Takdir Itu Milik Allah

Assalamualaikum. Aku Ann (Bukan nama sebenar). Aku baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinan yang ke 26. Pada hari ulang tahun tersebut aku telah menghadiahkan suamiku keizinan untuk berkahwin dengan seorang perempuan yang dikatakannya cinta keduanya, selepas aku iaitu H.

Aku redha setelah melalui hari-hari panjang yang menyakitkan. Suamiku telah berkenalan dengan seorang wanita yang memiliki anak yang tidak sah taraf. Sememangnya aku apabila tahu perkara tersebut, sebagai isteri-isteri yang lain memang tidak dapat menerima kehadiran orang ketiga di antara kami..

Aku mengamuk. Tapi suamiku dengan penuh sabar memujukku. Tidak dapat dinafikan suamiku adalah seorang suami yang sabar dan memang tidak pernah culas dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Suamiku juga berterus terang tentang hubungannya dengan H, kerana beliau inginkan pernikahan yang sah dan direstui oleh aku isterinya.

Beliau menyayangi aku dan anak-anak tanpa sempadan. Aku sememangnya tiada alasan untuk menghalang keinginanya. Beliau juga berjanji akan menjalankan tanggungjawab seadil-adilnya jika telah beristeri dua. Mana mungkin isteri dapat menerima suami ingin berpoligami dengan mudah.

Aku berlawan dengan perasaanku. Aku cuba memujuk hatiku. Aku memberi kata dua kepada suami supaya meninggalkan aku dan merelakan beliau berkahwin dengan H, Suamiku tidak bersetuju. Beliau mengatakan aku adalah nyawanya. Jika aku tiada maka akan lumpuhlah dia.

Beliau juga mengatakan bahawa di matanya aku sngat sempurna, tiada cacat cela dan cintanya terhadapku sentiasa ada.

Jika aku membenarkan beliau kahwin kasih sayangnya terhadapku akan bertambah dan melimpah ruah, kerana baginya aku telah terlalu banyak berkorban. Beliau tidak akan mengabaikan aku. Hmmmmm… Pujuk rayu seorang lelaki…

Aku tahu suamiku ikhlas ingin memperisterikan H. Aku juga tahu memang naluri lelaki dan fitrah lelaki yang lemah pada keindahan susuk tubuh wanita..

Aku pula bukanlah seorang wanita yang tidak menjaga penampilan diri, tetapi mungkin seorang lelaki merasa dirinya perkasa jika berjaya memiliki wanita muda yang separuh usia mereka. Berkahwin dengan wanita muda akan membuat jiwa mereka sentiasa muda dan bergelora.

Aku banyak menjalankan siasatan terhadap H. H bukanlah seorang perempuan yang setia pada seorang lelaki. Dia berhubung dengan ramai lelaki. Aku memaklumkan kepada suami, tetapi suami memarahi aku dan mengatakan aku cemburu kepada H.

Aku sedih suamiku tidak mempercayai aku. Aku takut suamiku tersalah pilih, dan nanti hidup kami semua akan sengsara. Aku juga mengetahui yang H suka berhutang da nada juga dia berhutang dengan pinjaman berlesen. Aku amat takut suami terjebak dalam masalah yang dibawa oleh H apabila telah berkahwin nanti.

Sikap H yang amat menyakitkan hatiku, dia sering meminta wang dari suamiku. Suamiku pun dengan murah hati akan memberi berapa sahaja yang diminta oleh H. Bagi aku H bukanlah seorang wanita yang baik akhlaknya.

Aku sering menyatakan perkara tersebut kepada suamiku, tetapi suamiku sering menyatakan tak baik buruk sangka, jika kita tidak membantu selamanya dia akan berada di dalam dunianya. Ini tidak akan membantunya.

Adui… orang di dalam alam percintaan tidak akan nampak sisi buruk pasangan cintanya. Aku sememangnya banyak menahan kesabaran. Tetapi kerap kali aku kalah dengan hati dan perasaanku.

Memang apabila soal perasaan dan hati kita amat sukar menguruskannya. Walaupun kita kata kita redha, hati ini bolak balik dan sangat terluka. Semasa hati terluka, airmata tidak berhenti mengalir dan airmata adalah peneman yang setia.

Suami sering memujuk aku supaya meminang H. Aku sering menyatakan kepada suami janganlah minta aku melakukan perkara yang tidak boleh aku lakukan. Tapi suami tidak pernah jemu untuk memujuk.

Akhirnya aku bersetuju untuk pergi ke rumah H sekadar untuk menyatakan yang aku setuju suami berpoligami. Aku bersetuju kerana takut menjadi isteri yang derhaka.

Aku dan suami pergi ke rumah H. Ayah H bertanya kepada aku samada aku bersedia menerima dan redha.

Aku berterus terang menyatakan mana ada isteri yang setuju apabila suami ingin berkahwin lain. Tetapi jika telah ditakdirkan ada jodoh mereka aku akan menerima dan akan cuba melalui perjalanan hidup bermadu.

Tetapi jika suatu saat nanti aku tidak mampu untuk menahan hati aku akan mengundur diri. Mungkin itu adalah asbab berakhirnya jodoh.

Kemudian ayah H bertanya kepada H samada setuju atau tidak berkahwin dengan suamiku. H menyatakan dia tidak setuju. Dia tidak menerima suamiku.

Aku amat bersyukur, tetapi amat terkilan kerana rupa-rupanya dia cuma menjadikan suamiku tempat untuk dia mendapatkan wang dengan cara yang mudah. Dia masih muda, sememangnya tidak sepadan jika dibandingkan dengan suamiku.

Aku dapat merasakan bahawa ayahnya amat berharap supaya anaknya dapat bernikah dengan suamiku kerana status anaknya. Bukan mudah untuk orang menerima perempuan yang memiliki anak yang tidak sah taraf.

Aku tak tahu sebab apa dia menolak lamaran suamiku, sedangkan duit suamiku telah beribu-ribu dia ambil. Dia telah berkali-kali keluar makan dan berbual-bual dengan suamiku. Mungkinkah dia jatuh kasihan melihat aku ataupun doaku dalam solat tahajjud, taubat dan hajat telah dimakbulkan Allah?

Syukur ya Allah, kau beri nikmat ini. Janganlah kau tarik nikmat yang telah kau berikan ini. Takdir itu milikMU ya Allah. Alhamdulillah.

Doakan aku sahabat, supaya selepas ini suami dan H tidak berhubung lagi. Doakan juga supaya suami dapat melupakan cinta keduanya itu dan tiada lagi cinta selepas ini antara suamiku dengan wanita lain selain aku.

Semoga ujian Allah ini akan lebih mendekatkan kami kepadaNya. Dan yang paling utama semoga rumahtangga kami aman bahagia hingga ke jannah. Aamiin…..

– ANN (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *