Asslamualaikum untuk semua pembaca IIUM Confession. Saya Naa (bukan nama sebenar) berusia di penghujung 20’an, bekerja di bidang semi professional dan saya nak kongsikan liku-liku saya dalam pencarian jodoh.
Untuk permulaan saya pernah berkenalan H, selama kurang lebih setahun dan H berusia 3 tahun lebih muda dan merupakan seorang pekerja kedai makan.
Walaupun H tidak mempunyai pelajaran yang tinggi tetapi saya selalu berhusnudzon, kerana dia seorang lelaki yang rajin bekerja dan saya nak membuktikan pada orang lain yang lelaki yang tidak mempunyai pelajaran juga, boleh berjaya.
Langit tidak selalunya cerah, saya dikejutkan dengan peristiwa lampau H, iaitu kes tangkap khalwatnya. Dia tidak berterus terang, dan setelah saya bertanya barulah dia menceritakan perkara yang sebenar.
Kecewa? terlalu kecewa kerana saya seorang perempuan yang menjaga ikhtilat dan tidak pernah terlanjur dengan mana-mana lelaki, dan apabila saya tahu hati saya sudah tawar dengan diri H.
Allah sebaik-baik perancang, 2 bulan setelah saya dapat tahu tentang perihal dirinya yang sebenar, saya dapat tahu bahawa dia melayan perempuan di belakang saya, disaat itulah saya mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan kami.
Terkadang hati saya rasa sayu, mengenangkan perbuatan H terhadap saya, saya sanggup untuk mengajarnya iqrak hampir setiap malam, kerana dia tidak reti mengaji, namun inilah balasan H terhadap saya.
Untuk pembaca sekalian, yang mungkin akan kondem kenapa tak cari orang lain atau terlalu bersangka baik pada awal perkenalan saya boleh kata saya seorang perempuan yang tidak materialistik,
Semua orang berhak untuk dapat peluang kedua dan Allah dah jawab doa saya, iaitu dijauhkan dari orang yang salah. Alhamdulillah.
Setelah putus, saya ambil pendekatan untuk mendekatkan diri dengan Allah, selalu adakan masa untuk hadir ke rumahNya,
Dan setiap kali saya membaca al-quran saya akan menangis, apabila mengenangkan lama saya dah tak membaca al-quran dan saya rasa hiba, apabila mengenangkan selama 20 tahun lebih tempoh untuk turunnya al-quran, berapa kali sahaja saya telah dapat khatamkan al-quran. Jahilnya rasa ketika itu.
Selain itu, saya akan ke masjid yang selalu saya pergi dan mewakafkan beberapa helai telekung dan beberapa naskhah al-quran untuk rumah Allah. Rasa gembira apabila dapat memberikan sedikit untuk orang lain,
Seperti ayat , ALLAH SEBAIK-BAIK PERANCANG
Dalam surah Ali-Imran ayat 54, Allah SWT berfirman:
وَمَكَرُوا۟ وَمَكَرَ ٱللَّهُ ۖ وَٱللَّهُ خَيْرُ ٱلْمَـٰكِرِينَ
“Mereka merancang , Allah juga merancang. Sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang”
Bila mana Allah dah atur itu untuk kita, yakinlah bahawa itu yang terbaik untuk kita dan bulan berganti bulan, dan saya telah dipertemukan dengan seseorang yang bernama S, yang kebetulan merupakan senior sekolah menengah dahulu.
Mengenali S, membuatkan saya sedar bahawa, apa yang Allah rancang untuk hambaNya tidak pernah salah, Allah melepaskan jawapan kepada doa hambaNya di waktu yang tepat.
Tanpa saya sedar rupanya jodoh adalah selama ini, satu sekolah dengan saya sendiri. S bekerja diluar kawasan dan perhubungan kami hanyalah taaruf melalui telefon.
Dan setelah beberapa bulan, S telah yakin untuk melanjutkan hubungan kami ke peringkat seterusnya, iaitu dengan perkahwinan.
Perkenalan antara keluarga kami berjalan dengan lancar, dengan kebetulan Ibu S mempunyai hobi yang sama dengan Ibu saya.
Ibunya siap berseloroh dengan mengatakan, “tak sabar nak timang cucu”, bapanya pula sambung “eh, awak ni budak2 ni belum kahwin, tunggulah tahun depan kita timang cucu, kita rancang apa yang patut dulu”, antara bait-bait ayat yang saya ingat.
Doakan pembaca IIUM Confession agar urusan saya dan pasangan dipermudahkan. Semoga yang baik-baik juga berbalik kepada awak-awak semua.
– Naa (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Alhamdulillah.. semoga dipermudahkan segalanya utk awak dan si dia Aamiin
Allah permudahkan lah….