Tak Perlukan Lelaki?

Aku perempuan 30 tahun. Sepanjang aku hidup aku cuma ada Baba dan Along, lelaki terdekat dalam hidup aku.

Aku tak pernah bercinta atau dekat dengan mana-mana lelaki atas dasar suka. Masa sekolah mahupun uni apatah lagi zaman bekerja sekarang ni.

Aku masih normal. Pastinya pernah punya crush terutamanya ketika remaja. Tapi, hanya sekadar crush.

Waktu sebelum bekerja, ada yang cuba mendekat. Tapi aku yang selalunya bersikap dingin. Bukan jual mahal. Tapi jujur aku tak tau reaksi apa untuk aku beri.

Mungkin kerana aku introvert? Agak janggal tiba-tiba ada yang cuma mendekat?

Bila dah kerja ni makin ramai lelaki yang dah berkahwin dan bertunang. Jadi tiada siapa pun yang berani datang dekat.

Dan kerana sudah terlalu lama sendiri. Aku lebih selesa untuk sendiri, kemana-mana sendiri. Aku selesa untuk tengok wayang sendiri, makan sendiri, berbelanja sendiri, travel sendiri, ke bengkel sendiri, ke hospital sendiri. Apa sahaja aku buat kebanyakkannya sendiri.

Aku dan family juga sangat rapat. Walau selalu sendiri, tapi aku tak pernah rasa aku hanya seorang. Aku masih punya mereka. Mereka ada bila aku perlu dan bila mereka perlu aku ada.

Cuma, sejak akhir-akhir ini mama kerap meluah rasa. Dia nak anak perempuannya menikah. Mak mana tak risau bila anak daranya masih sendiri.

Aku sendiri tipulah jika kata aku tak cemburu tiap kali ada jemputan kahwin. Tiap kali yang lalu di timeline kisah bahagianya kawan-kawan dengan pasangan dan anak-anak mereka.

Macam-macam cara aku dah usahakan untuk jodoh. Kalian namakan apa sahaja online dating yang ada, pasti akan ada acc aku. Kawan kenal-kenalkan juga sudah. Segala amalan yang diajar para asatizah aku ikut. Tapi aku cuma ada Tuhan yang lebih tahu bila jodoh aku.

Terlalu lama sendiri, aku rasa lebih selesa jika aku sendiri. Pernah je aku terfikir yang aku mungkin akan terus sendiri. Hidup cuma untuk aku sendiri. Maacm mana bila dah tua nanti? Alhamdulillah, jika itu yang Allah tetapkan

Pernah aku terbaca, untuk bahagia kita tak perlu terlalu risau tentang masa depan dan jangan menyesal tentang masa lalu. Hanya usahakan apa yang kalian mampu.

Aku masih punya Allah untuk jaga aku. Aku tak rasa yang aku tak cukup berusaha untuk Allah makbulkan doa aku dan harapan mama.

Mungkin aku belum cukup ikhlas, redha, dan tawakal dengan apa yang Allah nak beri. Mungkin juga ujian untuk aku yang cuma Allah tahu hikmahnya.

Fitrah aku tetap sama seperti perempuan lain. Aku tak pernah rasa disayang lelaki selain darah daging. Cuma mampu ke lelaki terima aku yang terlalu berdikari?

– Hanum (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *