Tak Dapat Berfikir

Assalamualaikum semua. Semoga sihat dan selamat. Pertama sekali saya minta maaf kalau penulisan ni macam tak tentu arah. Terima kasih bagi yang sudi membaca dan memberi nasihat.

Saya tulis kat sini sebab tak berani nak luah pada siapa-siapa lagi.

Untuk konteks saya wanita berumur awal 30-an dan telah berkahwin 5-7 tahun lalu, semasa masih bergelar mahasiswa dan siswi mengikut persetujuan ibubapa kami. Kami baru dikurniai anak pertama.

Sebelum itu kami tidak tinggal bersama dan saya memang menggunakan perancang tapi rezeki itu dari Allah SWT. Rancangan asalnya memang nak tunggu sampai ada rumah sendiri atau paling kurang pun lepas dapat pekerjaan tetap.

Berita gembira kami suami isteri tu bercampur dengan rasa takut. Kami masih belum tinggal bersama dan tiada pekerjaan tetap.

Kami kerja kontrak dan tinggal bersama mak ayah masing-masing di negeri masing-masing. Mak ayah kami semua pesara.

Tak lama selepas appointment klinik yang pertama tu suami dah kena balik negeri asal.

Lepas tu bermula pula perintah kawalan pergerakan sehingga kandungan saya full term. Saya sedih tiada suami di sisi sepanjang masa mengandungkan anak kami yang pertama.

Yang pernah melalui sahaja yang boleh faham. Tapi alhamdulillah saya sempat sediakan semua keperluan anak kami sendiri, dan suami akhirnya sempat juga sampai untuk kelahiran dia.

Walaupun suami tak dibenarkan masuk hospital masa tu, apatah lagi masuk labour room.

Bayi kami berusia 3 bulan bila saya terpaksa kembali bekerja dan suami tidak lagi bekerja. Walaupun gaji saya di bawah minimum wage, itu sahajalah punca pendapatan kami yang ada sekarang.

Kami beranggapan situasi ini untuk sementara sahaja, tak lama lagi saya akan berhenti dan boleh menggantikan suami sebagai surirumah sepenuh masa. Dan masa pun berlalu.

Suami semakin tertekan atas kehilangan sumber pendapatannya, rasa bersalah tinggal dengan mertua begitu lama, dan saya percaya suami saya mulai depressed. Tapi saya tidak tahu bagaimana nak tolong suami saya.

Hakikatnya saya tak pernah berhenti merasa murung. Sewaktu melahirkan anak kami saya redha meninggal masa tu juga.

Sebelum saya kembali bekerja lagi anak saya dah tak mahu menyusu badan. Saya cuba beberapa jenis pam susu untuk mencari yang sesuai tapi hasil yang saya dapat tidak pernah cukup.

Saya salahkan diri sebab tak reti nak bersyukur, saya tetap murung. Bila anak saya menolak direct feeding saya lagi bertambah stress.

Saya bukanlah menentang pemberian susu formula kepada bayi, cuma saya personally merasa seolah saya kehilangan sebuah hak saya sebagai seorang ibu.

Mungkin saya bersalah dalam hal ni. Saya menyimpan rasa tidak puas hati dengan suami. Saya yang melalui keperitan mengandung dan melahirkan anak kami sendirian tanpa dia di sisi.

Tapi saya pula yang tidak menikmati hubungan rapat dan mesra dengan anak saya sendiri.

Saya kena keluar bekerja sebab di situ satu-satunya punca pendapatan kami, tapi anak saya lebih suka ayahnya daripada saya.

Setakat mandikan dan beri makan sarapan sebelum keluar bekerja, bila waktu selebihnya saya tidak bersama anak manalah anak saya nak rapat dengan saya kan.

Walaupun saya ingatkan diri saya yang logiklah bila anak lebih rapat dengan ayah yang bersama dia sepanjang masa, saya tidak dapat hilangkan rasa seperti dikhianati oleh suami.

Masa tu kadang-kadang bila saya tengok muka anak, saya menangis semahunya. Rasa bersalah, sedih, nak berputus asa, semua fikiran-fikiran yang tak betul akan kembali.

Saya malah pernah terlintas nak bawa anak pergi bersama saya.

Hanya disebabkan saya dah bertahun hidup dengan kemurungan ni dan boleh kenal bila saya mula berfikir yang bukan-bukan, jadi saya sempat hentikan diri saya. Yet still saya tak tahu bagaimana nak tolong suami.

Saya mula keraskan hati dengan anak supaya tak berulang lagi. Saya masih mandikan anak dan beri makan,

Cuma saya tidak lagi kisahkan tangisannya meminta perhatian di luar situasi yang memerlukan. Lama-kelamaan saya mula berharap saya akan terbangun suatu hari dan semuanya hanya mimpi.

Sekarang kami membuat persiapan untuk suami pulang ke negeri asal semula dan meneruskan pencarian pekerjaannya di sana. Mak ayah saya bersetuju untuk menjaga anak kami supaya saya boleh teruskan bekerja.

Kadangkala saya berharap kontrak saya tidak terus disambung dan saya tak perlu membuat keputusan berhenti sendiri supaya boleh pergi bersama suami.

Tapi saya tak berani meninggalkan satu-satunya punca pendapatan kami buat masa ini, apatah lagi sejak saya dah habiskan hampir semua duit simpanan saya sepanjang PKP.

Dalam masa yang sama, saya rasa sangat lemah untuk teruskan bersendirian tak tahu berapa tahun lagi sebelum suami dapatkan pekerjaan yang kami perlukan.

Saya faham zaman sekarang memang biasalah untuk kedua-dua suami isteri bekerja.

Tapi itu terpulang kepada masing-masing dan saya bersama suami memang telah bersetuju untuk memainkan peranan tradisional. Kami berdua mahu saya yang menjaga anak kami sendiri.

Cuma things simply didn’t happen as we’d hoped. Saya selalu diberitahu perkahwinan akan meluaskan rezeki,

Tapi bila kami berkahwin kami tidak berpeluang tinggal bersama sehinggalah suami hilang pekerjaan, sedangkan masa tu kami baru diberi amanah seorang anak untuk dijaga dan dibesarkan.

Berapa lama lagi masa yang sesuai untuk saya tunggu sebelum berhenti kerja dan membawa anak kami untuk join suami di tanah seberang?

Saya sangat takut jika saya ended up menunggu sehingga tidak mampu mengandung lagi, atau saya berhenti dan join suami tapi dia masih juga tidak dapat sebarang pekerjaan.

Dan tolong jangan membuat andaian dan kecam suami saya; dia dah buat semua yang termampu selama ini.

– Bunga (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *