkan sangat. Ayah. Aku nak sangat peluk ayah sambil cakap lelaki tu dah sakitkan hati aku.
Aku nak sangat peluk ayah sambil mengadu betapa malang nasib aku. Aku nak sangat peluk ayah sambil bagitahu betapa hancur hati aku.
Dan aku harap sangat ayah akan datang, peluk dan tenangkan aku, bagitahu yang ayah ada untuk aku. Aku harap sangat ayah bagitahu dia akan cari dan marah bekas suami aku sebab sakitkan hati anak perempuan dia.
Aku selalu baca dan tengok perempuan lain sangat disayangi oleh ayah mereka. Memang tak semua tapi ada. Ayah merekalah hero hidup mereka. Macam aku. Ayah akulah segalanya bagi aku, walaupun bagi ayah ketiadaankulah kebahagiaannya.
Tapi tak. Ayah kata :
“Padan muka. Kahwin lagi dengan lelaki miskin tak setaraf dengan kita. Orang macam dia otak mereka otak bodoh. Fikir sedap je. Fikir senang fikir kenyang perut mereka je.
Kau yang bodoh. Memang patut pun dia buat macam tu kat kau. Kalau kau cari lelaki kaya, hidup kau tak macam ni. Tapi rasanya mana ada lelaki kaya nakkan kau. Sudahlah tak belajar tinggi, memalukan aku.”
Masa aku kahwin sekali lagi, ayah tak cakap apa-apa. Suami aku yang kedua ini, syukurlah. Baik. Sangat memahami.
Tapi aku tak nak cerita sangat pasal orang lain. Sebab aku hanya nak bercerita pasal ayah. Ayah yang paling aku sayang. Kalaulah aku mampu nak berdepan dengan ayah seorang diri, aku nak sangat tanya :
“Tak ada ke, walau sikit pun tempat untuk saya dalam hati ayah?”
“Tak ada ke, walau sikit pun kelebihan saya untuk ayah banggakan?”
“Tak ada ke, rasa sayang ayah untuk saya?”
“Tak ingat lagi kah perasaan ayah bila saya lahir dulu? Ayah tak ingat lagi kah, bila kali pertama ayah dengar saya panggil ‘ayah’?
Ayah tak ingat lagi kah, bila kali pertama ayah tengok langkah pertama saya belajar berjalan? Ayah tak ingat lagi kah, bila kali pertama ayah hantar saya ke sekolah? Ayah tak ingat semua tu?”
Aku nak sangat tanya macam tu. Tapi aku takut. Aku takut ayah cakap yang sebaliknya dan aku takut aku tak boleh nak terima. Dan hari tu aku tahu ayah langsung tak sayang aku.
Ayah cakap dia lebih sayangkan adik. Hancurnya hati aku masa tu, hanya aku dan Tuhan yang tahu. Betapa remuknya perasaan aku. Terasa bagai dunia sekeliling aku berhenti berputar. Masa tu aku cuma ada satu rasa. Rasa nak mati.
Kalau sekalipun tak ada rasa sayang itu, tak boleh ke ayah tipu aku? Ayah tipulah aku. Ayah cakaplah ayah sebenarnya sayang aku tapi ayah hanya masih marah sebab aku kahwin dengan lelaki bukan pilihan ayah walaupun itu semua tipu.
Ayah cakaplah ayah sebenarnya sangat bangga dengan aku tapi ayah tak nak tunjukkan sebab tak nak aku lupa diri walaupun itu semua tipu.
Aku rela ayah tipu aku, supaya aku tak rasa diri aku kerdil dan kecil sangat. Aku rela ayah tipu aku, supaya aku tak rasa menyesal lahir ke dunia.
Ayah tak sedar ke, anak ayah yang hampir 100% seperti ayah adalah aku? Aku mewarisi hampir kesemua perangai ayah. Yang paling nyata, panas baran.
Ya. Aku panas baran. Sama macam ayah. Keras kepala. Ya. Aku keras kepala. Sama macam ayah. Degil. Ya. Aku degil. Sama macam ayah.
Sejak kecil aku ikut semua pertandingan akademik, semata-mata nak banggakan ayah. Aku cuma tak pernah bersukan sebab aku gemuk.
Hahahaha. Jadi aku tak pernah ikut berlumba. Jangan tanya kenapa. Aku habiskan masa remaja dan zaman persekolahan aku berkawan dengan buku-buku. Hanya satu. Aku nak ayah bangga dengan aku.
Aku nak tengok ayah senyum bahagia sebab aku. Tapi rasanya sampai bila-bila aku takkan pernah dapat senyuman ayah untuk aku.
Setiap tahun, aku selalu bagitahu ayah untuk datang ke sekolah tengok aku naik pentas terima hadiah terima sijil. Aku nak ayah dengar sendiri cikgu-cikgu dan Pengetua puji aku depan ayah, supaya ayah tahu aku mampu buat ayah bangga.
Tapi ayah tak pernah datang. Ayah tak pernah tunjuk muka. Kalau aku balik ke rumah tunjuk hadiah dan sijil yang aku dapat, ayah pandang sekilas dan buat tak tahu.
Ayah memang baik. Semua orang puji ayah baik. Betul. Ayah memang baik. Cakapnya lembut, nadanya halus, tenang. Muka ayah manis.
Aku suka tengok bila ayah senyum, apalagi bila ayah ketawa.
Aku rasa ayah akulah ayah paling handsome dalam dunia ni. Macam aku rasa yang mak aku lah mak paling cantik dalam dunia ni, sayang mak. Dan.. sayang ayah jugak.
Tapi kalau bercakap dengan aku, ayah jadi orang lain. Ayah herdik, ayah hina, ayah tengking aku. Ayah tak peduli kalau aku terasa. Aku tak pernah menangis depan ayah.
Setitis pun aku tak pernah biarkan air mata aku menitik. Aku hanya akan menangis bila ayah pergi. Sebab aku tak nak ayah nampak aku menangis, nanti dia anggap aku lemah, lagilah ayah tambah satu lagi sebab ayah tak pernah bangga dengan aku. Aku tak nak.
Kalau korang pertikaikan kenapa tak keluar dari rumah tu padahal ayah dah halau, orang dah tak sudi nak pandang muka aku lagi, tak apa.
Aku tak marah kalau korang kecam. Sebab aku hanya nak menunaikan bakti sebagai anak untuk kali terakhir. Hidup aku bukannya lama sangat lagi. Bila-bila masa aku boleh pergi.
Hari tu aku pergi hospital, doktor suruh aku buat pembedahan tapi aku tak nak. Biarlah. Aku tahu anak-anak aku masih perlukan ibu. Aku tahu tu. Tapi aku tak nak berubat. Nanti makin lama aku hidup makin ayah rasa terseksa.
Panjang luahan hati aku. Maaflah. Aku tak nak buat banyak part. Sebab aku takkan bercerita lagi di sini.
– Along (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit