Tak Mahu Anak Jadi Penjual Tisu Jalanan

Terima kasih admin IIUM Confession untuk penyiaran penulisan kami para ibu bapa kepada anak-anak OKU. Dua tahun yang lalu saya menimang cahaya mata yang ketiga iaitu seorang bayi perempuan yang cukup sifat dan comel.

Namun demikian, kami diuji dengan anak didiagnos menghidap ketidakupayaan penglihatan. Hati ibu bapa mana yang tidak sedih mengenangkan keadaan kesihatan anak sedemikian rupa. Namun begitu, kami tetap kuatkan semangat dan tabah demi masa depan anak OKU kami ini.

Sebenarnya, jauh di sudut hati saya dan suami mengenangkan masa depan anak OKU ini. Maklumlah kami langsung tiada pengalaman berhadapan situasi sebegini apatah lagi ilmu mahupun tempat rujukan serta sistem sokongan sebagai panduan kami.

Apa yang terlintas di fikiran kami setakat ini adalah kami harapkan agar anak kami mampu hidup berdikari dan menyumbang kepada diri, agama, dan dunia.

Kami tidak mahu sesekali anak kami menjadi penjual tisu jalanan apatah lagi meminta-minta simpati orang ramai. Biarpun bekerja sebagai juruurut terapi profesional itu pun sudah dikira berbakti kepada diri mengikut kemampuan.

Maka dengan itu, saya dan suami telah berusaha mendapatkan info berkaitan dunia OKU penglihatan sama ada secara Google mahupun bertanya terus kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Kami pernah mendapatkan pendapat daripada beberapa NGO, bertanya kepada guru-guru SKPK & PPKI, bertukar pendapat dengan para ibu bapa yang mempunyai anak OKU penglihatan, selain berborak dengan OKU penglihatan secara rawak (misalnya ketika bertembung dengan mereka di mana-mana).

Dari situ kami akan mendapat gambaran yang lebih telus menenai kehidupan OKU penglihatan yang sebenarnya.

Berdasarkan perkongsian daripada pihak guru serta para ibu bapa yang senasib, rata-rata menyatakan bahawa sekolah hanyalah medium kepada asas kehidupan anak-anak OKU.

Hal ini disebabkan terdapat banyak kekangan serta keterbatasan dalam membina potensi anak OKU yang benar-benar berdaya saing dalam arus kehidupan.

Sama dengan pendapat Ibu Kecewa dalam penulisan beliau di https://iiumc.com/bahagian-pendidikan-khas-tolong-perbaiki-kualiti-kerja/

Seterusnya kami melihat peranan NGO bagi golongan OKU penglihatan seperti,

PERTIS Malaysia, National Council Blind Malaysia, Malaysia Foundation for Blind, Society Blind Malaysia, Sarawak Society for Blind, Sabah Society for Blind, St. Nicholas Home, dan lain-lain masih perlu diberi penambahbaikan ke arah peluang kerjaya yang kukuh bagi golongan OKU penglihatan.

Kami dapati kebanyakan usaha difokuskan kepada bidang terapi juruurut, seni muzik, dan pengurusan pentadbiran. Namun demikian, kami dapati kebanyakan latihan sangat kurang memfokuskan perihal keyakinan diri serta komunikasi dalam berdepan dengan masyarakat.

Mungkin sebilangan ibu bapa mampu mencorakkan masa depan yang lebih cerah dalam membina jati diri si anak OKU, namun kebanyakan yang kami temui rata-rata terlalu sensitif apabila ditanya mengenai perihal masalah penglihatan diri masing-masing.

Dan apabila keyakinan diri rendah, maka kebanyakan mereka lebih memilih jalan pintas dalam mendapatkan wang bagi menyara kehidupan.

Ada sebilangan OKU penglihatan yang sempat kami bertegur sapa di jalanan yang agak peramah dan jujur mengaku kisah hidup. Ada antara mereka menceritakan pengalaman belajar hingga ke IPTA / IPTS, namun bertahun-tahun menganggur.

Isu ketidakpercayaan majikan, selain pemilihan bidang jurusan yang kurang ditawarkan dalam keperluan pasaran kerja. Dan kebanyakan mereka melalui perjalanan tamat SPM ke IPTA / IPTS kemudian latihan vokasional seperti terapi juruurut seterusnya pemuzik jalanan serta kerja sambilan menjual tisu.

Kemungkinan mereka terlalu banyak terpengaruh dengan jalan pintas memperoleh wang selain keyakinan diri serta motivasi yang tidak ditanam sepenuhnya dari kecil lagi.

Sikap terlalu bergantung pada elaun diberikan Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak sekolah rendah sehingga Elaun Pekerja Cacat nampaknya GAGAL membentuk jati diri OKU yang berdaya saing serta tabah menghadapi cabaran. Ya! Bukan semua OKU sedemikian.

Tetapi rata-rata yang kami temui kebanyakannya terlalu selesa dengan ‘Gaji Bulanan’ yang mereka peroleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Ada yang berpegang pada pendapat “Kami buat kerja halal. Menjual tisu. Bukan kerja haram mencuri atau berjudi,”. Ada juga yang berpegang pada pendapat “Kos sara hidup tinggi. Jadi terpaksa buat 2, 3 kerja seperti urut waktu pagi. Petang busking. Malam jual tisu,”.

Dan apa yang agak menyedihkan kami sebagai ibu bapa ialah kebanakan mereka yang menjual tisu ini adalah anak muda yang masih sihat tubuh badan serta kebanyakan mereka memiliki tahap pencapaian akademik yang bagus.

Kami mengharapkan akan ada sistem sokongan diwakili ibu bapa di Malaysia yang komited memperjuangkan masa depan anak OKU kita.

Kita ibu bapa tidak boleh terlalu mengharapkan sekolah mahupun NGO kerana mereka juga terikat dengan keterbatasan tersendiri.

Marilah kita para ibu bapa bersatu hati bersama pihak sekolah dan NGO menempatkan anak OKU kita di tahap yang selayaknya mengikut kemampuan masing-masing.

Kami para ibu bapa sangggat berterima kasih pada guru-guru pendidikan khas sama ada SKPK mahupun PPKI yang berjuang demi kemenjadian anak OKU kami.

Walaupun berdepan pelbagai rencam dan karenah birokrasi PPD / JPN / pegawai-pegawai yang tidak memahami anak OKU (tidak semua pegawai, tetapi kebanyakannya begitu). Kami bangga dengan semangat guru-guru pendidikan khas.

Maaf atas segala terkasar bahasa serta info yang mungkin kurang tepat. Inilah luahan ikhlas daripada kami ibu bapa kepada anak-anak OKU.

– SHA (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *