Tak Dapat Melupakan

Assalamualaikum. Saya merupakan isteri orang yang telah mendirikan rumah tangga hampir satu dekad.

Saya sayangkan suami dan anak-anak. Tetapi…. Saya mempunyai sejarah silam yang tidak dapat dilupakan.

Zaman muda remaja dahulu, saya mempunyai seorang kekasih yang sangat baik dan menepati segala ciri-ciri lelaki idaman saya.

Kami berpisah semasa dia di tahun akhir, kerana hal yang remeh dan kerana dia ingin menumpukan pelajarannya tanpa sebarang gangguan.

Saya patah hati hanya tuhan yang tahu. Saya bersungguh-sungguh merayu untuk dia menerima saya kembali. Semasa saya di tahun akhir, saya putus asa dan hampir mengabaikan pelajaran dan ingin pulang ke kampung.

Kami tidak pernah melakukan apa-apa perkara tidak baik dan hanya bersama selama lebih kurang setahun setengah.

Beberapa tahun selepas putus, saya masih menghubungi sehinggalah suatu hari dia menegaskan supaya saya berhenti berharap.

Dua tahun kemudian, saya berkawan baik dengan suami di tempat kerja. Suami menyatakan hasrat mahu memperisterikan saya. Saya berbelah bahagi kerana masih sayangkan bekas kekasih.

Saya tahu dia juga masih sayangkan saya. Saya menyatakan hasrat mahu menyambung semula perhubungan kami. Saya ditolak mentah-mentah buat sekian kalinya.

Bila saya dan suami sudah mula menyulam bibit-bibit cinta dan ingin ke tahap seterusnya, si dia datang dan menyatakan bahawa dia masih teringatkan saya dan sudikah saya bersama dia kembali.

Tanpa berfikir panjang, saya menerima. Dialah yang saya tunggu-tunggu selama ini.

Malam itu, saya terfikir.. bagaimana saya harus beritahu suami saya sekarang yang kami tidak boleh bersama, yang kami tidak boleh berkawan rapat lagi.

Kami hanya berkawan baik dan bukan kekasih, tetapi dia sudah menyatakan dia senang dengan saya dan mahu mengahwini saya.

Mengenangkan saya tidak sanggup putuskan persahabatan ini, apatah lagi kami sama tempat kerja dan tidak dapat mengelak satu sama lain,

Saya ambil keputusan putus semua dengan bekas kekasih saya itu setelah sehari menyambung perhubungan kami. Dia hanya diam.

Setahun kemudian, saya menghubungi bekas kekasih kembali untuk memaklumkan yang saya bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi dan bakal bertunang pada waktu terdekat.

Dia tenang dan menyatakan dia sentiasa doakan kebahagiaan saya. Tetapi sebaliknya yang saya baca di status media sosialnya. Dia menyatakan kekesalan kerana sudah kehilangan saya selamanya.

Sekarang, setelah 11 tahun kami putus di zaman belajar, saya dapat tahu dia telah bertunang. Hati ini sedih sekali. Kenapa begitu sukar melupakan?

Kami bersama hanya kurang dari 2 tahun. Dia tidak pernah sentuh saya, dia juga bukanlah kekasih yang romantik dan begitu menjaga.

Hanya biasa, hampir seperti kawan baik sahaja selama kami berkasih. Kami juga jarang berborak di telefon dan bermesej seperti kekasih lain.

Apakah yang membuatkan kami begitu sayang sehingga tidak dapat melupakan?

Saya menghubungi dia untuk mengucapkan tahniah atas pertunangan. Dia bakal mendirikan rumah tangga dalam masa dua minggu sahaja.

Saya sangat sedih dan teringatkan dia. Saya tahu dari mesejnya, dia juga sama.

Dia sudah lama kenal tunangnya, semasa di zaman persekolahan, tapi terjumpa kembali dan terus ingin bernikah. Bercinta selepas nikah.

Dia juga pernah menyatakan tidak dapat menjelaskan kenapa kita sayang seseorang. Setelah bertahun lamanya, perasaan itu masih sama.

Inilah yang dikatakan sudah tiada jodoh. Saya berasa sangat berdosa kerana sebagai seorang isteri, masih menyimpan perasaan pada bekas kekasih.

Sudah puas saya membuang perasaan ini. Saya bermesra dengan suami, bermanja-manja dengan harapan dapat melupakan. Semakin tinggi sayang pada suami, tetapi masih tidak dapat melupakan.

Saya tahu dia juga sama. Tuhan, tolonglah buang perasaan ini daripada hati kami. Tolonglah kami menghindari dari zina hati. Saya mahu lupakan dia sampai bila-bila.

Dia juga harus lupakan saya selamanya. Mengapa begitu perit sekali?

Saya hanya mengenalinya selama 2 tahun, sedangkan saya bersama suami sudah 9 tahun. Kenapa masih tidak dapat melupakan walaupun sudah ada pengganti? Ujian apa yang kau berikan pada kami?

Pergilah dari hidupku, fikiranku, hatiku. Buanglah juga aku dari hatimu.

– Lily (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *