Tak Tahu Nak Pilih Yang Mana

Assalamualaikum, pembaca IIUM Confessions semua. Nama samaranku Ulya. Umur 24 tahun. Tinggal di negeri pantai timur. Selalunya aku jadi pembaca setia saja. Tapi kali ni tergerak hati nak tulis confession.

Aku sebenarnya buntu, tak tahu nak luah kat siapa. Aku dah grad setahun lebih, tapi masih lagi mencari pekerjaan tetap. Setakat ni aku baru ada pengalaman bekerja sebagai sukarelawan program vaksin selama 6 bulan.

Dan sekarang, aku menjadi trainee di sebuah syarikat kecil, aku namakan sebagai syarikat A. Itu pun elaun bersyarat.

Buat makluman pembaca semua, ibu bapa aku kedua-duanya adalah pendidik. Ibu bapa aku galakkan aku untuk jadi pendidik sama seperti mereka.

Disebabkan jurusan aku adalah jurusan dalam bidang sains, aku rasa tiada masalah untuk aku mohon. Dan aku juga ada minat untuk jadi seorang pendidik.

Aku pernah mohon semua peluang untuk jadi pendidik, tapi semuanya gagal. Kadang aku rasa sedih sangat dengan kegagalan tu sebab seolah-olah ia petunjuk bahawa pendidik bukan bidang aku, dan aku sedih sebab tak dapat tunaikan apa yang ibu bapa mahukan.

Sekarang, aku hanya ada peluang untuk tunaikan hasrat kedua ibu bapa aku adalah dengan mohon diploma pendidikan di salah sebuah universiti tempatan. Aku nak mohon, tapi aku risaukan tentang yuran.

Aku tak mahu tambah hutang yang perlu aku tanggung buat masa sekarang. Aku fikir, kalau boleh, aku nak cari pekerjaan tetap dahulu, supaya aku dapat kumpul duit untuk bayar yuran, di samping bayar hutang pembelajaran yang sedia ada.

Tambah pula, yuran pembelajaran untuk sambung diploma pendidikan tu perlu dibayar dengan jumlah yang agak banyak (bagi aku) dan dalam tempoh tertentu. Ibu bapa aku kata diorang sanggup untuk bayarkan, tapi aku yang berat hati sebab diorang dah berusia.

Kalau boleh, duit-duit diorang tu aku nak diorang simpan untuk pergi Haji atau Umrah. Since diorang tak pernah lagi jejakkan kaki ke sana.

Tambah pula, aku ada 2 orang adik yang masih lagi belajar. Jadi, diorang berdua lebih perlukan duit.

Tentang pekerjaan aku yang terkini, sangat susah untuk aku cari peluang pekerjaan yang dekat dengan tempat tinggal aku. Bukan aku taknak keluar negeri mencari kerja, tapi aku perlu tinggal bersama kedua ibu bapa aku.

Adik-beradik aku semuanya tinggal jauh di luar negeri. Jadi tiada siapa yang nak tengok-tengokkan diorang.

Seperti yang aku beritahu di awal penulisan tadi, aku adalah sebagai trainee di sebuah syarikat kecil yang mana elaunnya bersyarat. Kerja yang aku perlu buat adalah rekrut sekurang-kurangnya dua orang trainee baru setiap bulan.

Pendapatan aku bergantung kepada ada atau tiadanya trainee di bawah aku. Syarikat ini sebenarnya baru beroperasi selama 2 bulan. Aku tak tahu nak ceritakan macam mana tentang kerja aku sekarang.

Tapi yang aku pasti, sebenarnya aku bekerja dengan syarikat A yang mana ianya di bawah penyeliaan sebuah syarikat insurans. Maksudnya, secara tidak langsung aku sekarang bekerja dengan sebuah syarikat insurans sebagai ejen takaful.

Aku telah didedahkan dengan skim-skim serta produk-produk takaful daripada syarikat insurans tu. Aku tahu semuanya baik, tapi aku yang tak yakin dengan diri sendiri. Aku takut kalau-kalau aku tak boleh capai kehendak syarikat insurans tu.

Dan aku takut aku akan buang masa dalam bidang ni disebabkan cara syarikat A iaitu Aku perlu cari ejen, bukan cari pembeli polisi semata.

Aku fikir, ada ke yang nak jadi ejen takaful. Ya, mungkin ada, tapi mustahil ke nak cari 4 hingga 7 orang ejen dalam masa satu bulan?

Aku rasa tak yakin dengan kemampuan diri aku bila difikir begitu. Aku takut aku tak mampu capai kehendak syarikat. Dan untuk menjadi ejen, aku perlu beli polisi. Tapi, aku tiada pendapatan tetap untuk bayar setiap bulan.

Aku ada cuba cari peluang pekerjaan lain, tapi semuanya tiada jawapan. Sebagai persediaan, aku korbankan hujung minggu aku dengan belajar menjahit. Sekurang-kurangnya aku ada back up plan yang mungkin berguna di masa akan datang.

Tapi sebenarnya, tiap kali waktu aku bersendirian, segala negative thoughts akan bermain dalam fikiran aku. Kenapa hidup aku macam ni?

Kenapa orang lain senang dapat kerja? Kenapa aku sorang saja yang tak laku? Salah ke bidang yang aku pilih dulu, sedangkan bidang tu bidang yang aku minat?

Aku cuma inginkan satu pekerjaan tetap, yang ada career growth, dekat dengan rumah supaya aku tak tinggalkan kedua ibu bapa aku, yang dapat bantu aku langsaikan hutang pembelajaran aku.

Jadi, aku buntu. Apa yang aku patut buat sebenarnya? Apa yang patut aku pilih sebenarnya?

– Ulya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *