Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Tujuan menulis ini sekadar mencurahkan isi hati dan bukanlah aku mengeluh tentang perjalanan hidup yang sememangnya aku rasa Allah dah tentukan yang terbaik untuk setiap umatNya.
Kisah aku ini mungkin klise dan biasa berlaku pada semua orang. Kalau kalian nak share versi aku akan baca satu persatu nanti.
Aku anak perempuan sulong dibesarkan dalam keluarga yang bahagia, mak, abah dan adik. Walaupun kami miskin pada masa aku membesar, aku tidak pernah mengeluh kerana aku tahu kemiskinan itulah mengajar aku kuat dan berjaya seperti hari ini.
Aku bangga mempunyai mak yang sangat kuat dan dialah juga kekuatan aku untuk buatkan dia bahagia dan tersenyum seperti hari ini. Dia bangga ada aku sebagai anak sulongnya dan akulah kepala keluarga semasa 11 tahun abah strok.
Mak aku berkahwin dengan lelaki bukan kesukaan nenek dan datuk aku. Abah aku adalah anak yatim piatu yang dibesarkan oleh abangnya mempunyai lebih 10 anak.
Pendidikan setakat darjah tiga, dia bekerja sebagai buruh kasar di kilang simen. Kasar sangat kerja abah aku n sebab sampai rambut pun keras kena simen. Cuma abah aku hensem la bak kata orang kampong.
Mak aku pula buta huruf tidak pernah jejak kaki ke sekolah dan bekerja kilang sehingga aku habis belajar.
Tapi dia punya garang mengalahkan cikgu. Dia nak bakar buku-buku aku bila cikgu komplen aku tak buat kerja rumah. Sumpah aku takut buku kena terbakar, apa nak tunjuk kalau cikgu tanya.
Kemiskinan ini tidak pernah membakar jiwa aku untuk membenci sesiapa tetapi sikap pilih kasih keluarga mak membuat aku memendam beribu parut dan luka.
Kata-kata hinaan kepada abah aku yang menumpang hidup di tanah nenek, sindiran-sindiran yang melukakan hati orang tua aku sangat terkesan pada diri aku.
Di sekangkang kera tanah nenek itu, ada beberapa rumah adik beradik emak yang sama-sama menjalani kehidupan. Beza membeza tentang kepandaian, kebijakan dan kerajinan menjadi asam garam sepanjang aku membesar.
Aku ada ramai sepupu perempuan di mana semuanya lebih kurang sebaya dan ada juga yang sebaya. Mereka ini tidak pernah menganggap aku sebagai ahli keluarga sebaliknya aku seperti tidak wujud walaupun membesar depan mata.
Aku dua beradik selalu diasingkan dalam apa-apa keadaan sejak dulu hingga kini. Tak kisahlah, bukan mati pun kan itulah ayat memujuk hati. Hahaha.
Setiap kali bulan puasa, masakan yang nenek masak akan silih berganti ke rumah anak-anak kesayangannya kecuali rumah aku.
Aku melihat dengan pandangan kosong walapun aku tahu hati mak aku menangis. Mak kata nanti dia gaji, kita akan makan sedap-sedap dan jangan sesekali meminta-minta dengan mereka.
Biar makan nasi dan air garam sekalipun, jangan meminta walau seulas bawang pun kata mak. Tak mati pun kan kalau tak dapat bubur lambuk nenek tu. Hari assyura, aku boleh beratur kat masjid la, kalau rajin beratur boleh dapat dua bungkus tau.
Setiap kali akhir tahun di mana ada penyampaian hadiah kecemerlangan akademik, nenek akan memberitahu mak yang dia mahu ke sekolah melihat cucu-cucunya ambil hadiah sambil menyebut nama-nama mereka tanpa nama aku adik beradik.
Sedangkan aku dan adik sejak darjah satu hingga darjah enam, tidak pernah berada di bawah top three.
Nenek pernah sindir adik aku yang ulang alik ke sekolah ada kelas tambahan supaya tidak perlu belajar sebab nanti akan kerja kacau simen sama seperti kerja abah aku.
Kata-kata ini tidak mungkin orang hina seperti kami ini dilupakan. Tapi tak mati pun la kalau kena sindir…. bukan kena petir.
Dengan hidup serba kekurangan, tidak semua kita mampu buat sebab duit itu memang menjadi penentu keputusan apa yang lebih rasional mengikut keadaan.
Aku dan adik memang agak bijak sejak dari kecil. Sehinggakan ada orang kampong tanya mak aku, apa dia bagi aku makan adik beradik boleh bijak. Hahaha… kalau dia tanya aku, confirm aku jawab kami makan kamus jer makcik.
Adik aku pernah menjadi pelajar terbaik di sekolah dan itu anugerah tertinggi pada masa itu. Dia ambil hadiah itu tanpa mak dan abah aku sebab kedua-duanya perlu bekerja dan jika tidak datang kerja, elaun akan dipotong.
Kecewa hatinya sebab mak dan abah aku tidak berdiri sama-sama dengannya di pentas. Adik aku campakkan piala itu setibanya dirumah dan menanggis semahunya. Pilu hati semua…. baik mak, abah dan aku.
Semasa aku pulang selepas mengambil result PMR, nenek bertanya berapa A yang aku dapat. Aku katakan aku akan beritahu dia selepas aku beritahu mak dan abah aku yang masih belum balik kerja.
Aku rasa dia tidak perlu tahu pun berapa aku dapat sebab aku bukanlah penting dalam hidup dia. Dia mencebik bila mak cakap aku dapat 5A dan 3B, katanya bukanlah pandai sangat sebab cucunya yang sebaya aku dapat 7A dan 1B. Tak mati pun la tak dapat 7A tu.
Dengan result yang agak baik, aku ada impian untuk sambung ke sekolah teknik tetapi pada masa yang sama adik aku perlu masuk ke sekolah berasrama.
Maka aku koyakkan borang yang aku ambil itu dengan deraian air mata. Duitlah masalah utama pada ketika itu. Aku katakan pada adik jangan dia sia-siakan peluang sebab aku telah berkorban untuk dia.
Alhamdulillah, aku berjaya juga ambil bidang kesukaan aku kejuruteraan di university walaupun aku sekolah harian. Sungguh Allah maha mendengar apa yang kita mahukan.
Semasa mendapat keputusan SPM lebih mengharukan bila nenek dengan suara yang kuat mengatakan cucunya lebih pandai sebab mendapat pangkat 1 dengan 14 agregate sedangkan aku cuma pangkat 1 dengan 11 agregate.
Mujurlah jiran yang dengar menerangkan pada nenek, yang lebih kecil aggregate lebih baik. Penat sebenarnya hidup dengan manusia yang macam ini. Agregate pun tak tahu binatang apa, lagi nak banding-bandingkan aku.
Masa ini aku sudah mula memberontak tetapi mak selalu ingatkan jangan sesekali aku bersikap kurang ajar dengan nenek.
Sungguh tidak seronok hidup dengan ahli keluarga yang saling bersaing menunjukkan siapa lebih pandai, siapa lebih hebat dan siapa yang akan ketinggalan.
Tiada langsung sikap saling membantu dan menyokong dalam persekitaran aku. Dengan memulaukan keluarga aku, mereka semua seolah-olah tidak suka kami bangkit dari kesusahan.
Ada sahaja kata-kata negatif ditalakkan di telinga. Makcik pakcik aku yang anak-anak kesayangan nenek bukanlah kaya raya atau bijak pandai tetapi menjadi dosa kalau kami adik beradik menjadi lebih pandai daripada anak-anak mereka.
Sedar diri tentang semua kekurangan yang ada disekeliling, aku terus melangkah tanpa menoleh lagi. Aku abaikan semua mereka sejak itu.
Jika ada kenduri kendara, aku pandai-pandai bawak diri. Jika nampak mereka ok, maka aku layankan berbual, membantu dan sebagainya. Jika tidak ok, aku akan angkat kaki lebih awal dan mak akan faham kenapa aku begitu.
Aku tidak kisah dan tidak pernah ambil peduli lagi tentang mereka. Aku bahagia mengamalkan cara ini sebab aku tidak perlu sakit hati atau berdendam.
Sesekali melihat nenek gelak ketawa bergurau dengan cucu yang lain, aku tertanya kenapa aku tak pernah dapat moment macam itu. Arghhh tak mati pun kan kalau tak dapat… pujuk hati lagi.
Syukur, walaupun dikelilingi ahli keluarga yang toksik begini, aku selalu dikurniakan Allah kawan-kawan yang baik.
Aku memang akan mempunyai klik yang kuat dari pelbagai kumpulan kawan sama ada sekolah rendah, menengah, university dan tempat kerja. Dengan sertai NGO juga aku punyai ramai kawan dari setiap negeri dan Negara lain.
Pendek kata kalau aku bercuti mana-mana dalam Malaysia ini, insyaAllah ada sahaja kawan yang akan ajak jumpa. Dunia kawan memang membahagiakan aku kerana ada antara mereka yang sangat baik mengalahkan darah daging sendiri.
Allah panjatkan usia nenek aku untuk melihat kesemua cucunya membesar, baik yang dia sayang atau yang dia menyampah. Aku cucu pertama dia yang dapat perkerjaan yang baik dan mampu pakai kereta selepas tiga bulan bekerja.
Ada juga cucu-cucu dia yang lebih tua dari aku tetapi kebanyakannya tidak belajar tinggi dan ada yang belajar peringkat diploma pun kerja di cashier pasaraya. Tapi nenek aku bangga jer dengan diaorang semua, pandai cari duit katanya.
Kereta aku yang agak sporty itu menjadi sejarah sebab tiada seorang pun anak-anak nenek yang pakai kereta dan akulah keturunan pertama dia yang beli kereta. Loan ajer pun tapi Alhamdulillah mampu la jugak kan.
Setiap kali gaji, mak aku akan paksa aku angkut nenek sekali bila kami nak pergi makan tempat best-best. Dan nenek aku suka yang amat bila aku bawa dia berjalan dan belanja makan.
Nama aku, nama kedai itu akan menjadi sebut-sebutan dalm tempoh sebulan sebelum gaji akan datang. Entah kenapa aku happy jugak bila tengok nenek aku macam tu.
Aku tidak pernah berdendam dengan dia dan kadang kala macam nak berterima kasih pun ada sebab perbezaan yang dia berikan itu menjadi titik positif pada aku adik beradik. Mak aku selalu cakap, biar orang buat kita, kita jangan buat orang.
Cuma anak-anak dan cucu-cucu nenek aku masih mewarisi sikap yang sama. Selepas aku mampu sedikit, aku sudah pun pindah jauh dari tanah nenek dan aku biarkan rumah mak aku di sana untuk anak cucu nenek aku yang kurang berkemampuan.
Mak masih tinggal dengan aku walaupun aku sudah berkahwin. Abah aku sudah pergi sebelum sempat merasa semua kesenangan ini. Terkilan juga aku namun Allah lebih sayangkan dia.
Aku sudah membawa mak menunaikan umrah beberapa tahun lepas. Ke mana-mana aku berjalan jauh atau dekat mak akan ada sekali melainkan berkaitan kerja.
Satu jer doa aku mohon dari korang, doakan aku dapat jaga mak aku lebih lama lagi. Korang jangan pernah terluka walau apapun dugaan sebab BINTANG YANG PALING BERSINAR ITU ADA DI MALAM PALING GELAP!
– Mawar Terpinggir (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit