Hi kepada semua pembaca. Nama aku Bulan (nama samaran). Berumur lewat 20 an.
Bila dah hampir 3 series ni, semestinya soalan yang paling kerap ditanya ialah ‘bila nak kahwin, bila nak kahwin?’ Dan aku pasti hampir semua orang pernah ditanyakan soalan begini kan?
Topik nak kahwin? Ya itulah apa yang ingin aku luahkan di coretan aku ni.
Aku belum berkahwin dan semestinya mempunyai impian untuk berkahwin. Tapi semenjak beberapa tahun lalu menyebabkan aku rasa impian untuk aku berkahwin akan agak sukar.
Beberapa tahun lalu pandangan mata aku makin teruk, dan aku hanya biarkan kerana aku fikir ini cuma rabun biasa.
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk bertemu dengan doktor mata. Hancur luluh hati aku bila aku disahkan menghidap penyakit mata. Pencuri penglihatan dalam diam.
Aku yang aktif mulai perlahankan aktiviti harian aku. Kerana bila aku terlalu aktif, akan menyebabkan mata aku agak tidak selesa.
Aku juga tidak sekerap dulu memandu. Kata doktor pandangan mata akan semakin sempit dan jika tidak dijaga sebaiknya akan menyebabkan kebutaan kekal.
Aku berkenalan dengan seorang lelaki yang akan aku namakan dia Imran. Aku sudah lama mengenali Imran sejak zaman sekolah.
Tapi kami mulai rapat apabila masing-masing sudah tamat pengajian di peringkat menara gading. Imran seorang lelaki yang agak baik.
Sepanjang perkenalan, perbualan sekadar perbualan biasa. Belum pernah aku dengar dia sebut perkataan kasar atau tak senonoh. Dia menyatakan dia suka aku. Dan aku menjelaskan tentang penyakit aku padanya. Awalnya dia okey sahaja.
Sampailah tiga tahun kemudian, dia menyatakan hasratnya untuk mengahwini aku. Tapi aku agak ragu, terus aku bertanya, sanggup ke dia menjaga aku andainya Allah SWT menarik nikmat penglihatan ini daripada aku?(Nauzubillahilminzalik).
Aku lihat dia agak terkejut dengan pertanyaan aku tu,dan dia mengatakan akan memberi jawapan tak lama lagi. Hari berganti hari, akhirnya dia menghubungi aku dan mengatakan aku dan dia akan kekal sebagai kawan sahaja.
Aku langsung tak rasa marah. Mungkin salah aku dulu, tidak terangkan betul-betul atau mungkin dia yang salah faham. Entahlah. Bagi aku tiada guna memujuk rayu. Aku biarkan dia pergi.
Selepas kejadian itu, aku dah tak rasa mahu mencari untuk waktu yang terdekat. Tapi ada seorang lelaki yang mengatakan dia sanggup menerima aku seadanya. Dia tak kisah tentang kekurangan aku. Aku juga mula berfikir untuk membuka hatiku padanya.
Tapi semua itu juga sementara, ibunya tidak menerima aku sebagai bakal menantunya. Masa aku dapat tahu tentang tu, aku rasa kosong saja. Sedih pun tak, marah pun tak. Mungkin aku dah jangka benda ni akan berlaku.
Iyalah kan, semua mak nak yang terbaik buat anaknya. Mesti mahu anaknya dapat isteri yang boleh bahagiakan, jaga makan minum.
Selepas melalui kejadian ini, aku sudah mulai putus asa dalam mana-mana hubungan. Bagi aku sendiri lebih baik. Mungkin aku memang tidak layak untuk sesiapa.
Aku bukanlah untuk menyalahkan takdir. Tapi ada waktunya aku juga kalah dan lemah. Aku malu untuk bercerita kepada sesiapa.
Setiap masalah atau down aku pendam sendiri. Senyuman palsu terpaksa aku ukirkan demi menutup segala kesedihan dan kekecewaan aku.
Bagaimana dengan masa depan aku. Aku sedih bila mak aku cakap siapa nak jaga aku nanti. Nak mengharapkan adik beradik yang lain, mereka juga ada kehidupan dan keluarga sendiri. Tapi aku yakin, mereka tak kisah untuk menjaga aku.
Bukan wang ringgit yang aku harapkan, cuma aku berharap para pembaca semua dapat mendoakan aku semoga aku dapat menikmati nikmat penglihatan ini sehingga akhir hayat aku.
Mana tahu salah satu doa kalian makbul. Dan semoga juga sesiapa juga yang sedang bertarung dengan penyakit diberikan kesembuhan olehNYA.
– Bulan (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit