Assalamualaikum w.b.t. Hai semua.
Sejak akhir2 ni aku tengok macam ada kecenderungan untuk ‘negative vibes’ kat ruangan iium-confession ini. Lebih kepada nada kecewa, menyesal, sakit, trauma, marah, dan lain2. Setiap kali aku baca, aku mendoakan supaya empunya badan dapat bangun semula dan memperbaiki hidupnya.
Sebagai manusia biasa yang lemah, aku juga ada masanya jatuh dan terduduk. Sakit, disakiti, dikhianati, kecewa, putus asa, menangis tanpa henti, rasa nak mati (sebab hidup ni terasa sakit sangat2).
Tapi aku tak tahu, atas dasar apa aku boleh bangun balik? Mungkin juga berkat doa ibu bapa, adik-beradik dan kawan2 yang tidak putus2 mendoakan aku. Aku juga tidak putus berdoa di sepertiga malam. Penat atau letih macam mana pun, aku pastikan aku akan bangun paling kurang 15 minit sebelum masuk waktu subuh.
Cukup sekadar aku solat tahajjud, dan kemudian aku berdoa berlinangan air mata mengadu kepadaNya sehinggalah kedengaran azan subuh. Aku juga akan mencari waktu untuk solat duha pada waktu pagi untuk menenangkan hatiku dan buat aku fokus dengan kerja seharian meskipun aku serabut dengan masalah2 peribadiku.
Aku bukanlah terbaik untuk berkongsi, dan aku sendiri pun hari2 struggle untuk terus kuat dan bertahan dengan ujian Allah. Walau bagaimanapun, aku cuba untuk kongsikan secebis pengalaman aku yang mungkin boleh dijadikan panduan ketika mana sedang jatuh dan kecewa:
1. Kalau perlu menangis, menangislah sepuasnya tetapi letakkan hadnya.
Bagi aku, tidak salah untuk menangis dan meluahkan kekecewaan. Memerlukan masa untuk sendirian, menangis, merajuk sendirian, melayan perasaan. Sebab perasaan itu perlu dihargai sama ada ia positif atau negatif.
Cumanya, untuk perasaan negatif, tetapkan hadnya. Jangan berlama2 dengan perasaan tersebut. Nak bengkak mata untuk menangis? Sehari? Dua hari? Perlu ke sampai berminggu2 dan berbulan2? Jangan sampai jadi macam kassim selamat nanti. Hehehe.
Di sini penting untuk ‘memaksa’ diri. Sakit macam mana pun perasaan, bangun untuk solat wajib. Jika terlalu lemah dan hanya menangis tak terdaya, zikir banyak2. Lawan perasaan sekuatnya. Bila dah boleh bangun untuk solat, qadha semula solat yang tertinggal. Buat solat taubat dua rakaat.
Biarpun badan terasa berat, paksa diri. Paksa diri untuk mandi untuk selesakan diri, makan untuk tenaga, dan paksa untuk bangun pergi kerja meskipun di sana kurang rasa nak fokus. Zikir banyak2, baca selawat nabi atau apa2 ayat amalan bagi menguatkan diri.
2. Alihkan tenaga kepada perkara lain
Ya, kadang2 ada masalah kita tak boleh selesaikan dalam keadaan cepat, terutamanya jika masalah itu membabitkan sikap orang lain dan mengganggu urusan hidup kita. (contoh, ada boss yang terlalu strict dan toxic, rakan sekerja yang suka mengadu domba, ibu bapa yang menekan dll).
Jadi, daripada memikirkan penyelesaian yang tidak boleh kita capai (maksudnya kita pun tak mampu nak buat apa2 kerana banyak kekangan dan halangan sekarang ini), alihkan tumpuan sebentar kepada perkara2 lain.
Macam aku, aku ada isu family dan kewangan yang sangat complicated. Jadi, aku cuba alihkan tenaga aku kepada fokus kerja. Aku bagi perhatian dan komitmen sepenuhnya di tempat kerja.
Kadang2 aku sendiri tawarkan diri untuk buat kerja2 tertentu hanya kerana aku nak alihkan tenaga aku kepada sesuatu yang positif, memberikan tenaga positif kepada orang lain dan seterusnya untuk aku memotivasikan diri sendiri yang aku sebenarnya tidaklah seteruk yang aku sangkakan.
3. Besarkan (fokus) pandangan kita terhadap perkara2 positif dalam hidup.
Aku sekarang sedang sarat mengandung. Disebabkan aku cuba tumpukan tenaga aku kepada kerjaya aku, ramai yang tegur, “ish awak ni.. Tak penat ke? Awak sarat kan? Sudah2lah..” aku cuma senyum dan menjawab “takpelah, sementara saya kuat dan mampu, saya buatlah.”
Awalnya aku sebak dan menangis bila balik rumah, mengenanangkan nasibku. Apa nak buat, perut sarat, patutnya rehat.. Patutnya ada ahli keluarga dok dekat untuk jaga aku, patutnya makan makanan berzat, patutnya ada duit lebih boleh beli vitamin kesihatan, patutnya ada duit untuk beli barang baby.. patutnya.. Patutnya..patutnya..
Tapi selepas beberapa ketika, aku lawan ‘mainan hati’ aku. Dan aku gantikan dengan ayat yang lebih positif.
“Ya Allah, aku syukur. Meskipun aku sarat, Kau tak berikan aku komplikasi masa mengandung. Tubuh badanku kuat. Meskipun aku makan makanan kurang zat, hemoglobin aku cantik.. Hanya makan pil dari klinik kesihatan sahaja. Bacaan gula aku ok, tekanan darah ok. Walhal, aku seringkali menangis dan stress dengan ujian hidup.
Ya Allah.. Kau Maha Pemurah.. Kau mudahkan urusan aku mengandung ya Allah. Aku bersyukur. Kau juga kirimkan sahabat dan saudara-mara yang banyak menghadiahkan barang2 baby meskipun aku tak pernah meminta mereka. Aku bersyukur.. Aku bersyukur.. ”
Perkara ini buat aku rasa bahagia dan tenang. Tentang masalah2 aku yang boleh aku selesaikan, aku selesaikan segera. Yang tak boleh aku selesaikan, aku mengadu pada Dia di sepertiga malam. Yang lain, aku belajar menghargai setiap satu nikmat yang aku ada.. Membesarkan pandangan mata hati aku terhadap nikmat itu untuk bersyukur dan redha dengan ketentuanNya.
Kalau dulu, bila orang tanya… “Kau ok ke tak?” aku dengan mudah menangis dan menceritakan tanpa selindung kepada sesiapa yang tanya.
Kini, aku lebih selektif. Aku hanya akan berkongsi dengan sahabat rapat sahaja. Selebihnya.. Aku akan senyum dan menjawab,
“Tak apa, aku OK.”
Sebab? Allah sentiasa ada.
– Seri (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit