Tak Nak Jadi Anak Derhaka

Salam, saya A. Berusia lewat 20-an. Berasal dari negeri di selatan tanah air. Kini bekerja dan menetap di Selangor.

Saya anak bongsu dari dua beradik. Kakak saya masih belum berkahwin. Saya pula sudah mempunyai teman lelaki dan bercadang untuk berkahwin dalam masa dua tahun lagi.

Saya belajar sampai peringkat ijazah, sementara kakak saya pula hanya SPM. Jadi, gaji saya lebih tinggi daripada kakak saya. Tapi tak adalah beza banyak, dalam seribu lebih saja.

Kakak saya tinggal bersama ibu bapa saya di selatan tanah air, sementara saya berhijrah.

Setiap bulan, saya akan memberikan sejumlah wang kepada ibu bapa saya tanpa pengetahuan kakak saya. Sebabnya? Saya tak nak kakak saya lepas tangan. Ibu bapa saya bukan orang senang.

Sampai sekarang hidup menyewa. Bapa saya yang bayar sewa rumah. Sementara kakak saya hanya bayar bil api dan air saja.

Kereta yang kakak saya guna pun, bapa saya beli cash dengan gunakan duit KWSP. Diletakkan atas nama kakak saya. Kiranya, duit kakak saya tu memang solely untuk diri dia saja.

Dan dia pula ada perangai berkira walaupun dengan ibu bapa sendiri. Alasannya, gaji dia kecil.

Duit dia hanya digunakan untuk diri sendiri dan buat simpanan ASB dan emas. Makan pakai dia pun ibu dan ayah masih tanggung walaupun dah berusia 30 lebih.

Sebab itulah, saya rahsiakan yang saya ada berikan wang kepada ibu bapa saya. Risau dia terus lepas tangan dan tak nak bayar apa pun.

Saya tahan saja telinga masa dia mengumpat dan berkata yang saya ni belajar tinggi tapi tak mampu bagi duit kepada ibu bapa sendiri. Semua resit transaksi, saya simpan.

Konflik saya sekarang, memandangkan gaji saya lebih tinggi, ibu bapa saya memang berharap sangat kepada saya untuk beli rumah di kampung halaman. Dengan harapan mereka dapat duduk di rumah itu dan tidak perlu menyewa lagi.

Masalahnya, mereka tak nak rumah murah-murah. Tapi mahukan rumah 250k dan ke atas. Ini agak membebankan buat saya. Sebab yang pertama, saya bukannya duduk di negeri berkenaan.

Jadi kiranya nanti, saya kena membayar dua rumah. Sebab yang kedua, saya masih tidak mempunyai aset sendiri walaupun kereta.

Hal ini demikian kerana tempat kerja saya dekat dengan rumah sewa, boleh jalan kaki dan tidak ada keperluan untuk saya memiliki kereta.

Saya lebih suka menyimpan dalam ASB. Jadi kalau beli rumah itu nanti, memang saya tak boleh buat apa-apa pinjaman lagi atas nama saya kerana sudah capai kapasiti maksimum kalau ikutkan gaji saya sekarang.

Silap-silap, saya kena ikat perut sebab bayaran bulanan agak tinggi. Dengan nak tampung kos kehidupan sendiri di Selangor lagi. Kos rumah sewa, makan minum, simpanan, nak bagi ibu bapa lagi.

Bila saya suarakan hal ini kepada ibu bapa saya, mereka marah saya balik. Mereka kata saya tak fikir masa depan. Pada masa muda macam nilah, saya kena beli aset dan kena berjimat.

Bila saya suarakan hasrat untuk beli rumah di Selangor saja sebab saya memang berniat nak bermastautin terus di sini, mereka membantah kerana mereka kata, itu tanggungjawab suami saya untuk bayar rumah itu lepas kami berkahwin nanti.

Kalau saya beli rumah sebelum berkahwin, seronoklah bakal suami saya. Goyang kaki saja masuk dalam rumah lepas berkahwin.

Saya terkedu apabila mendengar mereka berkata seperti itu. Kakak saya pun sama saja. Buat macam payslip gaji saya dia yang punya.

Mereka yang beria menentukan apa yang saya patut buat dengan payslip gaji saya. Memandangkan dia pun macam tak ada gaya nak kahwin dan memang akan menetap di negeri itu selamanya, saya cadangkan supaya dialah yang beli rumah di sana.

Rumah murah pun tak mengapalah yang dia mampu bayar, janji rumah sendiri. Tapi dia tak nak. Kata buruklah, jin bertendanglah, tak standardlah. Sama saja macam ibu bapa saya. Lepas itu paksa saya untuk memenuhi kemahuan mereka.

Bila saya cakap bayar setengah-setengah, dia tak nak pula. Kata tu rumah saya, kenapa dia yang kena bayar? Tapi bila saya beli rumah tu, dia pun nak duduk situ. Alasannya, nak jaga ibu bapa saya.

Yang paling saya kecil hati, mereka paksa saya untuk beli rumah sebelum kahwin supaya suami saya takkan halang saya untuk beli rumah tu nanti. Seolah-olah perkahwinan saya bakal menjadi satu peristiwa malang untuk mereka.

Padahal saya tahu tanggungjawab saya sebagai anak. Mana yang saya mampu, saya akan bagi. Tapi untuk beli rumah sekarang, sumpah saya tak mampu. Itu di luar kemampuan saya.

Saya tak mahu terjerat dengan hutang rumah 35 tahun di kala saya tahu saya masih belum betul-betul stabil.

Saya mahu ada simpanan yang betul-betul kukuh dulu. Dengan nak kumpul duit kahwin lagi. Saya tak mahulah hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang gara-gara nak membayar hutang rumah yang beribu ringgit.

Apa yang perlu saya lakukan? Saya tak mahu jadi anak derhaka. Terbeban betul rasa perasaan ni.

– A (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *