Semua pun mesti tahu orang yang bersikap talam dua muka ni macam mana. Jadi di ruangan ini teringin aku nak kongsi dengan semua pembaca iium confessions tentang pengalaman aku jumpa orang bersikap talam dua muka.
Hati ni masih rasa geram dan sakit tapi nak buat macam mana, perkara dah berlaku. Cuma jadikanlah iktibar, tidak semua kawan itu boleh dipercaya.
Aku ni bukanlah orang yang berpelajaran tinggi. Setakat SPM saja. Itupun keputusan cukup sekadar layak dapat sijil. Aku dah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Baru masuk 2 tahun. Hidup kami tidaklah senang tapi alhamdulillah cukup untuk menampung mereka.
Aku tiada kerja tetap. Aku cuma ambil upah mengajar budak-budak mengaji setiap hujung minggu di masjid. Sebulan pihak masjid beri upah RM500. Cukuplah setakat beli keperluan anak dan tolong ibubapa beli barang dapur sebab aku dan anak bini tinggal dengan ibu bapa. Lepas tu aku ambil upah hantar & ambil budak-budak sekolah RM250 sebulan.
Suatu hari, ada seorang kawan tawarkan aku kerja sebagai pengawal dekat sebuah pusat pelajar. Dia pengurus di pusat itu. Esoknya aku terus disuruh masuk kerja serta merta menggantikan seorang pengawal yang diberhentikan atas masalah disiplin.
Siapa tak senang hati dapat kerja walaupun jadi jaga? Dapat gaji basic RM1,100 sebulan. Aku ni tiada pengalaman dalam bidang kawalan keselamatan. Jadi senior akulah baik hati bagi tunjuk ajar nama dia Naim.
Sebenarnya, pengawal di pusat tu ada 4 orang termasuk aku. Seorang lagi pengawal nama dia Farid (abang kepada pengawal yang diberhentikan) & seorang pengawal lagi kak Rani aku panggil.
Adalah aku dengar cerita orang yang Farid ni memang tak suka aku kerja situ. Tapi depan aku pula dia okay saja. Tiada pula tunjuk tak puas hati dengan aku. Komunikasi antara kami pun tiada masalah. Tapi aku faham. Mungkin di belakang aku siapa tahu kan?
Tak sampai 3 bulan aku kerja, ada makluman dari syarikat sekuriti, dorang terpaksa berhentikan seorang pengawal. Daripada 4 orang kepada 3 orang.
Jadi pihak syarikat sekuriti tu buat temuduga pada semua sekuriti seorang demi seorang. Masa giliran aku ditemuduga, aku ditanya soal tanggungan, tanggungjawab pengawal keselamatan, kelebihan diri. Aku jawablah dengan tenang. Sebab soalan bukan susah pun.
Ada satu soalan trick bila bos tanya antara kami berempat pengawal di situ, siapa yang mempunyai reputasi yang teruk. Aku memang tak tahu jadi aku cakap saja semua okay. Tiada masalah.
Lepas selesai ditemuduga, esoknya aku diberitahu untuk tidak perlu turun kerja sebab diberhentikan. Aku pun kecewa jugalah. Siapa tak kecewakan dan aku pun nak tahu kenapa aku diberhentikan. Atas sebab apa? Kenapa aku tak layak. Tapi bos tak nak bagitau. Katanya “cuma saya yang berhak tentukan”.
Kemudian pengurus pusat pelajar tu bagitau ada orang buat laporan yang saya selalu turun kerja lambat, selalu keluar waktu bertugas dan saya merupakan seorang ustaz di masjid yang bergaji 700. Jadi kalau saya diberhentikan tiada masalah. Anak pun baru seorang.
Saya jadi tergamam. Selama aku bekerja, aku selalu masuk kerja 30 minit awal sebelum masa pertukaran shif. Tak pernah lewat sebab isteri aku pun selalu ingatkan aku untuk datang kerja awal.
Selalu keluar waktu kerja? Fitnah dari siapa ni? Setahu aku yang selalu keluar waktu kerja dan datang lambat kawan aku si Naim tu la. Tapi aku taklah bagitau bos sebab aku rasa aku memperburukkan rakan sekerja. Masa tu aku berfikir serba baik sangat. Aku rasa Farid yang buat laporan pasal aku sebab dia nak kekalkan diri dia dalam 3 orang yang terpilih. Lagipun ramai yang nak dia diberhentikan.
Esoknya, aku dapat berita, Naim dan kak Rani dikekalkan. Oh! Aku tak hairan. Sebab aku dah diberitahu yang aku diberhentikan. Tapi aku dapat berita yang mengejutkan bila Farid pun turut sama diberhentikan.
Aku tertanya-tanya, bukankah seorang saja yang akan diberhentikan? Rupanya seorang pengawal baru akan dilantik menggantikan kami. Aku pun menghubungi Farid tanya pasal tu. Dia cakap dia diberhentikan sebab ada orang buat laporan dia selalu tak turun kerja. Selalu ambil cuti.
Ya setahu aku Farid memang pernah ambil cuti tapi cuma sekali dan aku yang cover shif dia masa tu. Rupa-rupanya, Naim yang buat laporan. Memburukkan kami berdua agar dia dikekalkan dan kami diberhentikan.
Aku sakit hati dengan dia. Dialah talam dua muka yang sebenarnya. Sanggup dia fitnah kami. Pengawal baru yang menggantikan kami adalah saudara dia juga. Patutlah. Dia boleh cakap yang aku ni ustaz bergaji. Sedangkan dia pun aku tahu ada kerja lain. kerapkali dia minta aku cover dia sebab dia ada mesyuarat sekian-sekian.
Sampai sekarang aku benci dengan sikap orang talam dua muka ni. Tak pasal-pasal Farid pula yang aku fikir tak baik. Sekarang ni aku kembali kepada rutin asal. Mengajar budak-budak mengaji.
Pengajarannya, tak baik kita berburuk sangka sebab tidak semestinya orang yang kita rasa jahat tu sebenarnya jahat. Tapi jangan pula terlalu percaya pada orang, akibatnya kita dikhianati dengan orang yang kita sangka baik.
– Azrin (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit