Tak Suka Buka Buku Pink

Assalamualaikum… Terima kasih admin sudi siarkan penulisan ini.

Sebenarnya kisah ni dah lama, anak alhamdulillah dah bersekolah. Tapi terasa nak berkongsi perasaan sebab aku juga suka baca pengalaman orang lain yang sesuai dengan situasi aku.

Selepas berkahwin pastinya teruja jika dapat mengandung, setiap bulan akan buat ujian air kencing tu beli alat test yang murah je di farmasi. Untuk anak pertama berdebar je nak tunggu double line. Ingat lagi waktu tu di tandas tanda tu kelabu je makin jelas sikit. Hati mula riang syukur.

Untuk lebih kepastian aku pergi klinik swasta, aku minta untuk scan betul ke ada kandungan. Teruja betul bila doktor kata ada nampak kantung. Bukan apa aku takut mengandung luar rahim. Doktor kata boleh buka buku pink.

Bila fikir nak pergi Klinik Desa malas betul.. Aku ada masalah dengan seorang jururawat di situ, sebab dia kenal keluarga aku yang ada masalah. Aku ni jenis tak suka jumpa orang yang tahu buruk aku. Biar jumpa orang yang tak kenal, kawan rapat pun tak ada. Suami lah kawan rapat.

Sebenarnya aku ada penyakit mental, pernah rasa tak ada siapa yang sudi jadi suami, tapi takdirnya bertemu jodoh dengan pesakit mental juga. Hidup kami ni mudah rasa terhina. Hikmah sakit mental aku tak pandang rendah mereka yang kena penyakit ni, sebab aku faham perasaan mereka.

Dengan rasa sedikit malu pergilah nak buka buku pink, aku bila nampak jururawat yang aku kenal ni rasa macam dia pandang aku semacam je. Macam nak kata ada juga rezeki suami dan anak kau ni. Aku je yang buruk sangka kot. Tapi aura tak selesa tu tak tipu.

Lama la nak buka buku pink… Kena tulis banyak maklumat dan rutin biasa ambil urin. Lupa untuk cek apa ya.. Tak silap sebulan sekali kena cek. Banyak kali lah hai nak tengok muka jururawat ni…

Masa awal kandungan berat badanku tak naik, kena tegur. Hb aku low kena ambil vitamin yang najis jadi hitam tu. Aku ni pergi juga tengok vitamin di farmasi, sampai untuk bagi dha dalam janin pun ada rupanya.

Aku bukan banyak sangat duit nak beli banyak supliment, aku amalkan juga folic asid. Sebab memang akan hadir kebimbangan takut jika kandungan tak sihat atau tak sempurna.

Kali pertama pergi scan untuk lima bulan. Waktu ni doktor dah nampak bentuk anak. Korang tahu tak awal kejadian manusia bentuk berudu ada ekor tak tumbuh anggota lagi.. Ini pun seronok bila kita ambil tahu tentang pembentukan janin daripada internet.

Aku banyak tengok di Youtube video dari awal kejadian sampai kelahiran. Sampai rasa bersalah pula cari video orang bersalin, maklumlah keluar yang luar negara punya nampak bulu.

Doktor ni pakar dia tahu bentuk apa yang dia scan tu. Dia tunjuk ni kepala bulat je, ni kaki tangan, dia ukur dan tahu berat dari dalam tu sesuai tak dengan tempoh kehamilan. Terasa hebatnya Allah sempurnakan kejadian, kita banyakkan doa.

Aku memang cari amalan doa waktu mengandung, beli buku surah pilihan ibu mengandung. Pasang bacaan tu di rumah dan kereta. Aku suri rumah. Ambil tahu juga apa pantang larang tapi lebih kepada tawakal tak ikut sangat pantang yang sedikit karut.

Tapi aku ni jenis yang malas, rasa banyak juga amalan kurang baik. Tak semua perkara terbaik aku boleh buat untuk beri yang terbaik buat kandungan dan keluarga. Tapi rasa hanya rahmat Allah yang beri aku kekuatan dan kebaikan.

Bila perjalanan mengandung ni rasa tak banyak masalah, tiada alahan cuma ada sedikit mual di awal trimesta.

Masuk akhir trimesta perut makin membesar dan kulit jadi pecah, gatal. Sapulah guna minyak kelapa dara, ada juga cuba amalkan senaman katanya untuk mudah bersalin. Tapi aku ni tak rajin tulah. Petua pun kurang amalkan.

Kemudian pergi scan di klinik swasta masa tujuh bulan. Nak scan 5D mahal yang 2D pun dah ok. Rindu nak tengok keadaan anak dalam kandungan, nak tahu jantina. Doktor kata lebih kepada perempuan, tak nampak telor. Maka belilah keperluan baby girl, most pink.

Bab buku pink tu kena tulis gerakan baby pula, malas betul.. Sebab adakala tak sedar jam berapa. Janji ada lega.

Paling kagum bila baby dah pandai tendang dan nampak bergerak dengan ketara di permukaan perut. Pengalaman pertama memang teruja. Sambil kita bercakap dengannya dan cuba nak pegang kakinya.

Trimesta ketiga berat naik mendadak, kena tegur juga dengan jururawat kena jumpa dua minggu sekali pula. Selain minum air gula kena vaksin kancing gigi. Banyak hal kan bila ada buku pink ni, dah la bila jumpa tu dia punya nak tulis macam-macam.

Syukurlah tak ada masalah tapi asyik kena ambil darah juga. Selain dipantau juga bunyi degupan jantung baby, benda ni penting sebab ada kes baby meninggal dalam perut.

Waktu nak dekat bersalin dia pesan jika ada tanda terus pergi hospital. Aku ni baca dulu pengalaman yang ada orang kongsikan situasi nak bersalin tu. Ada yang kata bila pergi hospital kena balik dulu sebab katil tak cukup atau tempoh lambat lagi..

Aku ni tak suka masuk wad lama jadi dah rasa sakit tu agak kuat dan kerap selepas ada tanda awal sedikit darah baru pergi hospital. Hospital kerajaan dekat.

Sakit dah kuat tapi doktor cek bukaan baru 2cm. Dia kata kita bantu sikit maksudnya dia guna jari tengok tempat keluar tu. Untuk makluman untuk anak sulung kelahiran tu tak pantas ibarat satu jam buka satu cm. Jadi aku dihantar ke wad dulu sebelum ke bilik bersalin.

Pengalaman pertama sakit contraction tu sakit tapi syukur. Sebab kita ni maklum sakit tu penghapus dosa. Rasa diri ni banyak dosa. Sakit tu jadi skala no 10 lah, beritahu nurse boleh dia suruh jalan ke bilik cek bukaan. Nak berjalan tu pejam mata membongkok.

Bila aku buka seluar dalam pad penuh darah, dia cek sedikit cemas dan kata bukaan penuh hantar ke bilik bersalin. Berlari mereka buat kerja, tolak aku laju-laju dengan kerusi roda. Aku usaha untuk senyum lagi bila ada orang pandang.

Bila berada atas katil tu, aku hairan jika ada yang boleh meneran dengan tenang. Aku meneran tak lepas. Doktor kata kita potong sikit bantu luaskan bukaan selain takut koyak yang banyak.

Waktu ni kebetulan ada kumpulan jururawat pelatih. Penuh bilik tu dengan mereka siap bagi sorakan pada aku untuk meneran. Aku penat, aku geleng kepala macam nak mengaku kalah. Antara lain aku takut anak aku lemas banyak risiko kesihatan.

Doktor dah sebut buka vakum, takut pula aku. Teran sekuat hati lepas, lega. Sebelum tu aku rasa macam taik keluar dulu. Malu pun ada sebab ramai yang tengok termasuk pelatih atau doktor lelaki tapi reda jelah, darurat.

Suami diizinkan masuk tapi lambat. Bukan teman dari awal, baby dah nak keluar sangat baru dapat masuk dia berada dekat kepalaku pegang tangan sampil berterusan zikir. Jadi adalah pengalaman dia tengok susahnya bini dia bersalin. Jangan tahu buat je.

Bila dah keluar baby, doktor tunjuk dan tanya jantina apa, syukur sangat anak yang selama ini dalam perut selamat keluar dan sempurna. Suami potong tali pusat sambil selawat.

Bagai hilang segala sakit. Baby dilekapkan sekejap di dada sementara tunggu uri keluar.. kemudian baby dibawa keluar untuk suntikan dan timbang serta diazan. Aku ni tak siap lagi kena jahit pula bawah tu. Aku siap minta maaf pada jururawat tu sebab sudi jahit bawah tu.. tempat tu kan aib sikit.

Nak cerita pengalaman seterusnya macam panjang pula, mungkin ada yang bosan. Macam kau sorang bersalin. Cuma nak sambung tentang tak suka buka buku pink tu untuk anak kedua.

Bila sedar mengandung anak kedua. Macam biasa aku pergi klinik swasta dulu untuk kepastian kemudian aku santai tak buat buku sampai kandungan lima bulan. Bila buka tu sah sah kena bebel.

Yelah kita ni bukan orang hebat nak dihormati dia nilai pekerjaan suami kita pun sedar yang kita ni miskin. Cara layanan untuk yang kaya dan miskin ni kena akurlah berbeza. Kena pula aku ni jenis tak pandai bersosial dan bersembang.

Bebel dia tu sampai kata kita nak kena buat buku awal untuk kesan jika ada masalah dengan kandungan. Ditakdirkan dia juga mengandung dan kandungan dia yang bermasalah. Apapun kena banyak bersyukur, bersangka baik dan berterima kasih..

Sebarkan salam dan sayang. Yang kurang semoga akan baik nanti. Perkongsian ni tidak sepenuhnya menggambarkan situasi sebenar tetapi ada sedikit yang dapat disampaikan.

Setiap orang pengalaman bersalin baik di swasta atau kerajaan berbeza. Begitu juga yang bersalin di rumah atau dalam perjalanan, lain pula cerita…

Doakan aku jadi ibu, isteri, dan anak yang baik…

– Hasanah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *