Sedikit intro tentang diri ku, seorang gadis berusia 24 tahun, berperwatakan ceria dan selalu tersenyum, sangat sukar untuk orang lain nak melihat diri ini marah.
Namun siapa sangka, disebalik sikap ku ini, aku menyimpan seribu rahsia, terlalu banyak yang aku pendam. Tekanan dan kekecewaan di dalam hidup, tangisan menjadi sahabat karib, mencari sebab untuk terus bertahan hidup dan semakin hari semakin ku rasa rapuh.
Sebelum ini aku pernah hantar beberapa confession, Alhamdulillah ada yang admin terima dan ada juga yang tidak disiarkan. Mungkin bukan rezekiku disitu. Aku bersyukur kalau confession ku kali ini disiarkan, sebab aku betul- betul buntu dengan kehidupan ku di saat ini. Sehingga persoalan sering bermain di minda ” Aku nak hidup untuk apa sebenarnya?”.
Aku berada di situasi yang melemahkan. Aku melihat kehancuran dalam rumah tangga ibu bapa ku. Kini, ayah ku sudah 6 bulan tidak pulang ke rumah kerana protes aku berkeras menerima tawaran kerja di luar negara dan sebab-sebab lain berkaitan ibuku. Aku cemburu melihat kawan-kawanku mampu berbahgia bersama keluarga mereka. Mempunyai ayah yang mampu membimbing keluarga.
Aku juga turut terpukul bilamana aku menjadi tulang belakang untuk keluarga ku. Aku anak bongsu, mempunyai dua orang abang namun keduanya tidak bekerja mungkin boleh aku katakan malas atau mereka beranggapan cuma belajar sehingga spm dan tidak mampu mencari pekerjaan yang baik.
Tapi tidak bagi aku, mempunyai degree, kerja luar negara yang secara automatiknya aku lah yang menjadi tulang belakang keluarga bilamana ayah ku sendiri melepaskan tanggungjawabnya.
Aku merasa terbeban, aku lah yang membayar sewa rumah keluarga, sewa rumah ku disini, tunggakan rumah keluarga (dulu abang ke-2 bekerja, dialah yang bayar ketika aku masih di IPTA, Namun akhirnya tertunggak hampir 8 bulan). Aku juga lah yang menghulur kepada ibuku setiap bulan 1.5K- 2K sebulan.
Abang ke-2 ku pernah meminjam duit untuk membaiki keretanya yang rosak, namun terus senyap sampai sekarang. Abang pertama juga tidak lari dari meminta duit dariku, namun aku tidak memberinya kerana sakit hati dengan sikap mereka yang malas. Salahkan aku tidak membantu adik-beradikku?
Aku semakin tekanan bilamana ibuku juga asyik meminta duit lebih dari ku. Pada permulaannya, aku selalu kirim ibuku 2K sebulan tapi kerana komitmen yang bertambah aku kurangkan menjadi 1.5K sebulan. Ibuku seorang peniaga, selalunya duit yang aku kirim habis dibuat modal sana sini dan akhirnya untung entah ke mana.
Akhirnya dia meminta kirim dalam RM200 lagi, dan kemudian minta kirim lagi. Tapi aku tidak pernah beri, sebab sudah terlalu banyak yang aku kirim. Bukan kerana aku kedekut, tapi aku tahu sikap ibuku yang tidak pandai menyimpan duit dan aku juga turut terbeban dengan menjadi tulang belakang buat keluarga. Ibuku juga selalu mengarahkan aku untuk mengambil sebuah kereta untuk memudahkan beliau berniaga.
Tekanan ku semakin bertambah bila aku bercadang untuk mendirikan rumahtangga pada tahun hadapan. Aku dan pasangan kini dalam proses mengumpul duit kahwin bersama. Ya nampak pelik, orang lain ingin mendirikan rumahtangga merasa gembira tapi berbeza denganku, aku semakin risau. Risau berkaitan wali ku, dan mampukah pasangan ku menerima seorang gadis yang lahir dari ‘broken family” ini.
Mampukah keluarganya menerima keluargaku, bilamana semua ahli keluarga ku tidak menunaikan solat. Gagalnya imam dalam keluargaku, gagalnya seorang ketua keluarga dalam membimbing anak dan isterinya. Namun Allah masih sayang kepada keluarga ini, cuma aku yang solat dalam keluarga dan mampu membaca Al-quran yang menjadi doa utk kedua orang tuaku semasa hidup dan mati kelak.
Pasangan ku masih belum mengetahui mengenai status ku yang berada dalam situasi “broken family”. Aku takut keluarganya tidak mampu menerima keluarga ku. Keluarganya orang yang baik-baik, ayahnya seorang ustaz, adik beradiknya juga mengambil bidang keagaamaan di IPTA.
Jika hubungan ku ini juga gagal selepas kegagalan dalam keluargaku sendiri, aku akan terus mencari sebab untuk aku terus hidup. Pasangan ku kini menjadi sumber kekuatan untuk aku bertahan hidup di samping adanya Allah yang aku tahu menyayangi ku kerana memberi ujian ini.
– Ika (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit