Takkan Dia Sorang Korang Tak Boleh Nak Handle?

Assalamualaikum. Tak tau nak mula dari mana sebab aku tak pandai sangat nak tulis kisah ni.

Baru-baru ni aku ada nampak pasal tadika yang baru ditubuhkan khas untuk kanak-kanak autisme dan komen-komen di TikTok tapi aku lupa kat mana… kat Melaka mungkin (maaf jika aku salah teka sebab lupa kat negeri mana).

Aku sebagai orang yang pernah kerja taska memang menggalakkan tadika untuk anak-anak autisme ni dibuka lebih banyak lagi untuk kebaikan anak itu sendiri. Dan mungkin jugak ini salah satu alasan kenapa aku berhenti.  

Bulan satu tahun lepas, aku start kerja di sebuah taska area X. Taska tu ada anak-anak dalam 28 orang: 15 baby, 11 orang toddler umur setahun lebih, dan 2 orang playschool umur 4 tahun. Pengasuh pula 8 orang (5 orang teacher baby, 3 orang teacher toddler + playschool. 1 orang teacher dah hantar notice berhenti). Taska juga ada CCTV.  

Kerja taska ni memang nampak mudah je orang cakap, “Ala, macam ko duduk jaga diorang, apa susah?” Sebenarnya tak. Mata memang kena melilau 24 jam, salah sikit habislah. Lagi-lagi sekarang banyak libatkan nyawa.

Sebulan kerja, aku seronok sangat dengan budak-budak sebab aku pernah jaga adik-adik dulu. Sikit sebanyak membantu kerja aku.

Diorang nakal tu biasa, tapi nakal terkawal lah. Setakat kena tarik tudung, kena cubit (diorang cubit pipi aku), naik atas bahu aku, berebut nak duduk atas riba… bagi aku tak apa-apa.

Tapi aku nasihatkan jugak, “Tak boleh buat macam ni!” Tapi sekejap je lah dengar… mungkin aku tak marah sangat kot. Kalau aku nak marah pun, aku pura-pura nangis. Ha, menggelupur diorang peluk aku, tak bagi nangis, dan minta maaf. Comel kan diorang?  

Satu hari, kerja aku dapat warning dari pekerja lama yang tunggu hari nak berhenti dengan partner kerja aku. Diaorang tak bagi aku pujuk budak-budak, tak bagi dukung kalau nangis, alasan, “Nanti budak manja, tak dengar kata.”

Kadang-kadang budak nangis dibiarnya nangis la budak tu sampai ke sudah. Kalau berak, tak bagi basuh cepat, alasannya, “Belum puas berak lagi.” Sampai aku yang pergi basuh, kesian tengok.

Tapi depan parent, kemain mesra nya. Depan mak bapak didukung, lambai tangan, *muah-muah*… belakang mak bapak siap kutuk j*ling, h*tam, je*dul, h*doh… perangai macam mak kau, macam-macam la dikata.

Aku kadang-kadang pelik juga, kenapa masa buka pintu bagi anak kat parent, watak lain. Bila tutup je pintu, parent naik kereta, watak jadi lain. Sekarang baru aku paham… patutlah orang yang pandai kipas ni semua orang sayang.

Diorang suruh aku buat macam tu depan parent, kena puji-puji sebab katanya, “Ini bisnes.” Diorang jugak cakap parent banyak complaint pasal aku tak ramah, tapi aku tak ikut pun.

Benci tengok depan parent punya la try-hard puji, belakang kutuk anak orang sambil ketawa-ketawa, mengejek-ejek anak orang sampai nangis budak tu.  

Awal aku datang, kebanyakan toddler 100% tak boleh cakap. Playschool pun seorang je boleh cakap. Jadi, aku sebagai pengasuh cuba bercakap dengan diorang walaupun tiada respon. Bila tanya orang lama, “Budak ni memang macam ni ke?”

Jawapanya, “Biarlah, asalkan diorang tak nangis.” Biar je diorang tengok TV. Minggu pertama memang *out*, lagi-lagi partner cakap, “Bising la kat budak bila ada yang respon cakap aku.” Tapi aku happy je. Tak sampai sebulan, diorang pandai cakap walaupun beberapa patah perkataan.

Walaupun dikata bising, sekurang-kurangnya budak respon. Aku ajar juga cara menyanyi, menari, memek muka… sebab benda ni aku dah buat dengan adik aku dulu. Dan buktinya, ada sorang ayah dari toddler puji anak dia dah boleh cakap.

Jawapan partner kerja, “Ye lah, saya cakap dengan dia hari-hari, tak pernah miss pun, En. Wah, pandai dia (sebut nama budak tu)! Esok datang lagi kita nari-nari pulak ye, sayang.” Hmmm.  

Masuk je bulan kedua, jadi kami pengasuh tinggal 2 orang sebab sorang dah berhenti. Sebenarnya kami ada je leader, tapi leader banyak *handle* baby.

Esoknya, datang parent dengan sorang budak 4 tahun daftar masuk. Aku tak tahu sangat pasal budak tu sebab diorang datang masuk bilik pejabat sekejap je terus balik. Leader cakap budak tu nama Zikri (bukan nama sebenar).  

Dan pagi pukul 7, Zikri datang. Mula-mula datang nangis, jadi aku tenangkan dia, peluk dia… tapi tak jalan. Jadi kena duduk tepi dia sebab dia nak mengamuk. 7:30, waktu kita mandikan budak sebab budak datang memang tak mandi. Aku pujuk mandi, tak nak. Menggelupur dia tak nak.

Aku terpaksa dukung dia dengan badan dia yang sihat tu… dia meronta-ronta dengan aku, sekali jatuh. Dah tak kira sakit sebab taska ada *time* untuk mandi. Kalau lambat memang susah sebab kami kena kejar masa untuk *update* di *handphone* aktiviti seharian anak-anak.

Waktu makan pagi kena duduk tepi sebab dia akan tarik mangkuk-mangkuk semua. Waktu aktiviti pun macam tu, aku kena kawal sebab dia akan tarik kerusi budak lain bila dia nak beralih tempat. Tidur waktu paling kritikal sebab dia tak tidur… jadi waktu orang lain tidur, dia akan melompat atas kepala diorang.

Waktu tidur diorang waktu rehat kami secara bergilir, jadi bila dia lari-lari, semua budak tak boleh tidur. Ada yang nangis sebab kepala terkena kaki… memang sangat kelam kabut. Alamatnya satu hari memang semua budak tak tidur.  

Kami baru diberitahu Zikri kanak-kanak autisme dan ADHD. Parent dia cuma info dia autisme je, tapi *behave*. Tengah hari tu baru parent mengaku yang Zikri ada autisme + ADHD. Ini taska pertama parent dia hantar. Jadi, atas alasan taska ni kurang budak (tak ramai), pengurus ambil Zikri ke taska ni.

Dan ayat pengurus, “Takkan sorang budak macam ni korang tak boleh *handle*?” Bila kami minta tambah sorang lagi pekerja, “Okey la, dah macam tu.” Aku sebagai pekerja tak boleh nak kata apa. Tak apalah. Mungkin hari pertama Zikri nak menyesuaikan diri.  

Seminggu berlalu kehadiran Zikri, keadaan makin teruk. Kami cuba untuk selalu dengan dia sebab dia tak boleh ditinggalkan… dia akan mengamuk.

Waktu bermain, mainan dia akan rampas dari budak lain. Jadi aku ajarkan yang lain mengalah… sampai kawannya yang playschool tanya aku, “Kenapa teacher selalu bagi mainan saya kat dia? Teacher sayang dia sorang je? Tu saya punya!”

Kalau budak tu tak bagi, dia akan tolak sampai dapat. Semua benda kalau dia tak dapat, dia akan tolak budak lain sampai parent complaint sebab pipi anak dia bengkak, kepala terhantuk, kaki berdarah. Bayangkan *safety baby gate* dan meja pun tercabut ditarik dan dihempasnya.

Memang dia di bawah jagaan kami, tapi kuatnya dia dan lincahnya dia… tak mampu aku nak mengawal. Memang aku ada rasa sedih sebab kami dapat complaint hari-hari dari parent lain… sampai kan aku *tawakkal* sekiranya ada parent yang nak tengok CCTV sebab keadaan anak diorang.

Aku faham, sebab kat situ ramainya toddler yang setahun lebih memang perlukan pemantauan. Tapi bagaimana dengan kami? Kami sudah sedaya upaya jaga dengan baik… sampai aku nak ke tandas pun terpaksa tahan.

Waktu *rest*, kami terpaksa awal sebab memang susah kalau sorang pengasuh je jaga dia. Walaupun waktu tidur… waktu la dia akan berlari atas budak yang sedang tidur. Jadinya memang kebanyakan budak tak tidur. Berlari terbang pun perkara biasa aku buat bila ada Zikri. Nak tangkap dia punyalah laju.  

Badan aku lebam dihempuknya waktu dia mengamuk. Aku boleh tahan… tapi macam mana dengan budak-budak lain? Macam mana kalau sesuatu terjadi? Memang aku tak minta, tapi dengan keadaan macam ni, tak mustahil benda lain terjadi. Ini yang aku takutkan.  

Sejak datangnya Zikri, perhatian aku pada budak lain tak sama. Aku tahu diaorang banyak makan hati… tapi aku boleh buat apa? Yelah, walaupun diorang budak kecil, tapi aku yang diorang panggil ‘teacher’ sepatutnya ajar mereka berbagi.

Aku rasa bersalah selalu ajar mereka mengalah… dan Zikri selalu menang. Walaupun aku hanya ‘teacher’ taska yang bagi orang lain kata tak layak pun dapat panggilan ‘teacher’… tapi aku bertanggungjawab ajar diorang, bimbing diorang perkara yang betul.

Benda ni buat aku menangis malam-malam sebab aku rasa GAGAL. Aku rasa macam berdosa buat diorang macam tu… tapi macam mana pula dengan Zikri?  

Mungkin dia rasa apa yang dia nak semua dapat, jadi dia boleh buat apa saja. Dia ‘kacau’ budak waktu makan, waktu mandi, waktu tidur. Zikri memang sangat sensitif pada bunyi.

Dia jugak akan tendang pintu, lempar botol susu budak lain, tolak *bag* sampai beterabur isi *bag*. Dan dia tolak kepala budak lain dari arah belakang… puas kami tarik dia kalau dia hampiri budak-budak lain sampai nangis. Aku sampai cakap,

“Zikri, teacher merayu… jangan lah buat macam ni kat adik-adik. Jangan lah!” (Aku bahasakan toddler ‘adik’ untuk playschool) depan dia… sebab aku takut. Takut budak lain cedera. Takut bagaimana kalau kami dituduh cuai. Bagaimana kalau benda ni jadi kes polis walaupun kami tak buat? Walaupun ada CCTV.  

Sifat kanak-kanak yang aku perhatikan… diorang suka menurut apa yang ada di sekeliling mereka. Apa yang kita buat, apa yang kita ajar… salah satunya dia ikut contoh Zikri. Diorang mula bila tak dapat mainan atau apa-apa… diorang saling menolak, menyepak, mencakar, memukul sampai ke tahap saling menolak kepala.

Jadi, aku tak tahulah ini penyelesaian ke tak… aku ambil keputusan *notice* berhenti seminggu walaupun aku terpaksa bayar balik separuh gaji. Dan aku sayangkan diorang. Sebab utama aku nak bekerja taska: bukan jadikan ‘pelajar’ aku macam ni. Sebab memang diorang ada yang dah nak jadi ‘ganas’.

Pekerja lain ada cakap, “Kenapa nak takut? Bukan aku yang tolak budak-budak tu pun. Lagipun CCTV kan ada?” Senangnya lah bercakap nya… memang lah aku tak tolak, tapi aku sebagai penjaga, bukan ke aku kena pastikan budak-budak tu semua selamat?  

Aku sikit pun tak salahkan Zikri. Sebab dia tak salah… dia cuma budak, dan dia tak mintak pun jadi macam tu. Dia tak tahu apa-apa. Tapi aku geram dengan parent dia dan pengurus taska. Parent dia patutnya hantar Zikri ke tempat yang sepatutnya… bukan pentingkan diri atas alasan tempat kerja dekat.

Pengurus taska buat macam benda ni benda biasa… dia tak nampak betapa *struggle*nya kami *handle* Zikri. Soal makanan taska dia *catu* sampai kami terpaksa beli barang masak untuk anak taska dengan duit sendiri… aku boleh tutup mata.

Soal kami pekerja terpaksa beli biskut dan roti untuk budak-budak makan petang guna duit sendiri pun… aku tutup mata. Soal gaji RM1350, 12 jam kerja, rehat sejam, 6 hari kerja pun… aku tutup mata.

Soal OT lebih masa… taska ambil OT hari Ahad pun terpaksa kerja, taska bayar separuh… aku tutup mata. Tapi kenapa soal keselamatan kami sikit pun tak boleh nak bertimbang rasa?  

Dulu waktu sekolah, aku ada kelas untuk pendidikan khas. Aku selalu tertanya-tanya, “Apa hal la budak kelas ni sikit je?” Sedangkan kelas aku ramai pelajar… *best* lah jadi cikgu macam ni. Aku *jeguk* antara kelas tu… sorang cikgu ada budak tak sampai 10 orang pun. Sekarang baru aku faham sebab apa.

Bila Zikri datang dalam hidup aku, baru aku rasa makin *respect* kat cikgu pendidikan khas ni. Terima kasih, cikgu… semoga cikgu diberikan kesabaran dan dipermudahkan segala urusan.  

Untuk mak ayah yang ada anak istimewa ni… memang aku tak duduk dalam kasut puan-puan dan tuan-tuan. Memang aku tahu banyak air mata yang korang habiskan, kenang nasib anak-anak mungkin susah di dunia… tapi insyaAllah, anak-anak ni akan tarik ke syurga.

Aku mohon sangat-sangat… bawalah anak puan-puan dan tuan-tuan ke sekolah yang betul. Sebab di situ, anak-anak akan dididik dengan betul oleh cikgu-cikgu yang terlatih. Usah pedulikan mulut orang… memang senang cakap, tapi aku faham perasaan korang.  

Maaf sangat-sangat kalau apa yang aku tulis ni mengguris hati sesiapa. Demi Allah, aku tak ada niat pun. Semoga dipermudahkan urusan kita semua.

– Cik introvert (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Pihak taska kna nasihatkan ibu-bapa Zikri utk hantar ank mreka ke skolah ‘pendidikan khas’ yg mmg pengasuh2nya dilatih utk menjaga knk2 istimewa (skrg ni ada skolah khas yg krjaan n swasta), sebab ank2 sebegini perlu ada ‘kemahiran’ utk jaga, bkn semua org ada kemahiran sendiri n mampu melakukannya, klaw x betul cara n ada knk2 lain yg tercedera mcmne..? Lg satu knk2 ni suka meniru, pernah terjadi di sebuah taska, ada seorang budak yg suka ‘menggigit’ budak2 lain, dan perbuatan ini jd ‘ikutan’ kerana nk membalas perbuatan menggigit itu, akhirnya semua jd kecoh, kerana ramai yg mnggigit kerana nk ‘membalas’ dan ramai juga yg ‘cedera’ dan sakit kerana digigit, perkara ini telah mendapat komplen dari ibu bapa dan ada yg cadangkn knk2 yg menggigit itu ‘dikurung’, tp keadaan akn jd teruk kerana dia akn ‘mngamuk’ sakan bila dikurung.. apa2 pon ibu bapa kna faham keadaan ank mereka sbelom nk lepaskn kpd org lain utk menjaga.., jgn bla dah ada kejadian yg x diingini baru nk bertindak, klaw dah melibatkan nyawa atau kes polis, siapa yg patut dipertanggungjawabkan..? Wallahu a’lam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *