Tangisan Tanpa Bunyi Seorang Isteri

Assalamualaikum semua. Pertama sekali saya seorang isteri sudah lama berkahwin, tidak mempunyai anak, bekerjaya, tinggal jauh dari keluarga sendiri.

Mempunyai suami yang kaki lepak dan pergi trip bersama-sama kawan-kawan.

Pada mulanya saya okay dan cuba pasrah, cuba memahami dia perlukan masa untuk me time bersama kawan-kawan.

Tapi saya sejak kebelakangan ni tak pasti kenapa sangat terasa hati dan tawar hati..

Sampaikan saya betul-betul memikirkan untuk minta pindah ke pangkuan keluarga saya dan perlu berjauhan dengan suami atau terus meminta cerai untuk teruskan hidup dengan masing-masing.

Hobi, saya telah usahakan dan saya ada hobi. Me time bersama rakan-rakan pun sudah saya buat namun rakan-rakan lain semua berkeluarga dan ada komitmen masing-masing.

Yang bujang pula terus selesa bersama kumpulan bujang sebab kalau ajak saya pun bertembung waktu kami pulang ke kampung suami atau saya.

Ke masjid sudah. Baca Quran sudah. Kaunselor belum sebab saya pasti mengambil keputusan untuk berjumpa kaunselor, confirm orang yang mengenali kami akan tahu atau confirm juga suami tidak akan sudi untuk turut serta dan sebaliknya saya akan dimarahi.

Kadang saya menyuarakan saya rindu, saya sunyi, saya nak luangkan masa bersama, dia akan bawa saya sekejap keluar dan tak sabar nak balik dan kebiasaannya dia akan lepak dengan kawan-kawan.

Setiap hari wajib lepak. Kadang-kadang sahaja tak lepak kalau dia penat dan tidur berehat di rumah. Mungkin isteri lain susah hampir gila menjaga anak bila suami melepak, saya pula rasa hampir gila kesepian.

Perlukah saya meminta cerai hanya sebab kesunyian ni dan suami kaki lepak? Mungkin saya boleh berkahwin semula dan berusaha mendapatkan zuriat atau mungkin juga saya lebih hanyut dalam kesedihan.

Doa apa lagi boleh saya panjatkan supaya suami berubah sikit..

Keinginan saya untuk suami imamkan paling kurang sekali seminggu atau mendengar bacaan mengaji saya pun saya diamkan dan sudah berhenti mengharap..

Saya cuba sedaya upaya berjihad untuk bersyukur dengan suami sendiri disebalik kekurangan- saya maafkan perihal lain, tapi kali ni saya sangat terasa apa gunanya perkahwinan sebegini?

Saya sebenarnya memerlukan nasihat suami lain terutamanya suami yang tidak mempunyai anak dan juga isteri yang juga tidak mempunyai anak.

Sedih rasanya hidup kesunyian walau tidak tinggal keseorangan. Rasa macam roomate lagi rapat dulu. Dah rasa tiada penyelesaian- pernah cuba berbincang tiap kali akan marah- walau cuba sampaikan dengan cara baik & lemah lembut.

– Perindu Bulan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *